Wednesday, November 21, 2012

Khairul Fahmi Che Mat bernikah dengan Leuniey Natasha, 28 Disember 2012












Tarikh 28 Disember 2012 pastinya amat istimewa bagi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23 tahun atau Apek yang akan menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan hatinya Nur Eilunie Natasha Nazri atau lebih dikenali sebagai Leuniey Natasha di kediaman Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Ramailah gadis di luar sana yang turut meminati Khairul Fahmi, pasti kecewa dengan perkembangan ini. Manakan tidak, Khairul Fahmi antara pemain bolasepak paling popular di Malaysia dan mempunyai perwatakan menarik yang menjadi kegilaan wanita.

Khairul Fahmi berkata walaupun beliau dan skuad kebangsaan kini dalam peringkat persediaan terakhir sebelum misi mempertahankan Piala AFF Suzuki bermula, pada Ahad ini, 25 November 2012, namum ia tidak akan menjejaskan fokusnya bersama skuad Harimau Malaya.

"Hari ini bila saya sudah umumkan tarikh perkahwinan, saya harap penyokong dan peminat akan memahami saya kerana fokus utama saya pada masa ini adalah bersama pasukan negara.

"Perkahwinan ini tidak akan jejaskan fokus saya bersama skuad kebangsaan kerana majlis akad nikah hanya akan berlangsung enam hari selepas Piala AFF Suzuki tamat ditambah persiapan perkahwinan saya banyak dibantu oleh keluarga saya dan keluarga Leuniey," katanya selepas sidang media bagi mengumumkan rasmi tarikh perkahwinannya di Kuala Lumpur pada Rabu 21 November 2012.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2012 akan diadakan pada 22 Disember 2012 dimana Malaysia adalah juara bertahan.

Dalam majlis yang sama, Khairul Fahmi, turut memaklumkan beliau dan pasangannya memilih konsep 'English Garden Style' untuk majlis resepsi perkahwinannya di Hotel Royale Bintang, Damansara, Kuala Lumpur pada 13 Jan 2013 atau 13.01.13.

Majlis persandingan sebelah perempuan bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Baharu, Kelantan pada 30 Disember berkonsepkan 'Melayu Kontemporari' manakala persandingan sebelah lelaki pula diadakan di kediaman rasmi Khairul Fahmi di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Jan 2013.

Ditanya mengenai tahap motivasi pemain skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan pertama menentang Singapura Ahad ini, beliau berkata kesemua rakan pasukannya berada pada tahap keyakinan yang tinggi bagi memastikan kejuaraan Piala AFF Suzuki pada edisi 2010 mampu dipertahankan.

"Sejujurnya saya dan rakan-rakan yang lain berada pada tahap motivasi yang tinggi dan kami semua tidak sabar untuk menentang Singapura.

"Kalah, menang itu memang sudah pasti dalam setiap permainan tetapi bagi saya ia adalah satu tekanan yang positif untuk saya dan rakan-rakan pasukan bermain dengan baik terutamanya apabila Malaysia adalah tuan rumah," katanya.

Malaysia dan Thailand merupakan tuan rumah bersama bagi Piala AFF Suzuki 2012 yang akan bermula pada 24 November 2012 hingga 22 Disember 2012.

Tahniah Apek. All the best Harimau Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs