Showing posts with label harimau. Show all posts
Showing posts with label harimau. Show all posts

Sunday, September 22, 2013

Tahniah Harimau Malaya, hanya tewas 1-3 kepada Barcelona, 10 Ogos 2013




Tahniah Malaysia kerana hanya tewas 1-3 kepada pasukan bolasepak terbaik dan terkuat dunia, Barcelona malam tadi di stadium Shah Alam. Ingat, sebelum ini Barcelona membelasah Santos, kelab terkemuka Brazil dengan jaringan 8-0 selain menghancurkan Thailand 7-1 di Bangkok dengan jaringan tunggal Thailand oleh penyerang terbaiknya, Teerasil Dangda yang skilnya 80% kurang daripada skil Neymar dan Messi.



Tahniah juga kepada Amri Yayah kerana menyumbat gol tunggal Malaysia menewaskan Victor Valdes, penjaga gol kedua terbaik Sepanyol, di belakang Iker Casillas. Beberapa tahun lalu, Amri Yayah turut menjaringkan 2 gol ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Manchester United yang mana gawang golnya dijaga oleh antara penjaga gol terbaik dunia, Erwin Van Der Sar. Mengapa Barcelona kuat? Sebab separuh daripada pemain2nya adalah pemain kebangsaan Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dengan menewaskan Holland 1-0, jaringan kemenangan oleh Anders Iniesta yang turut beraksi malam tadi. Separuh daripada pemain Barcelona turut membantu Sepanyol menjuarai EUR0 2008 dan EUR0 2012, masing masing menewaskan Jerman dan Itali. Pemain Barcelona dalam skuad Sepanyol ialah trio midfield terbaik dunia, Iniesta, Xavi Hernandez dan Sergio Busquets dan Cesc Fabregas selain Carlos Puyol, Gerard Pique, Jordi Alba dan ramai lagi. Tidak cukup dengan itu, Barcelona turut mempunyai pemain terbaik dunia 4 kali, Lionel Messi yang pernah memecahkan rekod dunia tahun lalu, menjaringkan gol terbanyak dalam 1 musim, 91 gol mengatasi pencapaian penyerang legenda dan profilik Brazil, Pele dan lagenda mesin gol Jerman, Gerd Muller @ Der Bomber yang memegang rekod sebelum ini dengan 85 gol. Lionel Messi juga penjaring gol terbanyak sepanjang zaman bersama Barcelona, memecah rekod 232 gol pada Mac 2012 mengatasi Diego Maradona, Johan Cryuff, Ronaldo, Rondlaindho dan semuanya. Tidak cukup dengan itu, Barcelona juga mempunyai Neymar, penyerang terbaik Brazil ketika ini yang membantu Brazil juara Piala Konfederasi 2013 menewaskan Sepanyol 3-0 di final. Barcelona turut memecahkan rekod La Liga Sepanyol apabila mengumpul 100 mata dalam 1 musim dan menjaringkan lebih 100 gol dalam 1 musim. Apapun kita sedikit kecewa dan terkilan kerana Lionel Messi tidak beraksi malam tadi, akibat kecederaan peha kanan masa latihan. Last but not least, Hidup Liverpool..!!!

Sunday, November 27, 2011

Nazmi Faiz Mansur, penyerang muda Harimau muda, boleh menjadi sehebat Gerd Muller


Kecil kecil Cili Padi, itulah kehebatan Nazmi Faiz Mansur





Gerd Muller (Der Bomber) penyerang legenda Jerman Barat, penjaring 14 gol dalam 2 Piala Dunia.

Saya menonton perlawanan Malaysia melawan Bahrain pada malam Ahad 27 November 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disiarkan secara langsung di kaca TV.

Perlawanan itu penting untuk kedua dua pasukan untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik London 2012.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada 1980 di Moscow, Soviet Union, namun Malaysia tidak beraksi kerana memboikot penaklukan USSR ke atas Afghanistan.

Kali pertama Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah di Munich, Jerman Barat pada 1972dimana Malaysia mengharungi 3 perlawanan, menentang tuan rumah Jerman Barat di mana kita tewas 0-3.

Perlawanan kedua di Munich, Malaysia tewaskan Amerika Syarikat 0-3 namun kita tewas teruk 0-6 kepada Maghribi dalam perlawanan terakhir.

Dalam perlawanan Malaysia Bahrain itu, kelibat pemain no.12, Nazmi Faiz Mansur yang baru berusia 17 tahun memang menggamit perhatian.

Ketika rakan rakan sebaya dengannya sibuk mengambil peperiksaan SPM, Nazmi pula sibuk membawa cabaran Malaysia di padang bolasepak dan pengorbanannya itu tidak sia sia dan berbaloi. Nazmi berjaya membantu Malaysia menang pingat Emas bolasepak Sukan SEA 2011 tewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Jakarta setelah kedudukan perlawanan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Dalam perlawanan menentang Bahrain itu, Nazmi Faiz Mansur menjaringkan antara gol tercantik dalam sejarah Malaysia. Dia mencuri bola dari pertahanan Bahrain sebelum melepaskan rembatan padu menggunakan kaki kiri dari jarak 25 meter menewaskan Penjaga Gol Bahrain.

Ini mengingatkan kita kepada rembatan menakjubkan seumpamanya oleh Allahyarham Mokhtar Dahari dan Dollah Salleh.

Pengulas RTM malam itu, pula menyamakan Nazmi dengan Azizol Abu Haniffah.

Sebenarnya Nazmi sudah berpengalaman beraksi untuk pasukan bawah 15, 16, 17, 18, 19 tahun dan apa saja kelas umur untuk Malaysia dalam perlawanan peringkat antarabangsa di peringkat Asia dibawah kejohanan AFC atau persekutuan Bolasepam Asia.

Biarpun Nazmi menghadapi peperiksaan SPM tahun ini, namun kelibatnya amat diperlukan demi bolasepak negara. Oleh itu FAM dan kementerian Pelajaran bersama sama Lembaga Peperiksaan sudah membuat perancangan supaya Nazmi Faiz Mansur mengambil SPM tahun depan.

Bagi saya, Nazmi Faiz Mansur mempunyai bakat amat besar dan masa depan amat cerah dalam bolasepak, dan jika digilap dan terus digilap, dia boleh menjadi sehebat penyerang legenda Jerman Barat, Gerd Muller aka Der Bomber.

Gerd Muller dan Nazmi Faiz Mansur ketinggian mereka hampir sama. Tidak tinggi tapi memiliki skill menggerunkan.

Seperti juga Gerd Muller, Nazmi Faiz tidak segan silu melepaskan rembatan ke gawang lawan untuk mendapatkan gol dalam apa juga keadaan, apa juga sudut dan apa juga senario.

Perhatikan gol hebat Gerd Muller ini ketika Jerman Barat menewaskan Belanda di final Piala Dunia 1974. Ini gol kedua dan gol kemenangan Jerman Barat tewaskan Belanda 2-1.




Gol keduanya, meskipun badannya sudah terlajak 1 meter ke depan, dia masih mampu mengundur dan melepaskan tendangan padu yang menerjah gol. Semuanya itu dilakukan dalam tempoh 1 saat.

Gerd Muller antara penyerang terbaik pernah dilahirkan Jerman, menjaringkan 68 gol dalam 62 penampilan untuk Jerman Barata. Pele dan Maradona pun tidak mampu menjaringkan lebih banyak gol berbanding penamiplan.

Gerd Muller memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 14 gol iaitu 10 gol ketika Piala Dunia 1970 dan 4 gol ketika Piala Dunia 1974.

Rekodnya bertahan 32 tahun sebelum dipecahkan penyerang Brazil, Ronaldo yang menjaringkan 15 gol dalam 3 Piala Dunia.

Gerd Muller juga menjaringkan 365 gol dalam 427 penampilan di Bundesliga, liga Jerman.

Tidak mustahil Nazmi Faiz Mansur menjadi penyerang terhebat pernah dilahirkan Malaysia kelak.

Syabas Nazmi Faiz Mansur.

Thursday, November 24, 2011

Untuk Malaysia berjaya dalam bolasepak antarabangsa, Ong Kim Swee harus dibawa mempelajari pengalaman Barcelona di Nou Camp



Tidak dinafikan, Ong Kim Swee, jurulatih Harimau Muda, antara jurulatih bolasepak paling menonjol di Asia Tenggara. Dia berjaya membawa Malaysia juara bolasepak Sukan SEA sebanyak 2 kali berturut turut pada 2009 (tewaskan Vietnam 1-0 di final) dan 2011 (tewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 di final).

Ong Kim Swee yang pernah bermain bolasepak untuk Sarawak dan Sabah pada Liga Malaysia sekitar 1990-an termasuk membantu Sabah juara Dunhill Liga Malaysia 1996, kini mengetuai misi Malaysia untuk layak ke sukan Olimpik London 2012.

Hanya 2 kali Malaysia layak ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 di Munich, Jerman Barat dan 1980 di Moscow, Soviet Union.

Untuk memperhebatkan lagi dan mengilap ketajaman asuhan Ong Kim Swee ke atas anak buahnya, apa kata kita minta FAM, Persatuan Bolasepak Malaysia untuk membawa Kim Swee mendalamkan ilmu kejurulatihannya di Nou Camp, Barcelona, Sepanyol bersama kelab terhebat sepanjang zaman, Barcelona.


Pep Guardiola, jurulatih Barcelona sekarang, boleh memberikan tunjuk ajar kepada Kim Swee untuk mengangkat martabat dan menjulang imej bolasepak Malaysia di mata dunia.

Barcelona sudah menjuarai kejohanan liga Sepanyol yang dikenali La Liga sebanyak 21 kali dan menang Piala Eropah atau Champions League sebanyak 4 kali termasuk juara 3 kali dalam tempoh 5 tahun iaitu juara pada 2006, 2009 dan 2011.

Selain memiliki barisan pemain hebat, Barcelona berjaya kerana mempunyai jurulatih amat berwibawa dan kelas dunia seperti Frank Rikjard dan Pep Guardiola.





Ini contoh gerakan Barcelona dalam menjaringkan gol hebat. Perhatikan bagaimana pemainnya bergerak dalam kedudukan strategik untuk menerobos pertahanan lawan. Kim Swee boleh belajar daripada aspek ini di Nou Camp. Banyak rahsia bolasepak boleh dicurahkan Barcelona kepada Malaysia. Barcelona adalah "Sifu" manakala Malaysia adalah 'murid".



Ini pula lagi contoh gerakan menarik Barcelona yang menobatkan kelab Catalan itu sebagai kelab bolasepak paling kuat dan paling gagah di dunia.



Ayuh FAM, apa tunggu lagi. Terbangkan segera Ong Kim Swee ke Barcelona untuk kejayaan Malaysia. Pastikan Harimau Malaysia terus mengaummmmm!!!

Thursday, July 28, 2011

Malaysia gagal ke Piala Dunia 2014. Adakah kekecewaan ini akan berterusan sehingga 1,000 tahun akan datang?



Mungkinkah Malaysia tidak akan layak ke Piala Dunia untuk 1,000 tahun lagi? Jika benar, maka lagu oleh BPR atau Bumiputra Rockers ini amat sesuai untuk misi skuad bolasepak Malaysia ke Piala Dunia...!!











Malaysia gagal lagi layak ke Piala Dunia. Impian melihat Malaysia beraksi di Brazil pada Piala Dunia 2014, terkubur sudah. Sampai bila penantian ini harus berakhir??

Adakah perkara mengecewakan ini akan berterusan sehingga 1,000 tahun akan datang???
Perjalanan kita untuk ke Piala Dunia 2014 di Brazil kandas seawal perlawanan kelayakan pusingan ke 2.

Pasukan Negara yang digelar Harimau Malaya ataupun lebih tepat Harimau Malaysia (kerana orang Sabah dan Sarawak marah), gagal menewaskan Singapura di hadapan 85,000 penyokong sendiri di gelanggang sendiri di stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Khamis 28 Julai 2011.

Malaysia hanya seri 1-1 dengan Singapura, sekaligus tersingkir dengan agregat 4-6 kerana kita kalah teruk 3-5 pada perlawanan pertama di Singapura pada Sabtu lalu, 23 Julai 2011.



Kalau nama skuadnya Harimau Malaya, kenapa pakai jersi biru? Pakailah jersi rasmi atau jersi tempat sendiri yang berwarna kuning. Lagipun Harimau belang warnanya kuning kan, bukannya biru.

Kita tak marah kalau Malaysia kandas atau tewas di tangan pasukan handalan Asia/Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan, Korea Utara, China, Kuwait, Iran, Iraq, Australia, New Zealand atau Arab Saudi yang kesemuanya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Tapi ini kita tewas dengan pasukan kerdil, Singapura yang penduduknya hanya 3 juta orang dan keluasannya 1,000 kali lebih kecil dari Malaysia.

Kita tewas kepada Singapura yang ranking FIFAnya amat rendah iaitu di kedudukan 142 daripada 199 negara pada Jun 2011 lalu dan hanya dinaikkan kepada ranking 131 pada 27 Julai 2011 lalu.

Malaysia pula berada di ranking 144 pada Jun 2011 lalu dan kini 146, dari segi ranking kita masih dibawah negara negara mundur yang nak membina stadium pun susah sebab masalah ekonomi, perang dan kebuluran seperti Rwanda (ranking 134), Nepal (ranking 136), Ethiopa (ranking 139), Burundi (ranking 143), Tajikistan (ranking 142) dan negara yang baru dilanda bencana gempa bumi dahsyat dan banyak malapetaka lain, Haiti (ranking 117).

Kita kalah pada Singapura, musuh tradisi yang sering kita tewaskan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Kita kecundang kepada sebuah pasukan kerdil yang tidak mempunyai barisan pemain tempatan berbakat mencukupi sehingga terpaksa menagih khidmat 5 pemain impot termasuk 3 dari Eropah dan 2 dari China.

Kita tewas kepada Singapura yang pastinya juga akan tewas kepada pasukan lebih kuat dalam perlawanan seterusnya selepas ini.

Malaysia dan Singapura sama, kedua duanya belum pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Malahan kesemua pasukan Asia Tenggara belum pernah layak ke Piala Dunia.

Bagi saya kekalahan ini bukan salah ibu mengandung, bukan silap K Rajagobal dan bukan kepincangan Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat atau S. Kunanlan.

4 nama diatas membantu Malaysia menjulang piala AFF Suzuki pada 2010 dan wajar diberikan pujian dan penghormatan sehingga sekarang.

Sebaliknya kesalahan keseluruhan dipikul barisan pertahanan Malaysia yang nyata amat rapuh dan mudah diratah.


Pada 23 Julai 2011 di Singapura, Malaysia tewas teruk 3-5 kerana barisan pertahanan dan penjaga gol yang begitu lemah sekali.

Penjaga gol Malaysia ketika itu Sharbinee Allawee hanya melihat saja bola masuk ke gawangnya tanpa sedikit pun inisiatif untuk menyelamatkan bola itu.

Dia sendiri tidak menyentuh bola itu.

Bagi saya 3 daripada 5 gol disumbat Singapura pada 23 Julai 2011 lalu boleh diselamatkan oleh saya sendiri dan sesiapa saja yang bukan pemain bola professional kerana ia gol yang amat mudah.

Bak kata orang, pemain sekolah rendah pun boleh menyelamatkan bola itu.

Penjaga gol Malaysia, Sharbinee perlu belajar dari Khairul Fahmi Che Mat, apa ertinya refleks, iaitu tindakan refleks yang cepat untuk menyelamatkan bola, nampak saja bola terus halakan tubuh badan ke arah bola itu dalam tempoh 0.07 saat.

Sharbinee juga perlu belajar bahawa untuk menyelamatkan bola, bukan hanya menggunakan tangan, malahan semua anggota tubuh badan boleh digunakan termasuk kepala, kaki, badan, peha, betis, perut dan siku.



Sharbinee perlu melihat save of the century oleh penjaga gol England Gordon Banks yang menyelamatkan tandukan pasti gol daripada pemain terbaik dunia sepanjang zaman, Pele pada Piala Dunia 1970. Sehingga ke hari ini Pele masih tidak percaya tandukannya itu mampu diselamatkan gerakan refleks menakjubkan oleh penjaga gol terhebat dunia, Gordon Banks.



Kita sebenarnya menagih aksi lebih baik berbanding kekalahan 3-5 itu setelah
Malaysia menampilkan aksi agak terpuji dalam 3 perlawanan persahabatan menentang 3 kelab gergasi liga perdana Inggeris iaitu Arsenal, Liverpool dan Chelsea.

Dalam Pestabola itu, Malaysia tewas ketiga tiga perlawanan, namun Berjaya menjaringkan 3 gol dan bolos 11 gol.

Kita tewas 0-4 kepada Arsenal, tewas 3-6 kepada Liverpool dan tewas tipis 0-1 di tangan Chelsea menerusi gol kontroversi Didier Drogba.

Seperkara lagi yang menjadi misteri dalam perlawanan 23 julai 2011 itu apabila K Rajagobal berkata pemain Malaysia seolah olah dipukau atau dehypnotize dan hanya membiarkan bola dimainkan pihak lawan.

Adakah ini bermakna Singapura main kotor dan menggunakan ilmu hitam dan ilmu mistik dalam usaha menewasan Malaysia?

Jika Singapura boleh berbuat begitu mengapa Malaysia tidak gunakan bomoh paling handal yang kita ada di Negara ini?

Kita ada ramai pakar dalam bidang mistik, gunakan kebolehan mereka agar Malaysia melangkah maju ke hadapan dalam arena bolasepak antarabangsa.

Dalam perlawanan tadi 28 Julai 2011, 85,000 penonton di Bukit Jalili termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jutaan lagi yang menyaksikan menerusi siaran langsung di TV termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Alor Star, melihat sendiri bagaimana benteng pertahanan Malaysia begitu rapuh sekali dan Singapura mempunyai 3 peluang mudah menjaringkan gol dalam kedudukan one by one atau hanya berhadapan dengan penjaga gol, Khairul Fahmie ketika kesemua pertahanan Malaysia sudah tewas dan hanya menjadi pemerhati.

Nasib baik penjaga gol utama Negara, Khairul Fahmi Che Mat dapat menyelamatkan bola itu, kalau tidak kita pasti tewas 4 gol. Jika Sharbinee Allawee yang menjaga gawang Malaysia ketika itu, pasti semuanya sudah bolos dan gol.

Pemain Malaysia yang hidup pada perlawanan seri 1-1 dengan Singapura itu hanyalah penyerang Safee Sali, penjaga gol Khairul Fahmi dan pemain sayap S. Kunanlan.

Hantaran Kunanlan berjaya menemui Safee di minit ke 58 dan Safee melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Singapura.

Sebelum itu pada awal permainan, kombinasi Safee dan Kunanlan hampir menjaringkan gol pertama Malaysia.

Namun sorakan 85,000 penonton di Bukit Jalil tidak bertahan lama, harapan mereka agar Malaysia layak ke pusingan seterusnya dihapuskan dek kegagalan dan kebodohan benteng pertahanan Malaysia yang menyaksikan Singapura mudah menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain impot China, Shi Jiayi di minit ke 73.

Gol penyamaan Singapura itu jelas melunturkan semangat kebangkitan Malaysia, ditambah lagi dengan taktik pemain pemain Singapura yang sengaja melambat-lambatkan perlawanan dengan berpura pura cedera untuk membazirkan masa.

Ketiadaan pemain utility iaitu ketua pasukan dan pakar tendangan percuma, Shafiq Rahim amat dirasai. Mengapa tiada pemain midfield lain di kalangan jutaan remaja dan belia Malaysia yang boleh bermain sebaik Safiq??

Untuk rekod Shafiq sudah banyak menjaringkan gol menerusi tendangan percuma termasuklah gol kelas dunia ketika Malaysia menentang Liverpool pada perlawanan persahabatan awal Julai 2011 lalu.

Shafiq Rahim sepatutnya tahu dia selaku pemain penting, utility dan ketua pasukan dan pakar free kick harus berhati hati agar tidak menerima kad merah dan dibuang padang.

Namun perkara yang tidak diingini itu berlaku juga, dia dibuang padang ketika Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura 23 Julai lalu.

Ketiadaan penyerang sensasi dari Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha juga begitu dirasai. Kombinasi Norshahrul bersama Safee Sali lah yang Berjaya membantu Malaysia menjulang piala AFF Suzuki pada 2010.

Untuk menyelamatkan bolasepak Malaysia, saya cadangkan kepada FAM langkah berikut :

1. Semua benteng pertahanan Negara termasuk penjaga gol Sharbinee, diharamkan terus dari mewakili skuad kebangsaan, pilihlah pemain lain, ramai pemain berbakat di pelusuk pedalaman dan di kampung kampung yang lebih berkaliber dan bersemangat berbanding pertahanan yang ada sekarang. Jika barisan pertahanan sekarang dikekalkan, Malaysia akan terus kecewa ke Piala Dunia, mungkin hanya jaguh serantau.


2. Kekalkan Khairul Fahmi, Safee Sali, Kunanlan dan Shafiq Rahim sebagai pemain utiliti. Malahan kekalkan sebahagian besar pemain yang beraksi menentang pasukan gergasi Inggeris, Chelsea di mana Malaysia hanya tewas tipis 0-1 menerusi gol kontroversi Didier Drogba yang tidak melepasi garisan gol tapi dikira gol. Kekalkan juga penyerang sensasi dari Kelantan Norshahrul Idlan Talaha yang boleh digelar Michael Owen dan Frank Ribery Malaysia.


3. Ikut jejak Singapura yang memiliki 5 pemain impot sah kerana diberikan taraf kerakyatan Singapura. Peraturan ini dibenarkan FIFA. Mengapa tidak Malaysia mencari 5 pemain bagus dari Brazil, Argentina, Uruguay, Chile dan Paraguay yang terkenal dengan bakat bolasepak terpendam untuk diberi kerakyatan? Sebagai contoh pemain terbaik dunia sebanyak 3 kali dari Brazil, Ronaldinho ataupun Marta (pemain terbaik wanita dunia 5 kali berturut turut) dulunya hanya kanak kanak miskin yang bermain bola di jalanan namun bakat mereka dikesan.

Kenapa tidak Malaysia mencari pemain handalan di Afrika seperti di Ghana, Cameroun, Senegal, Nigeria, Ivory Coast, Mesir, Algeria dan Afrika Selatan yang dikenali melahirkan pemain hebat sehingga kesemua Negara itu pernah beraksi di Piala Dunia untuk diberikan kerakyatan?

Kita bukan menyuruh Malaysia mencari dan menjadikan Lionel Messi, Fernando Torres, Andres Iniesta, Puyol, Iker Casillas, Pato, Bojan Kirkic, Neymar dan Kaka sebagai warganegara Malaysia.

Kita hanya mahu mencari pemain berbakat semulajadi yang belum ditemui untuk digilap menjadi sehebat Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Shafiq Rahim, James Wong, Hassan Sani, Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Ghani Minhat, Khalid Ali, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Soh Chin Aun, Abdullah Ali, Santokh Singh, Namat Abdullah, Rosmaini Mohd Shah, Matlan Marjan, Azizul Abu Hanifah, Radhi Mat Din dan ramai lagi lagenda bolasepak tanahair.

Tidak mustahil perkara ni dilakukan kerana cogankata kita ialah Malaysia Boleh!!!

Seperkara lagi, sebelum perlawanan bermula, perasaan tidak senang sudah boleh dirasakan apabila pengacara TV siaran langsung menyebut nama jurulatih Malaysia K Rajagobal sebagai K Rajagopal. Pengacara Itu masih muda tapi sudah nyanyuk, sebutan yang betul ialah RajaGOBAL , bukannya RajaGOPAL.

Stesen televisyen sama tahun lalu turut melakukan kesalahan ketika mengulas mengenai kelayakan Piala Dunia 2010 apabila berkata ini kali pertama Algeria layak ke Piala Dunia pada 2010 sedangkan hakikatnya pengacara itu sudah lupa Piala Dunia 1982 dimana Algeria melakukan UPSET OF THE TOURNAMENT menewaskan Jerman Barat 2-1.

Hanya 2 perkara yang menghiburkan saya sepanjang 90 minit perlawanan tadi iaitu jaringan Safee Sali dan kelibat pegawai perubatan Singapura, doktor wanita yang cantik dan seksi yang lebih 10 kali berlari masuk dan keluar padang merawat pemain Singapura yang sakit dan cedera.

Terima kasih kerana membaca.

TERUSKAN MENGAUM HARIMAU MALAYSIA!!

Tuesday, March 22, 2011

Hassan Sani... Permata Bolasepak Malaysia

Hassan Sani berasal dari Labuan dekat Sabah adalah antara lagenda bolasepak negara.

Beliau sehingga kini masih aktif bermain bolasepak dan sering dilihat di padang bolasepak di Labuan, memperagakan skil dan kemahirannya yang digeruni di Asia pada 1970an dan 1980an.


Hassan Sani (kiri) ketika zaman mudanya, selain berbakat besar, dia juga pemain yang segak, kacak, tampan dan hensom dan mempunyai ramai peminat wanita seperti lagenda bolasepak British, George Best.



Hassan Sani (kiri) bersama 3 lagenda bolasepak negara Soh Chin Aun @ Tauke (2 dari kiri), James Wong atau King James dan Santokh Singh.



Inilah gambar terbaru Hassan Sani di abad ke 21... masih tampak muda dan hensom kan??



Lagi 4 lagenda bolasepak negara duduk bersama dari kiri Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong dan Hassan Sani



Selain memiliki larian amat pantas dan kemahiran mengelecek sehingga 5 pertahanan lawan, tendangan padu kaki kiri adalah antara aset dan senjata utama Hassan Sani yang menjulangnya antara pemain sayap kiri atau left wing paling di geruni di Asia ketika zaman kegemilangannya suatu ketika dulu.



Aksi Hassan Sani ketika menentang Manchester United di Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan.


Hassan Sani dilahirkan di Labuan pada 12 Mac 1958.

Beliau memulakan karier bola sepaknya pada tahun 1974 bersama pasukan belia / remaja Sabah FA sehinggalah 1976 dan mula mewakili skuad senior Sabah pada 1977 hingga 1984.

Di peringkat kebangsaan, Hassan Sani mula menyarung jersi kebangsaan pada 1978 hingga 1986.

Hassan Sani merupakan antara penyerang terbaik yang pernah dilahirkan pasukan negeri dibawah bayu itu selain James Wong serta rakan seangkatannya termasuk Razali Zinin, Peter Rajah, Richard Barnes, Karti Tukimin, Alinjiran Nulantan, Justin Ganai dan ramai lagi.

Kelincahannya beraksi dalam kancah Liga Malaysia mendatangkan gerun kepada pasukan lawan termasuk kepada pertahanan terkenal ketika itu seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Khalid Ali dan ramai lagi.

Tambahan pula keserasiannya bersama James Wong yang juga penyerang kebangsaan menghasilkan banyak kejayaan hinggakan gandingan Hassan-James dikenal sebagai penyerang kembar selepas era Mokhtar Dahari dan Isa Bakar.

Pada tahun 1979, Hassan membantu Sabah untuk menjadi naib juara Liga Malaysia 1979 dan paling menarik Sabah menjadi pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Malaysia ketika itu dengan 49 gol.

Ketika itu, perlawanan Sabah diadakan di stadium Likas yang belum mempunyai kemudahan lampu limpah, sekaligus perlawanan terpaksa diadakan jam 4.30 petang di bawah panas terik sinar matahari.

Namun itu tidak menghalang puluhan ribu penonton berasak asak ke stadium Likas untuk menyaksikan wira mereka membenam lawan termasuk pasukan terkuat ketika itu iaitu Selangor.

Ramai yang tidak dapat masuk ke Stadium dan juga peminat setia Sabah di kampung ulu dan terpencil, pasti mendengar radio secara beramai ramai untuk mendengar juruhebah terkenal RTM Sabah ketika itu, Allahyarham Ismail Mohd Tahir yang sering menjadi pengulas sebelum digantikan Jali Jambolt dan Awang Shaari Haji Ramli.

Hassan mewakili Malaysia buat pertama kali ketika kejohanan Piala Presiden di Seoul, Korea Selatan. Ketika itu, dia masih menjadi pemain simpanan dan idolanya allahyarham Mokhtar Dahari bergandingan bersama Isa Bakar.



Kemuncak karier Hassan Sani bersama pasukan kebangsaan Malaysia atau Harimau Malaysia ialah ketika kelayakan Sukan Olimpik 1980 apabila membantu skuad kebangsaan layak beraksi di Sukan Olimpik, menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka.

Ketika itu Korea Selatan bukan tandingan Malaysia, dan sering kalah di tangan Malaysia sebelum mereka semakin maju dan layak ke Piala Dunia sebanyak 7 kali berturut turut pada 1986, 1990, 1994, 1998, 2002, 2006 dan 2010.

Apapun, detik manis malam itu tercipta apabila tendangan percuma Korea Selatan berjaya dipintas Khalid Ali yang menghantar bola kepada Hassan.

Hassan yang digelar lipas kudung membuat larian pantas menewaskan 3 pertahanan Korea Selatan dan terus membuat hantaran kepada James Wong.

James Wong pula sempat mengelecek seorang pertahanan Korea Selatan sebelum merembat padu dengan kaki kanannya untuk menghasilkan gol kemenangan Malaysia ke Korea Selatan dengan jaringan 2-1.

Sekaligus Malaysia layak ke sukan Olimpik Moscow 1980, kali kedua dan terakhir selepas kali pertama layak ke sukan Olimpik Munich 1972.

Namun sayang seribu kali sayang, Malaysia dan negara lain diterajui Amerika Syarikat telah memboikot sukan Olimpik Moscow kerana memprotes pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Akibatnya, Malaysia tidak beraksi di Sukan Olimpik dan Hassan Sani serta pemain lain termasuk James Wong, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh pastinya amat kecewa dengan keputusan itu kerana politik dikaitkan dengan sukan.

Apapun gol James Wong hasil sumbangan bergeliga Hassan Sani pada satu malam penuh keramat pada tahun 1980 itu menjadi gol terbaik Malaysia sehingga kini.

Gol itu juga menjadi ikon iklan "Semangat Bola" oleh Maxis sempena menaikkan semangat bola di kalangan penduduk Malaysia untuk kejohanan Piala Dunia 2010.

Syabas Hassan Sani... jasamu sentiasa dikenang.. All the Best Sir.

Wednesday, February 23, 2011

Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi perintah hancurkan pemberontak, sedia mati syahid


Libya terletak di utara Afrika dan kedudukannya pula di tengah tengah 2 negara yang sudahpun digulingkan pemerintahnya oleh penunjuk perasaan iaitu Tunisia dan Mesir.






Tahukah anda, kemana saja Presiden Gadaffi pergi, dia akan dikawal oleh 40 wanita selaku pengawal peribadi elitnya.

Kumpulan wanita ini dikenali sebagai the Amazonian Guards kebanyakannya dari Cuba dan masih perawan.

Mereka dipilih sendiri oleh Gadaffi untuk menjadi perisainya.

Wanita ini nampak seksi tetapi mereka amat terlatih mengendalikan pelbagai jenis senjata termasuk rifle Kalashnikov atau AK47 dan segala jenis pistol dan hand to hand combat atau tempur tanpa senjata.



Siapa tidak kenal dengan Presiden Libya, Muammar Gaddafi.

Dia mula menjadi pemerintah Libya sejak lebih 40 tahun lalu setelah melakukan rampasan kuasa pada 1969.

Pemimpin veteran itu hari ini diasak dengan ribuan penunjuk perasaan di Libya termasuk di Tripoli, Tobruk dan Benghazi supaya dia melepaskan jawatannya.


Namun Gadaffi enggan menyerah kalah. Umpama seekor harimau, media AFP melaporkan hari ini bahawa Gadaffi memerintahkan polis dan tentera menghancurkan pemberontak yang cuba menggugat pemerintahannya selama 41 tahun dan memberi amaran penunjuk perasaan akan diperangi sehingga ke titisan darah terakhir.



Dalam ucapannya di kaca televisyen awal hari ini Februari 23 2011, Gaddafi dengan nada marah, menegaskan beliau akan terus kekal sebagai pemimpin Libya dan bersedia mati syahid bagi mempertahankan tanah airnya.

Sambil mendakwa perjuangannya itu disokong oleh rakyat, beliau memerintahkan polis dan tentera menghancurkan pemberontak yang kian meningkat yang kini mengorbankan ratusan nyawa sejak lapan hari lalu.

Beliau memberi amaran bahawa pihak keselamatan akan menyelongkar dan menjejaki pemberontak ke 'setiap rumah dan setiap inci ruang' agar mereka menyerah diri atau berdepan dengan maut.

Beberapa jam kemudian, kerajaannnya buat pertama kali mengeluarkan angka korban akibat kekacauan yang melanda di seluruh Libya iaitu 300 orang, termasuk 58 askar.

Ini menunjukkan Gadaffi berbeza dengan tindakan yang diambil 2 bekas Presiden dua negara yang digulingkan oleh penunjuk perasaan iaitu bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Ben Ali dan Mubarak hanya mengarahkan polis dan tentera membenteras penunjuk perasaan dengan belantan, gas pemedih mata, kuda dan pancutan air.

Namun Gadaffi sebaliknya mengarahkan penunjuk perasaan anti kerajaan diperangi dengan rifel Kalashnikov, tentera upahan, jet pejuang dan senjata anti pesawat!!!

Itu mengundang maut kepada ribuan penunjuk perasaan anti Gadaffi.


Bayangkan senjata pemusnah pesawat atau anti aircraft weapons hanya digunakan untuk memusnahkan jet pejuang dan pesawat musuh. Bayangkan apa berlaku apabila senjata anti pesawat dikenali Tunguska buatan Russia ini disasarkan kepada manusia???



Bagaimana pula jika senjata pemusnah pesawat dikenali Vulcan berkonsepkan Gatling Gun buatan Amerika Syarikat ini digunakan Gadaffi ke atas penunjuk perasaan di Tripoli, Tobruk dan Benghazi??


GAMBAR penduduk di Benghazi yang terbunuh disiarkan dalam Facebook.

Menurut laporan media antarabangsa, dianggarkan 300 orang maut dalam tunjuk perasaan anti Gadaffi sejak 8 hari lalu.

Sehingga artikel ini ditulis, Gadaffi juga dilaporkan kian kekurangan sokongan daripada menteri, duta, diplomat, media, rakyat dan tenteranya sendiri.

Menurut laporan pelbagai media antarabangsa, ramai di kalangan penyokong setianya termasuk tentera kerajaan dilaporkan, mula belot selepas diarahkan menembak rakyat yang menunjuk perasaan disusuli arahan supaya media kerajaan menafikannya.

Menteri Keadilan Libya, Mustapha Abdeljalil, sendiri dilaporkan membantah penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Ada juga laporan bahawa dua juruterbang pesawat pejuang tentera udara Libya berpangkat kolonel membawa pesawat Mirage F1 buatan Perancis melarikan diri ke Malta untuk mendapatkan suaka politik.

Juruterbang itu dikatakan enggan mengikut perintah Gadaffi yang mengarahkan mereka menembak pembantah di Benghazi kata sumber tentera Malta.

Di Stockholm, Sweden, 3 kakitangan tempatan di Kedutaan Libya di Stockholm meletakkan jawatan sebagai membantah serangan terhadap orang ramai oleh pihak berkuasa Libya.

Di New Delhi, Duta Libya ke India, Ali al Essawi meletakkan jawatan dan mendesak masyarakat dunia menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan di negara itu.

Beliau melepaskan jawatannya kerana tidak setuju keganasan digunakan terhadap orang awam di negara itu.

Pegawai Kedutaan Libya di Beijing, Hussein El-Sadek El-Mesrati, turut meletakkan jawatan selepas melihat rakyat dibunuh menyifatkan Gaddafi sebagai ‘Hitler.’

“Saya mahu beritahu, tolong hentikan, permainan berakhir, keluar, pergi ke Israel. Rakyat kamu di Israel bukan orang Arab,” kata El-Mesrati yang tidak memberitahu kedudukannya ketika bersama-sama menyertai penunjuk perasaan di kedutaan Libya.

Duta Libya ke Amerika Syarikat, India, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh turut mendesak Gaddafi meletak jawatan dan memprotes pembunuhan orang awam.

Di Kuala Lumpur, kedutaan Libya mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dikatakan tindakan tidak bertamadun Tripoli membunuh orang awam.

Kira-kira 200 warga Libya di Malaysia mengadakan protes secara aman di kedutaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata beliau dapat bercakap dengan Gaddafi menerusi telefon selama 40 minit kelmarin dan mendesak beliau menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan.

Saksi di Tripoli melaporkan pembunuhan beramai-ramai berlaku di sesetengah kejiranan, bagaimanapun anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam menafikan laporan itu.

Warga asing sudah mula dikeluarkan dari negara itu, sumber keselamatan di Mesir berkata tentera dikerah untuk ditempatkan di sempadan Libya bagi memantau kemasukan pelarian.

Antara negara memulakan operasi membawa keluar warga mereka termasuk Jerman, Itali, Greece, Belanda, Turki, Amerika Syarikat, Yaman, Russia dan Norway.

Malaysia juga dilapor akan berbuat demikian untuk menyelamatkan kira kira 190 rakyat Malaysia di Libya menggunakan pesawat C130 Hercules TUDM, sama seperti prosedur ketika Ops Pyramid mengeluarkan 11,000 rakyat Malaysia dari Mesir.

Pertempuran senjata api berlaku sepanjang malam di Tripoli, apa bila penunjuk perasan menyerang stesen polis dan pejabat penyiaran kerajaan dan membakar bangunan awam.

Selain itu, landasan lapangan terbang Benghazi musnah dalam keganasan yang melanda Libya menyebabkan pesawat tidak dapat mendarat, kata Menteri Luar Mesir, Ahmed Aboul Gheit.

Gadaffi mempunyai 8 anak, 7 lelaki dan 1 perempuan.

Namun seorang anaknya dinamakan Hannibal dilaporkan mempunyai perangai yang amat bahaya termasuk memandu Porsche menentang arus dalam keadaan mabuk di Paris selain pernah memukul isterinya di sebuah bilik hotel di London.

Presiden Gadaffi juga dilaporkan mempunyai tabiat pelik iaitu tidak mahu menaiki lebih 35 anak tangga, mahu membuka khemah di mana mana negara dilawatinya, takut jika pesawat dinaikinya terbang di atas air dan pasti akan membawa seorang jururawat peribadi warga Ukraine Galyna Kolotnytska.


Namun Galyna sendiri dilaporkan sudah meninggalkan Gaddafi dan Libya di sebalik kekecohan yang berlaku di Libya.

Gadaffi dikatakan pasti membawa Galyna ke mana mana saja beliau pergi termasuk ke luar negara sekaligus mencetuskan spekulasi adakah Gadaffi dan Galyna dilamun percintaan romantik???
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs