Pages

Thursday, September 15, 2011

Perutusan khas YAB Ketua Menteri Sabah sempena Hari Malaysia 16 September 2011



PERUTUSAN KHAS Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI SABAH
SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2011

1. Hari ini merupakan tahun kedua kita merayakan Hari Malaysia sebagai perayaan nasional, selepas pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum bagi seluruh negara, selepas pengumuman yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan detik bersejarah yang telah menyatukan wilayah yang secara geografi terpisah oleh Laut China Selatan.

2. Dalam tempoh 48 tahun yang lalu, Malaysia telah berkembang maju sebagai sebuah negara yang berjaya mentransformasikan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Dalam konteks ini, saya gembira dengan Kerajaan Persekutuan yang begitu komited dalam usahanya untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dalam negara kita menerusi pelbagai perancangan dan pelaksanaan dasar yang sewajarnya. Ini membolehkan rakyat tanpa mengira latar belakang dan tempat, untuk terlibat sepenuhnya dalam arus kepesatan pembangunan negara.

3. Suka saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak rakyat Malaysia di Sabah untuk terus menyumbang kepada kejayaan Malaysia. Dalam kita memuji dan menghargai keindahan dan kepelbagaian negeri Sabah, kita perlu ingat bahawa kita berada dalam sebuah negara. Justerum setiap negeri perlu sentiasa bekerjasama antara satu sama lain dan menggerakkan usaha secara bersama bagi memacu pembangunan negara. Sebagai rakyat Malaysia, sudah tiba masanya kita mengelakkan pemikiran yang sempit, sebaliknya perlu bekerjasama, saling bantu-membantu dan homat-menghormati antara antara satu sama lain, walau dari mana sekali pun kita berasal.

4. Justeru, suka saya menekankan akan pentingnya kita memantapkan dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan menghindari apa juga usaha dan ancaman yang boleh memecahbelahkan kita. Sememangnya kita menerima dan menghormati perbezaan pendapat dan perlunya kita mengukuhkan lagi kekuatan dalam kepelbagaian yang kita miliki. Sepertimana yang sering kita diperingatkan oleh orang tua-tua kita, bahawa kita perlu menerima antara satu sama lain yang merupakan tradisi yang perlu diteruskan. Harapan saya agar dengan semangat 1Malaysia, yang sememangnya menjadi amalan dan budaya kita selama ini, akan mengukuhkan lagi hubungan antara kaum dan budaya dalam kalangan generasi kita. Sesungguhnya semangat sebenar 1Malaysia telah sekian lama sebati dalam kehidupan kita di Sabah.

5. Suka saya mengambil kesempatan ini untuk menyentuh mengenai hubungan yang kukuh antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, yang berjaya menjana pembangunan dan kemakmuran kepada negara kita. Seiring dengan usaha kita untuk melangkah ke hadapan, saya berharap usaha-usahan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan negeri-negeri lain terus dipergiatkan khususnya menerusi pelaksanaan RMK-10. Kita di Sabah akan sentiasa memebrikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan semua perancangan dan dasar, seperti ETP,NKRA,GTP, yang banyak memberikan faedah kepada rakyat. Saya juga sering mengingatkan penjawat awam negeri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan semua projek yang dirancang untuk Sabah dapat dilaksanakan mengikut jadual dan tanpa karenah birokrasi.

6. Beberapa projek sedang rancak dilaksanakan seperti yang disenaraikan dalam SDC yang dilancarkan pada Januari 2008 dan Halatuju Negeri, yang diperkenalkan lapan tahun lalu. Begitu juga dengan pelbagai inisitif pembangunan yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri, dan projek-projek di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan. Program Agropolitan bagi membawa masyarakat luar bandar keluar dari kemiskinan dan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) telah banyak membuahkan hasil. Kita juga sedang menggalakkan pembangunan produk hiliran seperti kelapa sawit, minyak dan gas. Kita percaya bahawa kedua-dua sektor ini dapat menjana limpahan ekonomi untuk rakyat dan mengharapkan penglibatan menyeluruh rakyat dalam menjayakan inisiatf ini. Bagi merealisasikan usaha ini, kita menyedari perlunya menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran menerusi galakan dan sokongan kepada perkembangan dan pembinaan lebih banyak institusi pendidikan dan kemahiran di Sabah, antaranya menerusi Hab Pendidikan Sandakan.

7. Sabah telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat beberapa dekad yag lalu, jika dibandingkan semasa mencapai kemerdekaan pada tahun 1963. Kita juga telah matang dalam politik dan berupaya memperbaiki dan meningkatkan lagi program-program sosial kita. Kini kita mempunyai infsratruktur yang baik di kebanyakan kawasan, tetapi ini tidak bermakna tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan kerajaan telah selesai. Tumpuan utama kita sekarang adalah untuk meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat Malaysia di Sabah. Antaranya dengan memperbaiki keadaan jalan dan mewujudkan rangkaian perhubungan dengan kawasan-kawasan terbabit serta bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan bekalan air paip dan eletrik yang sempurna. Kita juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajan Persekutuan bagi memastikan rakyat khususnya di pedalaman mendapat peluang pendidikan dengan membina lebih banyak sekolah dan IPT di negeri ini. Begitu juga dengan aspek penjagaan kesihatan yang sentiasa diberikan keutamaan dengan penyediaan hospital dan klinik di hampir semua bahagian di negeri ini.

8. Politik Sabah sentiasa menyaksikan pelbagai perkembangan yang menarik beberapa tahun kebelakangan ini. Di sebalik ketidaktentuan landskap politik negeri kira-kira dua dekad lalu, Sabah kini mempunyai perwakilan yang kuat dalam Kabinet Persekutuan. Kita adalah rakan yang penting dalam BN. Kita juga sedar bahawa dengan adanya kerajaan yang stabil, kita dapat menerusikan kesinambungan pembangunan demi kesejhahteraan dan kemakmuran rakyat. Oleh itu, saya mengajak semua pemimpin di negeri ini untuk kita sama-sama bekerja keras dan berkhidmat untuk rakyat, kurangkan berpolitik yang hanya menyebabkan kita kurang memberikan tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab kita untuk membela nasib rakyat.

9. Sempena dengan ulangtahun kemerdekaan ke-48 menerusi Malaysia, menjadi hasrat saya untuk melihat negeri kita ini menjadi negeri yang maju dan makmur, rakyatnya hidup aman dan harmoni, prihatin dan hormat-mengjormati antara satu sama lain dengan mengetepikan apa juga kedudukan dan perbebzaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita memainkan peranan yang penting bagi menjayakan wawasan dan aspirasi negara. Hakikatnya tanpa perpaduan dan kesetiaan kepada negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, segala usaha dan pengorbanan kita tidak membuahkan kejayaan.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan selamat Hari Malaysia.

Terima kasih

Sumber : Jabatan Ketua Menteri Sabah - 16 September 2011

No comments:

Post a Comment