Pages

Monday, September 20, 2010

Batu Sumpah Keningau, Sabah, Malaysia














Legenda Batu Sumpah Keningau

Ketika Sabah bersetuju untuk bergabung dengan Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu untuk membentuk sebuah persekutuan dikenali Malaysia yang kemudiannya tarikh 16 September 1963 dipilih sebagai tarikh peristyharan, satu perjanjian 20 perkara turut dimeterai bagi melindungi hak dan keistimewaan kaum etnik di Sabah yang terdiri lebih 40 etnik termasuk Kadazan-Dusun-Murut, Bajau, Sungai dan sebagainya.

Perjanjian 20 perkara itu antara lain meliputi Agama, Bahasa, Perlembagaan, Ketua dan Nama Negara, Imigrasi, Borneonisasi, Kewarga-negaraan, Hak istimewa kaum etnik pribumi dan Bumiputra Sabah serta juga hak berkaitan Tanah.

Bagi memeterai lagi penubuhan Malaysia itu, sebuah Batu Sumpah didirikan di Keningau dan dirasmikan wakil kerajaan persekutuan, Tan Sri Manickavasagam. Majlis bersejarah itu turut dihadiri pejuang kemerdekaan Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah - Tun Fuad Stephens.

Yang Di Pertuan Agong ke 3, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong turut melawat Batu Sumpah itu pada 1964.

Batu Sumpah ini telah didirikan pada tahun 60 an atas Perjanjian di antara Parti Pasok Momogun yang diketuai oleh mendiang Y.Bhg. Datuk G. S. Sundang @ Datuk Gunsanad Samson Sundang dan mendiang OKK Sodomon Bin Gunsanad yang ketika itu ketua daerah Keningau, dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Turut terbabit sama dalam cetusan idea itu pemimpin tempatan Sabah seperti Datuk Anthony Undan Andulag, Datuk Angian Andulag, Datuk Arif Salleh, Chu Shin Kee dari parti UNKO dan Haji Arshad Abdul Rahim dari parti USNO.

Tujuannya untuk menghormati hak kebebasan beragama, adat istiadat anak rakyat Negeri Sabah oleh Kerajaan Malaysia dan rakyat Negeri Sabah. Pada masa sama penduduk Bahagian Pedalaman Atas (Keningau) bersumpah taat setia kepada Kerajaan Malaysia.

Tulisan di Batu Sumpah Keningau berbunyi seperti berikut (masih menggunakan ejaan lama):

1. UGAMA BEBAS DALAM SABAH.
2. TANAH2 DALAM SABAH DI-KUASA OLEH KERAJAAN SABAH.
3. ADAT ISTIADAT RAYAT SABAH DI-HORMATKAN DAN DI-PELIHARA OLEH KERAJAAN.

SABALEK PULA RAYAT2 SABAH DI-DALAM INTERIOR BERSUMPAH TA'AT SETIA KAPADA KERAJAAN MALAYSIA.

Bagi rakyat di pedalaman Sabah, Batu Sumpah ini adalah lambang dan tanda persetujuan rakyat pedlaman untuk membentuk negara Malaysia dengan Sabah menjadi rakan kongsi sama rata dengan Sarawak dan Tanah Melayu. Hak Hak Sabah di dalam Malaysia adalah dipelihara dan dilindungi dan dipertahankan oleh kerajaan Persekutuan Malaysia sepanjang masa.

Batu Sumpah juga adalah lambang Kemerdekaan dan Kebebasan daripada penjajahan dan kelangsungan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, serta ikrar dan janji, cinta dan hormat kepada kerajaan dan negara Malaysia buat selama lamanya.

Batu Sumpah itu berukuran 2 meter tinggi, 24 cm tebal dan 1.5 meter lebar di bahagian atas, diambil dari sungai Ulu Senagang oleh Pegawai Daerah Keningau ketika itu, Tan Sri Richard Lind dengan bantuan penduduk Kg Senagang.

Batu Sumpah Keningau bukan sembarangan batu, malahan ia luar biasa kerana telah menjalani proses pemasukan roh oleh 7 orang Bobolian pada September 1964. Bobolian adalah mereka yang mahir berkomunikasi dengan alam roh dengan menggunakan bahasa roh iaitu "Rinait".

Batu Sumpah itu masih dijaga rapi sehingga sekarang di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Keningau yang juga berhampiran Hotel Perkasa, Keningau.

Setiap tahun, upacara tradisi untuk menghormati Batu Sumpah itu dilakukan oleh "Bobohizan" atau "Bobolian".



Video di atas pula menunjukkan antara majlis yang diadakan di Batu Sumpah, Keningau sempena Hari Malaysia pada 16 September 2011, dihadiri pengasas United Borneo Front, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. Perhatikan tradisi menyembelih ayam dan darah ayam itu dilumuri pada batu sumpah.

No comments:

Post a Comment