Showing posts with label tenom. Show all posts
Showing posts with label tenom. Show all posts

Monday, December 26, 2011

Kementerian Pelajaran dirayu berikan peluang baki Guru Sandaran Tidak Terlatih, GSTT di Sabah ke IPTA/IPG






Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Sabah, Jamawi Jaafar merayu Kementerian Pelajaran Malaysia agar memberikan peluang kepada baki GSTT di Sabah untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Guru.

Dari 578 orang Guru-guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang diperjuangan oleh Pergerakan Pemuda Umno agar kontrak mereka disambung untuk terus berkhidmat sebagai GSTT di negeri ini, hanya 185 sahaja yang mendapat tawaran untuk mengikuti kursus KPLI.

Selebihnya sebanyak 345 tidak mendapat tawaran tersebut dimana sebahagiannya berkhidmat kurang dari 2 tahun salah satu syarat Kementerian Pelajaran untuk menyambung kontrak atau menyerapakan mereka ke kursus KPLI sementara ada yang sudah berkhidmat di sektor yang lain

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar berkata, Pemuda Umno Tenom yang telah berusaha memperjuangkan nasib GSTT di Sabah sebelum ini berharap guru-guru yang masih belum menerima tawaran tersebut dan layak dari segi syarat yang ditetapkan Kementerian pelajaran wajar memberikan peluang serta keutamaan kepada mereka berdasarkan pengalaman dan minat mereka dalam bidang perguruan.

“ Kita berharap baki yang ada dan belum mendapat tawaran pihak Kementerian Pelajaran wajar memberikan pertimbangan , ini kerana masih terdapat keperluan bagi mengisi kekurangan guru khususnya di kawasan luar Bandar di negeri ini” katanya ketika ditemui disini selepas mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Tionghua di Pejabat pergerakan Pemuda Umno Tenom.

Menurut Jamawi walaupun ada di kalangan guru guru yang tidak mencukupi syarat 2 tahun mengajar namun sebilangan mereka berpengalaman dimana sebelum berkhidmat sebagai GSTT ada dikalangan mereka menjadi guru penganti dan pernah berkhidmat di sekolah sekolah swasta di Sabah.

Tambah Jamawi bagi menangani isu mereka yang layak dan masih belum menerima tawaran ini, Pergerakan Pemuda Umno Tenom telah pun menghantar suart rayuan resmi berserta dengan senarai GSTT yang terlibat yang masih menunggu tawaran kepada pihak berkenaan.

Selain dari itu Jamawi juga berharap isu penempatan graduan pendidikan UPSI/IPTA dan UNIRAZAK juga seharusnya dapat diselesaikan seberapa segera agar nasib anak anak muda ini dapat di bela dan mampu menyumbang untuk memperkasakan mutu pendidikan Negara

Dalam pada itu Pemuda Umno Tenom juga berharap sekiranya penempatan belum dapat dilaksanakan untuk kursus KPLI untuk sesi pengambilan Januari 2011 untuk baki sebanyak 345 GSTT yang belum menerima sebarang tawaran itu, kementerian diharap dapat mempertimbangan untuk di sambung kontrak mereka untuk berkhidmat secara kontrak 'contract of service' selama setahun agar mereka cukup syarat untuk memasuki KPLI pada pengambilan akan datang.

Teks : Jaafar Abdul Wahid

Saya sendiri amat setuju dengan pandangan ini kerana GSTT ini amat rajin dan sanggup berkhidmat di pedalaman di kawasan yang tiada kemudahan asas. Berilah mereka peluang.

Kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, dengarlah rintihan dan rayuan ini. Terima kasih.

Makan Nasi Daun Pisang beramai ramai, keunikan Krismas di Tenom, Sabah


Inilah keunikan sambutan Krismas di Tenom. Kelihatan penduduk kampung Merais, Tenom makan nasi dan lauk Krismas beralaskan daun pisang secara beramai ramai di Balai Raya kampung terbabit, sekaligus menyerlahkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di Sabah.



Ketua Pemuda UMNO Tenom merangkap Exco Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar sama sama meraikan sambutan Krismas 2011 di Kampung Merais, Tenom.



Antara acara menarik sambutan Krismas di Kampung Merais, Tenom yang dihuni masyarakat Murut, 1 daripada kaum etnik di Sabah.







Pendekatan dilakukan Pemuda Umno bahagian Tenom, Sabah dengan mempelbagai program turun padang semasa sambutan perayaan Hari Krismas tahun 2011, dilihat pendekatan yang mampu mempupuk semangat perpaduan antara kaum yang menjadi asas keharmonian negara dalam konteks 1 Malaysia.

Dengan pelbagai pengisian program, Pemuda Umno Tenom diketuai Jamawi Jaafar terus mengatur gerak kerja turun padang bagi bersama masyarakat khususnya mereka yang merayakan sambutan Krismas.

“ Kita mahu semangat perkongsian perayaan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjalin hubungan muhibbah antara kaum yang perlu kita lestarikan sebagai warisan yang kekal sepanjang masa” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program Pemuda Umno Tenom turun padang melawat beberapa kampung sempena Krismas di Tenom, satu daripada kawasan pedalaman di Sabah.

Antara kampung dilawati ialah Kalibatang Baru, Merias, Kemabong, Bauku, Mangunsip dan Mentimug.

Sepanjang lawatan, rombongan bukan sahaja menyertai program rumah terbuka Krismas yang dianjurkan, malah turut menyertai sukaneka, pertandingan bola sepak dan tarik tali.

Menurut Jamawi, kepelbagaian budaya dan bangsa di Sabah telah menjadi ikon kepada pembinaan satu bangsa yang bersatu padu, sesuai dengan Gagasan 1 Malaysia yang perlu dipertahankan.

“ Ianya perlu terus diperkukuhkan sebagai landasan bagi membawa Malaysia dan rakyatnya menjadi sebuah Negara berjaya dan maju menjelang tahun 2020” katanya.

Adakah Jamawi bakal dicalonkan di Parlimen Tenom atau DUN sekitarnya pada pilihanraya umum ke 13 akan datang? Sama sama kita nantikan.

Teks Asal /Foto - Jaafar Abdul Wahid

Artikel diolah semula oleh Malaysian Hollywood 2.0

Friday, October 28, 2011

152 Graduan pendidikan Universiti Tun Razak di Sabah, masih menunggu tawaran menjadi Guru


JAMAWI JAAFAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN TENOM

Tarikh: 28 Oktober 2011

Seramai 152 orang graduan pendidikan di Sabah yang telah menamatkan pengajian mereka di Unversiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam jurusan pendidikan masih belum menerima tawaran untuk ditempatkan di mana mana sekolah di negeri itu.

Mendedahkan perkara ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom Jamawi Jaafar berkata, baru-baru ini beliau telah ditemui oleh beberapa orang lepasan dari Institusi tersebut yang berharap isu tersebut dapat disampaikan kepada pihak yang berkenaan.

Menurut Jamawi, Guru berkenaan telahpun menerima ijazah mereka pada tahun 2009, 2010 dan tahun ini 2011.

Namun sehingga kini mereka belum menerima sebarang tawaran untuk berkhidmat sebagai pendidik dimana–mana sekolah di Sabah.

Sehubungan dengan itu Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia meminta kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia agar bertindak segera.

Ia bagi membolehkan graduan lepasan UNIRAZAK ini diberikan peluang untuk berkhidmat sebagai Guru.

“ Dengan ilmu yang mereka ada khususnya dalam bidang pendidikan semasa belajar di unversiti ,kita merasa rugi jika ianya tidak dapat dimanafaatkan dan dicurahkan kepada anak bangsa di negeri ini” katanya.

Menuurut Jamawi hasil pertemuannya dengan Setiausaha Sulit Menteri Pelajaran dan Pegawai Khas Menteri (Bahagian Guru) baru baru ini di Putra Jaya , beliau dimaklumkan kementerian Pelajaran hanya mengambil dan menempatkan guru guru terhad kepada graduan keluaran Institusi Pendidikan Guru, IPG dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam, IPTA sahaja.

Sehubungan dengan itu katanya Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom mendesak agar guru guru yang dikeluarkan oleh IPTS seperti UNIRAZAK diberikan peluang untuk mengajar di sekolah sekolah terutamanya diluar Bandar bagi menampung kekurangan yang sedia ada.

“ Kebanyakan mereka yang terlibat ini menjadi sandaran ibubapa mereka, yang sudah tentu mereka agak kecewa bila anak-anak mereka gagal mendapat pekerjaan yang menjadi sandaran untuk membela nasib dan masa depan keluarga mereka” tambah Jamawi.

Tegas Jamawi sekiranya kelonggaran tidak dapat diberikan, Pergerakan Pemuda Umno mahu pengurusan unversiti dan Kementerian Pengajian Tinggi menggugurkan kursus pendidikan di IPTS terbabit agar anak-anak muda dan pelajar tidak menjadi mangsa kepada situasi berkenaan.

Jamawi turut berharap kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dapat membantu mengatasi masalah itu.

Ingatlah, Tanpa Guru, siapalah kita.

Monday, September 5, 2011

Usahawan dan Pereka Fesyen Sabah, Datin Rahmahjan Sulaiman Khan menempa nama di Eropah dan Amerika Syarikat





Bermula sebagai hobi, kini mendatangkan hasil amat lumayan dan menembusi pula pasaran Eropah.

Itu kisah seorang usahawan wanita dari Sabah yang kini boleh berbangga apabila rekaan beg tangan dan bajunya, bukan sahaja mendapat sambutan di dalam negeri, malahan juga di eropah..

Individu dimaksudkan, Datin Rahmahjan Sulaiman Khan, 42 tahun, dilahirkan di Sandakan, Sabah.

Beliau kini boleh berbangga sebagai antara pereka fesyen paling berjaya di Malaysia.

Produk beg tangan, jenama J-Khan dan koleksi baju jenama “RJ coutoure” rekaan datin Rahmahjan, bakal menembusi pasaran fesyen di Paris dan juga London, selepas mendapat sambutan di Milan, Itali.

Namun, untuk sampai ke tahap dinikmati sekarang, bukan mudah.

Terpaksa menempuh pelbagai kesulitan.

Datin Rahmahjan, anak seorang pegawai polis, dulunya hidup susah setelah kematian kedua ibu bapa.

Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk membiayai persekolahan 3 adik beradiknya.

Namun, minat dalam bidang rekaan fesyen, mengubah nasib keluarga itu.

Dengan kerjasama seorang penjahit pakaian warga Korea, Datin Rahmahjan mula berkecimpung sepenuh masa dalam rekaan fesyen baju sejak 4 tahun lalu dan rekaan beg tangan sejak 3 tahun lalu.

Koleksi pakaian “RJ Coutoure” dan beg tangan jenama “J-Khan”, mendapat sambutan luar dugaan.

Ini kerana fesyen rekaannya unik dan mempunyai tarikan tersendiri, yang sesuai untuk semua acara termasuk casual, sopistikated dan untuk bekerja,

Sekaligus mendorongnya membuka butik di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Singapura.

Januari 2010, rekaan fesyen baju Datin Rahmahjan, menyertai pertunjukan fesyen Milan di Itali dan mendapat sambutan di kota fesyen itu.

Mac 2011 lalu, koleksi beg tangan J-Khan dan pakaian, diperagakan dalam pertunjukan fesyen di Paris.

Menurut Datin Rahmahjan beliau ada cadangan untuk memasukkan motif tradisional kaum etnik Sabah iaitu Kadazan, Dusun dan Murut dalam beg tangan dan jika diperagakan di Paris, Milan atau London, maka semua orang akan tahu kaum Kadazan, Murut tu berasal dari Sabah.

Kini, koleksi rekaan beg dan fesyen baju rekaan Datin Rahmahjan sudah boleh didapati di Paris, Dubai dan juga Amerika Syarikat.


Ratu Malaysia Universe 2011, Deborah Harry berkata beg tangan rekaan J-Khan mampu
dimiliki dan berkualiti tinggi, rekaannya juga bagus dengan bahan menarik, ini sesuatu yang menarik bagi pereka fesyen Malaysia untuk memperagakan jenama di Paris.



Inilah Pasaraya terkenal London, Harrods



Ketika ini, Datin Rahmahjan mahu memasarkan beg tangan rekaannya di pasaraya Harrods London, jika tiada halangan kelak dan dalam tempoh terdekat.

Jika berjaya, dia rakyat Malaysia kedua selepas Jimmy Choo (pereka kasut antarabangsa) yang berjaya memasarkan produk rekaan mereka di Harrods yang dimiliki jutawan Arab, keluarga Al-Fayed.



Datin Rahmahjan juga aktif sebagai ketua wanita Umno Tenom, Sabah dan sering memberikan bantuan kepada masyarakat di tenom yang memerlukan, termasuk di bulan puasa lalu Ramadhan 1432 Hijrah.

Syabas dan tahniah Datin Rahmahjan, Sabah boleh dan Malaysia boleh.

Monday, July 4, 2011

Pemuda UMNO Tenom, Sabah minta isu agama dan kaum jangan dibincang secara terbuka



SEMANGAT SETIA KAWAN.... Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin (2 dari kiri) menyaksikan Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar (kiri sekali) dan Ketua Pemuda UMNO Keningau (2 dari kanan) yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Azman Ruslan bersalaman erat tanda semangat setiakawan diakhir perhimpunan Pemuda UMNO Tenom pada 30 Mei 2011 di Tenom, Sabah. Turut kelihatan kanan sekali Ketua Pemuda UMNO Semporna, Mohd Azis Hj Jamman.



Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Tenom, Sabah

Gambar / Teks : Jaafar Wahid

TENOM, Sabah 30 Mei 2011 : Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom, Sabah meminta agar semua pihak menghentikan perdebatan terbuka mengeni isu agama dan kaum di negara ini bagi mengelakkan ia boleh mengeruhkan keharmonian serta perpaduan kaum yang telah dikecapi selama ini.


Ketuanya Jamawi Jaafar berkata isu agama dan kaum sepatutnya dibincangkan dalam majlis tertutup baik di peringkat kerajaan atau kepimpinan tertinggi parti bagi menghormati sensitiviti rakyat di negara ini yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama yang mejoritinya menghargai perpaduan dan keharmonian terus terpelihara.


“ Jika isu ini kita bincangkan secara terbuka ianya bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan namun ianya turut memberikan ruang kepada beberapa pihak tertentu terutamanya parti pembangkang yang memanipulasikan isu ini untuk kepentingan politik mereka” katanya ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di Tenom pada 30 Mei 2011.


Persidangan yang dihadiri lebih dari 1000 orang terdiri dari perwakilan dan pemerhati itu dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Keningau Azman Haji Roslan.


Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan ini sememangnya termaktub dalam perlembagaan negara tanpa mengenapikan hak,kepentingan serta kebebasan kaum kaum yag lain.


" Jika isu ini dibincangkan secara terbuka kita perlu memikirkan serta memahami perasaan kaum lain, sebagai contoh Umno bahagian Tenom sahaja enam puluh lima peratus ahlinya terdiri dari kaum bumiputera Islam yang sudah tentu akan memberikan kesan negatif terhadap kekuatan parti" katanya.

Wednesday, June 29, 2011

Perdana Menteri melawat daerah pedalaman Kemabong, Sabah 30 Jun 2011


Ketua Pemuda Umno dan BN Tenom, Jamawi Jaafar alu alukan lawatan Perdana Menteri ke Kemabong pada 30 Jun 2011.



Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijadual melawat daerah pedalaman Sabah di Kemabong pada Khamis 30 Jun 2011. Kemabong terletak berhampiran pekan Tenom yang terkenal dengan kopi Tenomnya. Jaraknya 200 kilometer dari Kota Kinabalu.

TENOM, Sabah 30 Jun 2011 :

Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom menzahirkan rasa penghargaan serta mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak yang dijadulkan melawat daerah ini khususnya ke daerah kecil Kemabong pada 30 Jun 2011.


Ketuanya Jamawi Jaafar berkata lawatan Perdana Menteri ini merupakan satu apresiasi kepada rakyat khususnya di kawasan Pedalaman yang bukan sahaja dikunjungi namun berpeluang untuk beramah mesra dengan pemimpin nombor satu Negara itu.


“Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom amat terharu dengan lawatan Perdana Menteri ini dan ianya merupakan satu penghormatan serta penghargaan khsusnya kepada rakyat di daerah ini dalam melestarikan konsep “ Rakyat di dahulukan dan Pencapaian Diutamakan” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia melalui lawatan ini Perdana Menteri bukan sahaja dapat menyelami denyut jantung rakyat namun dengan sendirinya beliau (Najib) akan dapat melihat landskap sebenarnya budaya serta hidup bermasyarakat pelbagai kaum di negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman .

Tambahnya penghormatan bagi Umno bahagian Tenom sebagai tuan rumah bagi program Juara Rakyat bersama Najib yang juga Presiden Umno ini merupakan satu penghormatan kepada Umno bahagian itu yang mejoiriti ahlinya terdiri dari bukan masyarakat Islam .

“ Disini sudah tentu Perdana Menteri dapat melihat keunikan tersebut bukan sahaja keunikan dari segi budaya dan adat resamnya namun beliau dapat melihat akan kemantapan jalinan kerjasama pelbagai kaum di daerah ini yang telah lebih awal mengamalkan konsep 1 Malaysia dalam kehidupan bermasyarakat” tambah Jamawi

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional semasa lawatan ini difahamkan akan menikmati sarapan di Langkau Pantiongaison iatu rumah rehat masyarakat Murut yang dibuat khusus untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri juga berpeluang untuk melawat 19 buah rumah tradisi etnik Murut yag dibina dengan menggunakan buluh dan kayu .

Sehubungan dengan itu Jamawi berharap rakyat khususnya di daerah Tenom akan hadir beramai-ramai bagi menyembut kadatangan Perdana Menteri sebagai tanda sokongan dan penghargaan mereka kerana dikunjungi oleh pemimpin yang berjiwa dan mesra rakyat ini.

“ Bagi pergerakan pemuda Umno bahagian Tenom kita telah bersedia menyembut kedatangan Perdana Menteri dalam lawatan ini dimana sebanyak 2,000 orang anggota Pergerakan Pemuda Barisan Nasional akan berkumpul bagi menyembut kedatangan Najib di Padang Pekan Kemabong” jelas Jamawi.

Tuesday, November 30, 2010

Buaya jinak di Kampung Simpangan, Tenom, Sabah, mampu memahami kata kata manusia



Buaya Jinak dikenali "Pakcik Akun" di Kampung Simpangan, Tenom, Sabah


Lazimnya buaya tidak dijadikan haiwan peliharaan kesayangan di rumah kerana sifat semulajadinya yang ganas.

Namun sebuah keluarga di kampung Simpangan, Tenom, Sabah, bukan sahaja menjadikan seekor buaya sepanjang 5 meter sebagai haiwan peliharaan yang amat disayangi, malahan dilaporkan dilayan seperti anggota keluarga sendiri, selain keistimewaan buaya itu yang dikatakan boleh memahami kata kata manusia.

Buaya ini dikenali dengan panggilan “pakcik akun”.

Ditemui 50 tahun lalu pada 1960 oleh seorang penduduk kampung simpangan, Ho Su Ming.

Ketika itu, Su Ming menangkap ikan di sungai Pegalan.

Ketika ditemui, buaya itu hanya sebesar ibu jari kaki dan kelihatan tidak bermaya.

Buaya itu kemudiannya dibawa pulang dan dipelihara sehingga membesar.

Selepas 50 tahun, buaya itu membesar melebihi panjang 5 meter dan seberat anggaran 3 ribu kilogram.

Reptilia itu juga jinak dan dikatakan boleh memahami kata kata manusia.

Antaranya membuka mulut, memusingkan kepala dan berjalan apabila di beri arahan dalam bahasa Malaysia.

Malahan orang ramai juga boleh memegang dan duduk di belakang buaya, tanpa dicederakan.

Rumah keluarga Su Ming menjadi tumpuan orang ramai dari jauh dan dekat yang ingin melihat buaya itu.

Ketika tinjauan ke rumah keluarga ini, Su Ming tiada di rumah kerana bekerja di Semenanjung Malaysia.

Namun menurut ibunya, Liew Kim Lin, 87 tahun, buaya itu dianggap seperti ahli keluarga sendiri dan sentiasa diberi makan dan dibersihkan.

"Dia makan ayam, ikan, daging, ahh..." kata Kim Lin yang masih sihat dan berbual mesra dengan setiap tetamu ke rumahnya.

Ekoran usia Liew Kim Lin yang sudah lanjut, tugas memberi makan dan membersihkan buaya kini dilakukan pekerjanya, Agustina Lamahadah.

Menurut Agustina, ketika kali pertama memberi makan dan membersihkan kandang Pakcik Akun, buaya itu seolah olah tidak mahu menerimanya. Namun kini buaya itu sudah mesra dengannya.

"Akupun kasi bersih kandang dia pun, yg pertama tu dia tak mau, dia meradang, habis saya masih baru, jadi dia tak terima, kadang kadang saya datang kasitau Mama..." Kata Agustina yang mesra memanggil Liew Kim Lin sebagai Mama.

Demikianlah kisah Pakcik Akun, Buaya jinak di Kampung Simpangan, Tenom.

Untuk rekod, Tenom juga dikenali dengan Taman Pertanian Lagud Sebrang yang disifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Taman Pertanian terindah di dunia.

Selamat berkunjung ke Sabah - negeri di bawah bayu...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs