Monday, March 31, 2014

APMM TAWAU PATAHKAN PENYELUDUPAN TONG GAS


Sumber : APMM Tawau

TAWAU, 25 Mac 2014 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) baru- baru ini telah berjaya menahan sebuah bot jongkong yang disyaki telah melakukan kesalahan di kawasan perairan Tawau pada 24 Mac 2014 lebih kurang jam 10 malam kelmarin.

2. Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah (KPMD), Kepten Maritim Anor bin Hj Jaafar berkata, bot jongkong tersebut yang bergerak dari kampung Titingan, Tawau itu telah ditahan dan pemeriksaan mendapati juragan berumur 57 tahun merupakan warganegara Malaysia dan seorang awak- awak warganegara jiran hanya mengemukakan dokumen pengenalan pelaut untuk warga asing. Dokumen muatan yang ditunjukkan juga meragukan pihak APMM iaitu muatan lebih kurang 140 tong gas berisi penuh yang disyaki untuk dibawa masuk ke Pulau Sebatik melalui kampung Sungai Melayu adalah tidak sama seperti yang dinyatakan di dalam dokumen.

3. Bot jongkong, juragan, awak- awak dan kesemua muatan telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibawa masuk ke jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat APMM.

4. APMM akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan di perairan Sabah khususnya perairan Tawau bagi menyekat kegiatan penyeludupan daripada terus berlaku. APMM turut berharap orang ramai dapat menjadi mata dan telinga supaya kegiatan ini dapat diatasi. Sebarang maklumat mengenai kegiatan penyeludupan boleh menghubungi talian Hotline APMM Tawau di talian 089-752116 (Faks) / 089-752115 (Bilik Gerakan).


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs