Pages

Thursday, December 8, 2011

Balai Polis Kerinchi, pengundi di Lembah Pantai



Nurul Izzah Anwar, ahli politik muda Malaysia yang jelita ini melakukan upset pada pilihanraya Umum 8 Mac 2008 apabila menewaskan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dari BN di Parlimen Lembah Pantai dengan majoriti 2,895 undi.

Shahrizat sebelum itu tidak tewas di Lembah Pantai selama 3 penggal dan kali terakhir memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Umum 2004 dengan majoriti 15,288.

Namun Puteri Sulung Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ini serta Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan antara kejutan terbesar dalam pilihanraya umum 2008.

Kini Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR. Dia juga lulusan Sarjana pengajian Hubungan Antarabangsa dari University John Hopkins, Amerika Syarikat. Sudah berkahwin dengan Raja Ahmad Shahrir dan mempunyai 2 cahaya mata.

Tampak lebih muda dari usianya 31 tahun, lahir pada 19 November 1980, Nurul Izzah antara ahli politik yang sentiasa menarik perhatian di Malaysia kerana ketokohannya dan kejelitaannya dan kerana dinasti PKR dimana 3 jawatan tertinggi parti dipegang keluarganya.



Baru baru ini Malaysiakini melaporkan lebih 90 nama bermasalah dikesan daripada 2,180 nama dalam senarai pengundi pos yang terkandung dalam daftar induk pemilih bagi kawasan parlimen Lembah Pantai. Antara nama yang bermasalah dan pelik itu ialah seorang pengundi yang bernama Balai Polis Kerinchi.

Kata ahli parlimennya, Nurul Izzah Anwar :

"Kami ada 97 pengundi yang nama mereka tidak dijumpai di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); nampaknya mereka boleh mengundi di dua tempat. Rekod-rekod lain yang mencurigakan juga dijumpai pada daftar pemilih yang dikemaskini sehingga Jun 2011," katanya.

Nurul Izzah berkata, antara penemuan yang dianggap pelik ialah nama seorang pengundi yang didaftarkan sebagai "Balai Polis Kerinchi" dalam daftar pemilih induk.

‘Balai Polis Kerinchi’ yang lahir pada 1983 menggunakan kad pengenalan polis RF161872 mengundi di lokaliti Balai Polis Travers dalam Daerah Mengundi Bangsar Baru.

“Ini adalah senarai dari lebih 2000 pengundi pos Parlimen Lembah Pantai yang disemak, tidak termasuk nama pengundi biasa,” kata Nurul Izzah.

Menurut beliau, apabila pihaknya menyemak butir-butir menggunakan nombor kad pengenalan polis bagi mengenal pasti pengundi berkenaan, nama itu wujud tetapi dalam daftar pemilih SPR ia menunjukkan sebaliknya.

Katanya, nombor kad pengenalan, RF161872, pada pangkalan data SPR menunjukkan ia milik Yusop Mohd Faizul Mohd .

“Tak ada jaminan perkara ini dapat dibersihkan. Mana satu yang final (muktamad), (versi) online atau daftar pemilih?” soalnya sambil menunjukkan puluhan maklumat bercanggah antara versi dalam talian dengan versi cakera padat yang dikeluarkan SPR.

"Kita tidak tahu jika ia Balai bin Polis Kerinchi atau Balai Polis bin Kerinchi," sindir Nurul Izzah.

Masalah-masalah lain termasuk rekod pengundi tidak dijumpai di laman web SPR tetapi muncul dalam daftar pemilih.

"Apa yang lebih mengejutkan ialah ada pengundi yang disenaraikan di dua pusat mengundi. Sebagai contoh, Saripah Arif (RF90153), disenaraikan sebagai pengundi pos di balai polis Pantai dan juga balai polis Pekan, yang terletak di Pahang," katanya.

Pada tahun 2008 kawasan pilihan raya itu mempunyai kira-kira 56000 pengundi tetapi pada Jun tahun ini, Lembah Pantai kini mempunyai kira-kira 70,000 pengundi berdaftar.

“Ini masalah serius. Bagaimana sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat? Ia tak bersih dan tak adil. Mana perubahan sistem yg dijanjikan?" soal Nurul Izzah dengan nada kecewa.

Beliau sebelum ini berkata bahawa bilangan pengundi pos naik secara mendadak sebanyak 1,363 peratus dalam tempoh dua bulan - dari hanya 149 orang pada 26 Sept 2011 kepada 2,180 pada 2 November 2011.

No comments:

Post a Comment