Friday, July 23, 2010

Najib menjejakkan kaki ke Long Banga, kawasan paling terpencil di Malaysia


22 Julai 2010, Penduduk Long Banga, bangga dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara...


Pada 22 Julai 2010 bersamaan hari Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejakkan kaki ke sebuah penempatan yang dikategorikan sebagai paling terpencil di Malaysia iaitu di Long Banga, Ulu Baram, Sarawak.

Perdana Menteri memulakan perjalanan ke Long Banga dengan menaiki konvoi 9 buah helikopter, bertolak jam 9 pagi pada 22 Julai 2010 dari Lapangan Terbang Miri.

Setiba di Long Banga, Perdana Menteri telah diberi sambutan penuh tradisi oleh masyarakat orang Ulu terdiri kaum Penan, Kelabit, Kenyah, Kayan, Lun Bawang serta kaum lain.

Mereka begitu teruja kerana pemimpin nombor 1 negara, menjejakkan kaki buat kali pertama ke penempatan yang amat terpencil itu.

Long Banga terletak hampir dengan sempadan Indonesia dan dikelilingi hutan belantara serta bukit bukau.

Bayangkan untuk ke Long Banga dari Miri, anda perlu menaiki kenderaan pacuan 4 roda menerusi jalan berlumpur dan berbahaya yang digunakan jentera balak selama 8 jam hingga 12 jam. Jika pergi balik, bermakna perjalanan anda mengambil masa 16 jam hingga 24 jam.

Namun itulah keperitan penduduk Long Banga dan kampung sekitarnya yang begitu dahagakan dan begitu dambakan pembangunan.

Sudah lebih 50 tahun mereka hidup dalam keadaan sedemikian. Maswings sebenarnya menyediakan penerbangan 2 kali seminggu dari Miri ke Long Banga menggunakan pesawat Twin Otter, namun jika cuaca tidak mengizinkan, maka tiada penerbangan.

Kapasiti Twin Otter juga terhad, hanya kira kira 14 hingga 20 penumpang sahaja dan bagasi dan muatan kargo yang boleh dibawa juga terhad.

Di Long Banga, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan 100 juta ringgit untuk menaik taraf dan membina jalanraya sejauh 42 kilometer menghubungkan Jalan Baluru-Lapok dan Long Lama bagi memudahkan penduduk Long Banga dan sekitarnya untuk ke Miri bagi urusan seharian.

Laluan itu sememangnya dalam keadaan amat uzur dan bukan sahaja menyukarkan perjalanan, malahan juga membahayakan perjalanan khususnya ketika hujan lebat kerana laluannya menjadi becak dan dikelilingi pula jurang di kiri kanan jalan.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan 6 juta ringgit bagi projek hidro elektrik mini Long Banga, 1 juta ringgit bagi jalan kampung menuju lapangan terbang Long Banga dan 500 ribu ringgit untuk Klinik Desa Bergerak.

Peruntukan untuk pesawah padi di seluruh Sarawak juga dinaikkan dari RM10,000 seekar kepada RM14,000 seekar.

Di Long Banga, Najib juga merasmikan sebuah jambatan berharga RM325,000 dibina syarikat pembalakan Samling Strategic Corporation untuk faedah 1,000 penduduk.

Penduduk Long Banga sememangnya Bangga dengan lawatan pemimpin nombor 1 negara itu.

Malahan, lokasi pedalaman tidak menghalang mereka untuk meraikan sambutan hari jadi ke 57 Najib yang jatuh pada 23 Julai.

Najib memulakan lawatannnya ke Long Banga dengan menaiki helikopter dari Miri jam 9 pagi dan hanya tiba di destinasi lawatan keduanya di Bekenu, dekat Miri pada jam 2 petang. Ini bermakna untuk Long Banga saja, Najib memperuntukkan masa 5 jam untuk penduduk pedalaman itu.


Sebelum lawatan dan selepas lawatan itu, Perdana Menteri menulis menerusi Twitter dan Facebooknya mengenai pengalamannya melawat antara kawasan paling terpencil di Malaysia :

Selepas lawatan itu, Perdana Menteri membuat posting ini :

“I am so touched that some Penans walked for 2 days to attend my function in Long Banga, Baram yesterday.”

“Baram, 22/07/2010 - Merasmikan jambatan yang baru dibina di Long Banga, Baram. Penempatan Orang Ulu di sini antara yang paling terpencil di Malaysia.”

“Baram, 22/07/2010 - Dikejutkan dengan kek harijadi dari masyarakat Orang Ulu di Long Banga sewaktu lawatan.”

Sebelum lawatan, Perdana menteri membuat posting ini :

“I'm looking forward to a full itinerary in Sarawak tomorrow, including a visit with the Orang Ulu community in Long Banga.”

“Managed to take a morning jog before I head out to Long Banga. It's a good start to the day.”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs