Showing posts with label semporna. Show all posts
Showing posts with label semporna. Show all posts

Tuesday, April 8, 2014

Penculikan di Singamata Reef Resort, Semporna, ESSCOM lancarkan Ops Gasak di 4 pulau, 19 pusat peranginan


25 PATI DITAHAN DALAM OPS GASAK 4 DI EMPAT PULAU RESORT SEMPORNA



Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek pastinya menghadapi tugas berat mengawal 1400 km pantai timur Sabah, apatah lagi 2 penculikan berlaku di Semporna, kawasan jagaan ESSCOM iaitu di pulau Pom Pom pada November 2013 dan kini Singamata Resort pada 2 April 2014.


Inilah Singamata resort, cantik tapi namanya sudah bertukar menjadi SIngaculik resort.

Sumber Berita: ESSCOM

SEMPORNA, (8 April 2014) -- Seramai 25 orang termasuk empat wanita dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gasak 4 yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) membabitkan 19 resort di empat pulau peranginan di sini, semalam.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata kesemua mereka yang berumur dari enam tahun hingga 52 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dalam operasi yang bermula pada jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya pulau-pulau terbabit ialah Mabul, Kapalai, Pom-Pom dan Mataking.

"Kita telah memeriksa dokumen seramai 360 orang, dan daripada jumlah itu, kita menahan 21 lelaki dan empat perempuan yang disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad berkata mereka yang tidak mempunyai dokumen sah itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Beliau berkata sekiranya PATI terutama pekerja resort itu terbukti melakukan kesalahan mengikut akta tersebut dan kemudiannya dijatuhkan hukuman di mahkamah, tindakan selanjutnya ialah mendakwa majikan terbabit atau pengusaha resort kerana menggaji pekerja asing yang tidak memiliki dokumen sah.

Mohammad berkata operasi bersepadu berkenaan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Daerah Semporna.

"Kita akan teruskan Ops Gasak ini ke seluruh kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dengan tumpuan di pulau-pulau peranginan atau resort dan perkampungan atas air," katanya.

Katanya operasi berkenaan merupakan susulan kepada Ops Gasak 3 yang dilaksanakan pada 8 Mac lepas, Ops Gasak 2 pada 29 Dis tahun lepas, dan Ops Gasak 1 yang dilancarkan pada 24 Nov tahun lepas yang melibatkan beberapa pulau di perairan Semporna.

Ends. Moga pantai timur Sabah terus aman dan bebas dari sebarang ancaman di masa depan.


Monday, April 2, 2012

Semporna Sabah terus dimajukan menerusi 2 projek mega dan 1 pelaburan Mega





Semporna yang terletak di Pantai Timur Sabah dikenali dengan keindahan Pulau Sipadan dan Mabul yang diiktiraf antara 2 pulau terindah dunia bagi penggemar aktiviti menyelam.

Namun usaha berterusan dilakukan kerajaan negeri Sabah dan Pusat untuk terus membangunkan Semporna menerusi 3 projek Mega.

Projek dimaksudkan ialah :

1. Jambatan Pulau Bum Bum sepanjang kira kira 1.4 kilometer menghubungkan Pulau Bum Bum dengan tanah Besar Semporna. Untuk rekod, Pulau Bum Bum yang keluasannya menyamai Singapura, mempunyai 40 ribu penduduk, 17 sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah berpusat berasrama penuh. Projek ini menelan belanja kira kira RM420 juta.

2. Pembinaan jalanraya 4 lorong dari Balung ke Semporna sejauh 41 kilometer melibatkan peruntukan kira kira 420 juta ringgit. Ketika ini jalan itu hanya ada 2 lorong, digunakan pelabur dan pelancong juga oleh penduduk Semporna untuk perjalanan seharian.

3. Penternakan udang galah menerusi usahasama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat makanan segera Amerika Syarikat melibatkan pelaburan RM2 Billion Einggit.

Usahasama itu bakal menlonjakkan lagi ekonomi Semporna dan pantai timur Sabah itu dibangunkan bersama Inno Fisheries, sebuah anak syarikat milik penuh Yayasan Sabah dan Darden Aquafarm, sebuah anak syarikat Darden Incoprorated, pemilik Red Lobster dan rantaian restoran makanan laut Amerika Syarikat,

Projek itu merangkumi kawasan seluas 9,300 hektar di pulau Bohey Dulang, Semporna, dijangka menjana 12,000 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2020.

Darden Incoportaed berpengkalan di Orlando, Florida, Amerika Syarikat memiliki kira kira 2,000 restoran di Amerika Utara dan Kanada.

Jualan udang galah daripada projek itu dijangka mencecah RM3 bilion menjelang 2025.

Ketika ini Ahli Parlimen Semporna ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah Malaysia serta Naib Presiden UMNO.

Thursday, January 19, 2012

Kerajaan BN memang prihatin kepada rakyat Sabah



Selasa lalu, 17 Januari 2012, Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang ke Semporna, di pantai Timur Sabah untuk program agihan bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M selain program pemimpin bersama rakyat dan perjumpaan bersama penjawat awam. Ini lawatan pertama Muhyiddin ke Semporna sejak dilantik Timbalan Perdana Menteri pada 2009.



Dan keceriaan jelas terpancar di wajah pakcik ini setelah menerima RM500 BR1M daripada Muhyiddin sendiri di padang pekan Semporna. Untuk rekod, pakcik ini tidak boleh berjalan dan terpaksa didukung anak lelakinya dan terpaksa menaiki bot dari Pulau Larapan untuk ke Semporna bagi menerima bantuan RM500 ini, pastinya amat bermakna kepada beliau. Ringanlah beban beliau dan murahlah rezeki kepada mereka yang memberikan bantuan ini.






Pada majlis ini, Muhyiddin memberitahu bahawa pemberian BR1M adalah praktikal dan boleh dilaksanakan kerajaan meskipun ada 4 juta penerima dan kosnya kira kira 2 billion ringgit.

Bukan sahaja rakyat menerima BR1M berupa RM500 seorang, malahan pelajar sekolah juga mendapat bantuan RM100 seorang ketika awal musim persekolahan dan pelajar Tingkatan 6 pula menerima baucar pendidikan RM200 seorang.

Subsidi 22 billion ringgit tahunan pula disalurkan kerajaan untuk memastikan rakyat tidak perlu membayar harga tinggi bagi membeli barangan keperluan seharian.

Ini berbeza dengan pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang (atau roket) tetapi mustahil dilaksanakan seperti janji menghapuskan Tol dan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, PTPTN, yang sememangnya dan semestinya tidak praktikal.

Kalau nak hapuskan tol, siapa nak bayar kos 10 billion ringgit yang dibelanjakan syarikat pembina lebuhraya itu? Siapa? Anwar Ibrahim? Lim Kit Siang? Karpal Singh? Azmin Ali? Semestinya bukan dan tidak!!!



Gambar ini menunjukkan wajah ceria dan gembira seramai 37 golongan kurang berkemampuan termasuk warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (O-K-U) menerima sumbangan sempena Tahun Baru Cina di DUN Tanjung Batu dalam kawasan Parlimen Kalabakan, di Sabah.

Sumbangan barangan keperluan asas seperti minyak masak, tepung, gula,
limau mandarin serta 'ang pau' itu disampaikah ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tanjung Batu, Tawau, baru baru ini.

Menurut Hamisa, sumbangan itu bertujuan meringankan beban kaum
Tionghua sempena Tahun Baru Cina supaya mereka dapat menyambutnya
dalam keadaan gembira dan selesa.

"Diharap sumbangan ini membolehkan mereka membuat persediaan awal
sempena sambutan Tahun baru Cina ini," katanya selepas majlis
penyampaian sumbangan itu.

Nah, inilah keprihatinan kerajaan BN untuk rakyat Sabah.

Untuk rekod, BN Sabah mencatat kejayaan cemerlang apabila menang 59 daripada 60 kerusi DUN Sabah dan 24 daripada 25 kerusi Parlimen pada pilihanraya umum 2004 dan 2008.

Sekaligus digelar Fixed Deposit.

Lantaran tsunami politik di Semenanjung, Anwar Ibrahim dan kroninya terdesak untuk mendambakan sokongan pengundi Sabah dan Sarawak kerana dia kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri.

Sebenarnya Anwar Ibrahim ada jalan mudah untuk menjadi Perdana Menteri pada 1993 apabila dia menang perebutan jawatan Timbalan presiden UMNO ketika menentang Timbalan Presiden ketika itu, Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Ketika itu Anwar Ibrahim mendapat tendangan penalti dan dia hanya perlu menendang bola ke dalam gawang gol. Namun Anwar Ibrahim memilih untuk menendang bola itu dari kawasannya sendiri dan mengelecek beberapa pertahanan lawan sebelum cuba merembat bola, namun bola itu tersasar, tidak gol.

Anwar tidak cerdik menutup kelemahannya, dituduh seorang gay dan homoseksual sehingga dibenci dan dipecat oleh Tun Mahathir Mohamad. Anwar memilih jalan sukar untuk menjadi PM.

Oleh itu rakyat Sabah, ingatlah, pilihlah permata, bukannya kaca, negara bukan sahaja bakal bengkrap apabila ditadbir Anwar kerana dulu dia selaku Menteri Kewangan Malaysia mahu meminjam daripada Tabung Matawang Antarabangsa, IMF ketika dunia dilanda krisis ekonomi dan kegawatan kewangan global.

Indonesia meminjam dari IMF dan huru hara berlaku, rusuhan berlaku, bunuh membunuh berlaku dan Suahrto dipaksa letak jawatan sebagai Presiden.

Thailand juga begitu, porak peranda.

Nasib baik Malaysia dan Tun Mahathir tidak mengikut telunjuk dan cadangan Anwar untuk pinjam dari IMF, jika tidak binasa kita.

Orang macam ini kah yang kita mahu untuk mentadbir Malaysia?

Jawapannya tidak, sama sekali tidak.....

Tuesday, March 8, 2011

Shafie Apdal - Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah capai sasaran NKRA



Tahniah kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, KKLW khususnya menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana berjaya mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Nasional, NKRA kementeriannya pada awal 2011.

Datuk Seri Mohd Shafie yang juga Naib Presiden UMNO, sememangnya orang paling sesuai memegang potfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah kerana dia berasal dari luar bandar iaitu di daerah Semporna, Sabah.

Kita tahu Sabah dan Sarawak antara negeri paling memerlukan peruntukan menyediakan kemudahan asas luar bandar seperti jalanraya, bekalan air dan elektrik serta rumah rakyat.

Sumber : Laporan Bernama 8 March 2011 (Selasa)

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjaya membina jalan sepanjang 207.7 kilometer (KM) sehingga 31 Jan lepas, yang merupakan sebahagian daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menyediakan Infrastruktur Asas Luar Bandar di seluruh negara.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata pembinaan itu satu pencapaian memberangsangkan dan kementerian pada tahun ini perlu menyiapkan lagi
697.4 km jalan untuk mencapai sasaran menyiapkan 905.12 km jalan termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

"Daripada jumlah 207.7 km ini, 44.50 km melibatkan jalan raya di Sabah, 37.37 km di Sarawak dan 125.86 km di Semenanjung Malaysia," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur, 8 Mac 2011.

Mengenai bekalan elektrik di luar bandar, kementerian berjaya menyediakan bekalan elektrik kepada 99 rumah di Semenanjung Malaysia sementara bagi kawasan perumahan di Sabah dan Sarawak, ia masih lagi dalam proses dan dijangka dapat dibekalkan pada tahun ini.











Lain-lain kemudahan infrastruktur luar bandar yang terdapat dalam NKRA kementerian seperti bekalan air, pembinaan rumah dan membaik pulih rumah rosak, masih belum dapat dicapai disebabkan beberapa masalah teknikal dan usaha sedang dilakukan bagi memastikan kemudahan berkenaan disediakan pada tahun ini.

Thursday, March 25, 2010

Shafie Apdal - dari Ketua Pemuda UMNO Sabah ke Naib Presiden



Tuah Ayam nampak di kaki, Tuah harimau nampak di belang, Tuah manusia siapa yang tahu.

Itulah tuah YB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilahirkan pada 20 Oktober 1957 di Kampung Bubul, Semporna, Pantai Timur Sabah, Malaysia Timur.

Perjalanan karier politiknya bermula dari bawah dan mendaki pucuk kepimpinan parti sedikit demi sedikit berkat daya usaha dan kegigihan beliau yang tidak pernah mengenal putus asa.





Dulunya Shafie Apdal dikenali sebagai Ketua Pemuda UMNO Sabah yang kecil tapi ligat.

Itu tahun 1994, ketika itu Datuk Seri Shafie selaku ketua pemuda UMNO Sabah dan Exco Pemuda UMNO pusat, ligat berkempen dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah pada Februari 1994, taatkala BN berdepan cabaran hebat pembangkang iaitu Parti Bersatu Sabah, PBS yang ketika itu memerintah Sabah.

Pendek cerita, PBS pimpinan Ketua Menteri Sabah ketika itu Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan menang, apabila meraih 25 kerusi berbanding 23 kerusi dimenangi BN.



Namun kerajaan PBS yang baru berusia 3 minggu, akhirnya tumbang selepas satu demi satu ADUNnya bertindak keluar parti menyertai parti komponen BN ataupun menubuhkan parti baru seperti Parti Demokratik Sabah, PDS (kemudiannya dikenali UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, PBRS, kedua duanya diterima ke dalam BN.

Datuk Seri Shafie memainkan peranan penting dalam peralihan kuasa itu, apabila berkempen penuh semangat selaku ketua pemuda di seluruh pelusuk Sabah, bukan hanya berkempen di tempat kelahirannya di Semporna, tetapi juga di pedalaman Sabah.

Memandanya ataupun mentor Datuk Shafie iaitu Tan Sri Sakaran Dandai (kini Tun), kemudiannya dilantik Ketua Menteri Sabah yang baru.

Pada pilihanraya umum 1995, Datuk Seri Shafie Apdal mengorak langkah politiknya apabila buat pertama kalinya bertanding di kerusi Parlimen Semporna, semestinya atas tiket BN. Beliau menang dan terus menjadi Ahli Parlimen Semporna sehinggalah sekarang pada 2010.

Dalam ertikata lain, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Semporna sebanyak 4 penggal berturut turut pada pilihanraya umum 1995, 1999, 2004 dan 2008, semuanya dengan majority maha besar.

Pada 1997, Datuk Shafie menang kerusi Majlis Tertinggi UMNO dan berjaya mengekalkannya sehingga 2008 apabila beliau mengambil keputusan untuk buat pertama kalinya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia.

Tindakan beraninya itu pada mulanya dipandang secara skeptical oleh pemerhati politik mahupun rakan dan seteru politiknya.









Apa tidaknya, ini percubaan pertama beliau dan terpaksa pula berdepan calon lain yang dianggap lebih dikenali termasuklah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Khaled Nordin.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah pada 1999 hingga 2001, Datuk Osu Sukam pernah bertanding kerusi Naib Presiden UMNO, namun hanya mendapat tempat keempat.

Namun siapa sangka, tuah Shafie Apdal, dia menang satu daripada kuota Naib Presiden dibelakang Zahid Hamidi dan Hishamuddin.

Sekaligus mencatat sejarah sebagai anak Sabah pertama menang jawatan Naib Presiden UMNO. Pemilihan itu turut mencatat satu lagi sejarah bagi Sabah apabila 3 pemimpin dari negeri itu turut menang kerusi Majlis Tertinggi UMNO. Mereka ialah Ketua Menteri YAB Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan - Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin dan Ahli Parlimen Kinabatangan - Datuk Bung Moktar Radin.

Hasil kemenangan itu, Shafie diberi kepercayaan oleh Najib dan dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, dengan matlamat merampas semula tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada PAS menerusi usaha memperkasakan semula UMNO di bumi Kedah.

Potfolionya dalam kabinet persekutuan turut dinaikkan pangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak daripada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ini juga kali pertama seorang anak Sabah dilantik ke jawatan penting dan kanan itu.

Sejurus dilantik sebagai menteri bertanggung jawab bagi pembangunan luar Bandar, Shafie memikul tugas berat dalam melaksanakan Bidang Keputusan Utama Nasional, NKRA luar Bandar, satu daripada 6 teras NKRA digariskan Najib.





Kementeriannya diberi peruntukan 18 billion ringgit untuk melaksanakan pelbagai projek memperkasakan prasarana asas luar Bandar demi lonjakan kesejahteraan rakyat pedalaman.

Antaranya membina 60 ribu unit rumah rakyat, membina 1,500 kilometer jalanraya berturap di Sabah dan Sarawak dengan kos 4 billion ringgit, membina jalan berturap dengan kos 1 billion ringgit di Semenanjung Malaysia serta juga bekalan air bersih dan bekalan elektrik luar Bandar.

18 billion ringgit itu perlu dibelanjakan dalam tempoh 3 tahun sehingga 2012.

Mampukah Shafie – anak Sabah, anak Semporna, anak Pulau Bum Bum melaksanakan dan memikul tanggung jawab maha berat itu?










Jawapannya ya. Meskipun ada cubaan pihak tertentu termasuklah kenyataan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengenai kontrak bekalan elektrik luar Bandar yang dikatakan menguntungkan pihak tertentu sahaja, Shafie tenang menjawab segala pertuduhan itu yang disifatkannya tidak berasas sama sekali.

Jawapan beliau, lengkap dengan fakta rasional, sudah disiarkan media arus perdana.

Ketika ini juga media alternative hangat membuat spekulasi, Shafie bakal dilantik Ketua Menteri Sabah yang baru menggantikan Datuk Seri Musa Aman. Sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan saja yang tahu.

Berbalik kepada potfolio Shafie sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie sebenarnya mula dilantik ke dalam kabinet persekutuan pada 15 Mei 1995 sebagai setiausaha parlimen Kementerian Penerangan. Jawatan itu disandangnya hinggalah 24 Mei 1999.

Sejurus berakhir pilihanraya umum 1999, Shafie dilantik ke jawatan lebih senior selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jawatan itu disandangnya hanya 7 bulan apabila dinaikkan pangkat pula ke jawatan lebih senior selaku Timbalan Menteri Pertahanan.

Shafie menjalankan tugas dengan amat baik sekali sebagai Timbalan Menteri Pertahanan mulai 14 Disember 1999 hingga 29 Mac 2004, ini termasuklah menangani krisis tebusan Pulau Sipadan pada April 2000. Dalam insiden yang menggamit minat dunia itu, 21 pelancong asing serta pekerja rakyat Malaysia di Pulau Sipadan, Semporna diculik kumpulan Abu Sayyaf diketuai Ghalib Andang atau Komander Robot dan dilarikan ke Jolo, Selatan Filipina.

Shafie sendiri bersamaYong Teck Lee, Sairin Karno dan pegawai kerajaan Filipina turun padang ke selatan Filipina untuk menyelesaikan krisis tebusan itu. Hasilnya kesemua pelancong dan rakyat Malaysia yang diculik termasuk 6 kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah, selamat kembali ke pangkuan keluarga masing masing tanpa ada pertumpahan darah.

Shafie turut terlibat dalam melaksanakan pelan tindakan Ops Pasir bertujuan memantapkan lagi kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah dari Kudat di utara hingga Semporna di Selatan, bagi mengelak insiden Sipadan berterusan.

Menerusi Ops Pasir, pos kawalan tentera darat dan pasukan gerakan am diwujudkan di pulau dan daratan strategik untuk mengekang kemasukan anasir tidak diingini yang cuba mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Selepas pilihanraya umum 2004, Shafie sekali lagi dinaikkan pangkat, kali ini dari Timbalan Menteri kepada Menteri Penuh. Potfolionya Menteri Perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dari 30 Mac 2004 hinggalah 13 Februari 2008.

Selama 4 tahun memegang jawatan itu, Shafie turut berdepan cabaran hebat, antaranya kes kekurangan bekalan gula di pasaran, begitu juga penyeludupan diesel. Namun sekali lagi Shafie berjaya mengharungi badai dan gelora itu untuk melayarkan bahteranya merentasi samudera dengan tenang dan selamat.

Antara tindakan drastik dan berkesan yang dilakukan Shafie dalam menangani krisis bekalan gula adalah dengan menghantar bekalan gula menerusi prosedur kecemasan lagi cepat, iaitu menggunakan kapal Tentera Laut Di Raja Malaysia. Di Sabah, beratus ratus tan metrik bekalan gula dihantar dari pembekal di Semenanjung ke Pelabuhan Kota Kinabalu menggunakan kapal TLDM, kerana ini cara paling cepat berbanding menggunakan perkhidmatan kapal laut komersial. Hasilnya, pengguna di Sabah termasuklah di pedalaman, mendapat bekalan gula yang ketika itu begitu kritikal termasuklah ketika musim perayaan.

Selepas pilihanraya umum 2008, umum tersentak apabila Shafie ditukarkan potfolio ke sebuah kementerian yang dikatakan kurang penting iaitu Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Menurut orang ramai, menteri yang jaga muzium!!

Namun hanya kira kira setahun selepas itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baru – Najib menggantikan Pak Lah, Shafie menang kerusi Naib Presiden dan sehingga sekarang menjalankan tugas begitu penting sebagai menteri bertanggung jawab memperkasakan kesejahteraan hidup penduduk Luar Bandar di Malaysia.

Dari segi akademik, bapa kepada 6 cahaya mata ini dan suami kepada Datin Seri Hajjah Shuryani Datuk Haji Shuaib, merupakan seorang pelajar cemerlang. Beliau melanjutkan pengajiannya di United Kingdom, lebih tepat pengajian Diploma Pengurusan dan Perkapalan di London Business College. Pada 1979 hingga 1982, Shafie melanjutkan pelajarannya di Universiti Staffordshire, England dan berjaya mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian.

Sebelum bergiat dalam politik, Shafie pernah bertugas sebagai pegawai ekonomi di kementerian kewangan Sabah, pegawai pentadbir kanan di jabatan ketua menteri Sabah dan penolong setiausaha kanan kementerian pembangunan perindustrian dan luar Bandar Sabah.

Shafie juga pernah bertugas sebagai setiausaha politik kepada Tan Sri Sakaran Dandai (kini Tun), ketika Sakaran menjadi Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia pada 1991 hingga 1993.

Shafie juga adalah anggota jawatankuasa penaja UMNO Sabah ketika UMNO mula mula mengembangkan sayapnya ke negeri di bawah bayu pada 1991.

Pendek kata, Shafie adalah seorang pemimpin yang taat dan setia kepada perjuangan parti dan memahami keluhan, permintaan, keperluan dan kehendak akar umbi, berlandaskan kepada perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Perjalanan karier politiknya bermula dari bawah dan mendaki pucuk kepimpinan parti sedikit demi sedikit berkat daya usaha dan kegigihan beliau yang tidak pernah mengenal putus asa.

Ayuh Shafie… terus maju jaya.. Datuk Shafie juga mempunyai blog rasminya di alamat ini http://shafieapdal.com/



Lagu ini begitu popular di Semporna setiap kali ada acara dirasmikan Datuk Shafie Apdal.

Madsukul (Terima Kasih dalam bahasa Semporna), Madsukul kerana membaca…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs