Formerly known as Easy Comes Easy Goes 2.0. I am a Malaysian who loves Hollywood but has never set foot there. My interests = Anything that interests you including Hollywood, Bollywood and Clint Eastwood. Thanks for reading folks. This blog contains 100% true postings, based on established international media reports and reputable trustworthy sources. No lies or fabrications included. Cheers.
Pages
▼
Monday, May 2, 2011
Pengalaman anak Kota Belud di Istana Buckingham, menjelang perkahwinan Putera William dan Kate Middleton
Putera William dan Catherine "Kate" Middleton melangsungkan perkahwinan di Westminster Abbey pada 11 pagi, 29 April 2011 yang lalu bersamaan hari Jumaat.
Seorang anak Kota Belud yang berada di London, 2 hari sebelum perkahwinan gilang gemilang itu, merakamkan tinta dan nota mengenai kemeriahan yang dirasakan di Kota London, 48 jam sebelum perkahwinan diraja itu.
Kelihatan Mohd Azrone Sarabatin dari Kota Belud, Sabah di hadapan Istana Buckingham, London, 48 jam sebelum perkahwinan diraja itu. Kelihatan orang ramai dari seluruh dunia sudah membanjiri di hadapan Istana Buckingham untuk memperingati peristiwa bersejarah itu.
Ikuti catatan Azrone yang disiarkan Berita Harian pada 27 April 2011, 2 hari sebelum perkahwinan Putera William dan Kate Middleton :
PENGALAMAN menyaksikan raptai majlis perkahwinan Diraja pewaris takhta Britain, Putera William dan Kate Middleton di Istana Buckingham, London, Rabu lalu menjadikan penulis seperti berada pada majlis gilang-gemilang yang bakal berlangsung Jumaat ini.
Biarpun tidak berpeluang menghadiri persandingan dua mempelai itu, menyaksikan perarakan kuda pasukan tentera sebagai persiapan majlis perkahwinan serba sempurna, mewah dan meriah itu sudah mencukupi bagi penulis.
Ratusan orang membanjiri persekitaran istana untuk menyaksikan majlis raptai berkenaan bukan saja dari Britain, malah meliputi seluruh pelosok dunia.
Penulis bernasib baik kerana tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan bermulanya raptai berkenaan iaitu lima minit sebaik tiba, pasukan tentera keluar dari pekarangan Istana Buckingham.
Awalnya hanya mahu menyaksikan rutin pertukaran tentera menjaga keselamatan istana, namun tanpa diduga pada hari berkenaan adalah raptai majlis perkahwinan diraja.
William dan Kate akan ke Istana Buckingham selepas majlis perkahwinan mereka di Gereja Westminster Abbey.
Kira-kira dua bilion penduduk dunia dijangka menyaksikan majlis perkahwinan diraja di gereja Westminster Abbey pada 29 April ini, apabila upacara itu akan disiarkan secara langsung.
Kemeriahan perkahwinan kedua-dua mempelai semakin terasa apabila akhbar dan majalah di London saling bersaing untuk mendapatkan berita eksklusif majlis berkenaan.
Akhbar Daily Mirror, The Mail, Daily Star, The Daily Telegraph dan London Evening Standard misalnya sentiasa mengemas kini data majlis perkahwinan berkenaan termasuk untuk siaran pada muka depan.
Kolumnis The Daily Telegraph, Cecelia Walden, misalnya menemuramah pereka pakaian Kate, Sofea Cranston mengenai gaun pengantin yang bakal dipakai pengantin perempuan itu.
Antara tajuk akhbar berkenaan ialah 'How My Wedding Dress Inspired Kate', '10 Days to The Royal Wedding', 'Souvenir - Royal Wedding Glass', 'London is Royal Wedding Party Capital'.
Muka depan majalah pelancongan Where terbitan April pula menyiarkan tajuk 'A Royal Wedding'.
Pelbagai sudut penulisan diketengahkan termasuk temu ramah bersama rakyat Britain dan pengawal Istana Buckingham untuk mendapatkan berita menarik mengenai Putera William dan penerimaan mereka terhadap Kate.
Begitulah hebatnya majlis perkahwinan berkenaan untuk menarik minat pembaca, sekali gus meningkatkan jualan akhbar masing-masing.
Peniaga turut mengambil peluang meningkatkan pendapatan menerusi jualan barangan cenderamata tertera gambar Putera William-Kate, antaranya rantai kunci, pelekat magnet, gelas, sapu tangan, tuala, pinggan, baju, beg dan bendera.
Tinjauan penulis mendapati barangan berkenaan mendapat permintaan tinggi daripada pelancong asing untuk dibawa pulang ke negara masing-masing sebagai kenangan.
Barangan berkenaan mudah ditemui di kedai cenderamata, kedai tepi jalan dan ada yang dijaja di sekitar Kota London.
Lucu juga apabila seorang pemilik kedai tepi jalan berseloroh meminta penulis membayar STG5 (RM25) kerana mengambil gambar cenderamata tertera gambar Putera William-Kate di lot kedainya.
Dalam hati kecil penulis terdetik 'peniaga ini mengambil keuntungan mudah.' Mungkin peniaga terbabit tidak berpuas hati kerana penulis asyik merakamkan gambar dan tidak membelinya.
Peniaga yang berasal dari Albania dan hanya mahu dikenali Deck itu turut mengakui perkahwinan diraja memberi keuntungan kepada mereka menerusi jualan barangan cenderamata.
"Ramai pelancong yang mengagumi Putera Williams-Kate yang pastinya ini memberi kesan positif kepada kami kerana mereka akan membeli cenderamata sebagai kenangan," katanya.
Malah penulis sendiri menerima SMS daripada sahabat handai di tanah air supaya membeli cenderamata berkenaan sebagai memperingati hari bersejarah Putera William-Kate.
Ringkasnya, barangan cenderamata terbabit turut memeriahkan lagi majlis perkahwinan diraja yang hanya menunggu masa untuk dilangsungkan.
Seorang pemandu teksi, Marc Richard, 40, mengakui ramai pelanggannya di kalangan pelancong warga asing dari Asia yang membeli pelbagai cenderamata memaparkan gambar atau imej William-Kate.
Katanya, golongan terbabit bukan saja membeli barangan berkenaan untuk dihadiahkan kepada sanak saudara, malah untuk sahabat handai dan kenalan di negara masing-masing.
"Ini membuktikan rakyat dunia sangat teruja menantikan saat bahagia perkahwinan William-Kate seperti mana kami tidak sabar menunggu detik berkenaan," katanya.
William mula jatuh hati pada Kate pada malam pertunjukan fesyen ketika putera raja itu berada pada semester kedua di Universiti St Andrews, Scotland pada 2001.
Sedang Kate memperagakan fesyen di atas pentas, pewaris takhta Britain berkenaan yang berusia 19 tahun ketika itu berbisik kepada rakannya, Fergus Boyd: "Wow! Gadis ini memang menawan."
Beliau membayar STG200 (RM1,000) untuk tiket tempat duduk depan dan apabila Kate muncul bersama baju yang jarang dengan pakaian dalam serba hitam, William terpaku.
Selepas menghadiri satu majlis selepas acara itu, William mula mengorak langkah. Dia dan Kate, yang ketika itu berusia 20 tahun, berbual dengan penuh mesra di satu sudut. Sebaik mereka melagakan cawan untuk meraikan kejayaan Kate.
Kini detik bahagia itu diabadikan pada akhbar dan barangan cenderamata yang menghiasi kota London dan kemudian dibawa ke seluruh pelosok dunia meliputi negara asal pelanggan.
No comments:
Post a Comment