Saturday, August 7, 2010

Corat Coret Piala Dunia 2010










CORAT CORET PIALA DUNIA 2010


Selama sebulan, bermula 11 Jun 2010 hingga 11 Julai 2010, kita puas menyaksikan 64 perlawanan Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan. Bermula dengan perlawanan pembukaan di Soccer City, Johannesburg yang pada 11 Jun 2010 menyaksikan pasukan tuan rumah Afrika Selatan seri 1-1 dengan Mexico menerusi jaringan Thasabalala (Afrika Selatan) dan Rafael Marquez (Mexico) sehinggalah ke perlawanan akhir juga di Soccer City, Johannesburg yang menyaksikan Sepanyol menjulang Piala Dunia buat pertama kali, menewaskan Holland atau Belanda 1-0 di final menerusi jaringan tunggal pemain Barcelona Andres Iniesta pada minit ke 116. Final itu berakhir beserta dengan penyampaian hadiah berakhir sekitar jam 12 tengah malam di Johannesburg bersamaan 5 pagi waktu Malaysia.

Piala Dunia itu sepertimana juga Piala Dunia terdahulu sejak 1930 menyajikan banyak sekali kenangan terindah serta kenangan duka kepada 6 billion peminat bolasepak di seluruh dunia.

Kenangan terindah buat penyokong Sepanyol kerana pasukan jolokan La Furia Roja atau Red Fury itu menjulang Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah dan kenangan lebih terindah buat penyokong Barcelona kerana 7 pemain utama skuad Sepanyol adalah pemain kelab Catalan itu, antaranya Carles Puyol, Andres Iniesta dan Xavi.

Sepanyol juga adalah juara bertahan Euro 2008 menewaskan Jerman 1-0 di final dalam Euro 2008 di Austria dan Switzerland itu.

Sepanyol menjuarai Piala Dunia dengan kekalahan dalam perlawanan pertamanya, tewas mengejut 0-1 di tangan Switzerland sebelum menang 6 perlawanan berturut turut termasuk 4 daripadanya dengan keputusan 1-0.

Setelah tewas kepada Switzerland 0-1, Sepanyol mengalahkan Honduras 2-0, Chile 2-1, Portugal 1-0 di pusingan ke 2, Paraguay 1-0 di suku akhir, Jerman 1-0 di separuh akhir dan Holland 1-0 di final.

Apa agaknya perasaan kulit hitam dari Switzerland yang menjaringkan gol kemenangan pasukannya ketika menewaskan Sepanyol 1-0 itu?? Dia mungkin berasa bangga kerana hanya gol jaringannya sahaja yang mampu menewaskan Sepanyol sepanjang piala Dunia 2010.

Uruguay – juara 2 kali pada 1930 dan 1950 juga boleh pulang dengan bangga setelah layak ke separuh akhir setelah kali terakhir layak ke last 4 pada piala dunia 1970 di Mexico. Uruguay mara ke separuh akhir sebelum ditewaskan Belanda 2-3. Pada penentuan tempat ke 3 dan ke 4, Uruguay tewas 2-3 kepada Jerman. Midfield Uruguay – Diego Forlan dipilih sebagai pemain terbaik Piala Dunia 2010 apabila jaringan pentingnya membantu Uruguay mara sehingga ke separuh akhir.

Penjaga gol Uruguay, Muslera paling mengecewakan kerana kegagalannya menjaga gawang dengan berkesan menyebabkan Uruguay kandas di separuh akhir. Dalam 2 perlawanan separuh akhir dan penentuan ke 3 dan 4, Muslera dibolosi 6 kali ketika tewas 2-3 kepada Belanda dan 2-3 kepada Jerman. Sekiranya Muslera mempunyai kepakaran seperti Iker Casilas – penjaga gol Sepanyol yang menang anugerah sarung tangan emas atau Golden Glove ataupun tangkas seperti penjaga gol Ghana – Kingson, sudah pasti Uruguay boleh menjulang piala Dunia 2010. Malang buat Uruguay kerana Muslera bukan penjaga gol yang bagus.

Manakala Jerman – juara 3 kali pada 1954, 1974 dan 1990 mengesahkan statusnya sebagai antara pasukan terkuat dunia apabila menduduki tempat ke 3 sama dengan tempat ke 3 pada kejohanan 2006 di mana ketika itu Jerman menewaskan Portugal 3-1.

Pemain muda Jerman Thomas Mueller yang baru berusia 20 tahun dipilih pemenang kasut emas dengan 5 gol. Mueller – pemain Bayern Munich mempunyai masa depan amat cerah dalam bolasepak. Sebelum Piala Dunia 2010, kita tidak berapa mengenali siapa itu Thomas Mueller, sebaliknya kita hanya tahu siapa itu Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Wayne Rooney ataupun Didier Drogba serta David Villa dan Fernando Torres. Kita juga kini tahu kemampuan dan kehebatan penyerang muda Uruguay – Luis Suarez .

Apapun penyerang veteran Jerman, Miroslav Klosse turut menempa sejarah apabila sudah menjaringkan 12 gol dalam piala Dunia sejak 2002, 2006 dan 2010.

2 pasukan bekas juara dunia dan finalist Piala Dunia 2006 iaitu France dan Itali menanggung aib apabila pulang awal setelah masing masing hanya Berjaya mengutip 1 mata dan 2 mata sahaja.

France juara 1998 tersingkir pada pusingan awal setelah sekadar seri 0-0 dengan Uruguay, tewas 0-2 kepada Mexico dan tewas 1-2 kepada Afrika Selatan. Itali – juara 4 kali pada 1934, 1938, 1982 dan 2006 hanya seri 1-1 dengan Paraguay dan New Zealand sebelum tewas 2-3 kepada Slovakia pada perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan.

Malang buat peminat Les Bleus (Perancis) dan The Azzuris (Itali).



Juara 5 kali – Brazil pula kandas di suku akhir. Mereka memulakan kempen piala Dunia 2010 dengan menewaskan pasukan Korea Utara 2-1 dan Ivory Coast 3-1 serta seri 0-0 dengan Portugal. Di pusingan ke 2 Brazil menewaskan Chile 3-0 sebelum disekat Belanda / Holland 1-2 di suku akhir akibat kesilapan dan kebodohan pemain Brazil – Felipe Melo yang melakukan 3 kesalahan besar dan tidak boleh dimaafkan dalam perlawanan itu. Felipe Melo – antara pemain terburuk pernah dilahirkan di Brazil, menjaringkan 1 gol sendiri, kemudiannya tidak mengawal Wesley Sjneider untuk gol kedua Belanda dan akhirnya di buang padang setelah tindakan bodohnya memijak kaki Arjen Robben. Bodoh punya Felipe Melo..!!!

Pada perlawanan piala dunia 2010, beberapa pemain menyatakan ini penampilan mereka yang terakhir khususnya pemain yang sudah berusia lebih 30 tahun. Antaranya penyerang profilik Perancis, Thierry Henry yang sudah 4 kali bermain di piala Dunia sejak France 1998, Korea/Japan 2002, Germany 2006 dan South Africa 2010. Begitu juga pemain Mexico Blanco yang bermain sejak France 1998 hingga South Africa 2010.

Namun pemain terbaik dunia 2009 Lionel Messi dari Argentina, dijangka terus menggegar pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Pada piala Dunia 2010, kita melihat pasukan 6 Afrika bersaing iaitu tuan rumah Afrika Selatan, Ghana, Ivory Coast, Nigeria, Algeria dan Cameroun. Namun hanya Ghana yang mampu layak paling jauh ke suku akhir sebelum tewas penentuan sepakan penalti kepada Uruguay 4-3 setelah masa perlawanan sebenar dan masa tambahan terikat seri 1-1.

Sebelum itu Cameroun mencatat sejarah layak ke suku akhir piala dunia 1990 sebelum tewas 2-3 kepada England. Pada Piala Dunia 2002, Senegal juga layak ke suku akhir namun tunduk 0-1 kepada Turki.

Dalam 6 pasukan Afrika di piala Dunia 2010, kesemua penjaga golnya kecuali dari Algeria yang berkulit agak cerah, mempunyai wajah seakan akan sama. Hehehe…

Ada juga pemain yang mempunyai nama lucu seperti Demerit dari USA, Cha Duri dari Korea Selatan, Welcome (lupa pemain dari Negara mana) dan Puyol (Sepanyol) kerana fesyen rambutnya juga macam penyapu lantai atau Mop lantai.


Cha Duri - Korea Selatan

Jurulatih Argentina, Diego Maradona pula berkata “kekalahan ini umpama ditumbuk Muhammad Ali” komen beliau selepas Argentina tewas 0-4 kepada Jerman di separuh akhir.

Kesimpulannya jika pasukan kelab mahu menang apa juga kejuaraan kelab dunia samada Champions League atau World Club Champions, pasukan itu harus mempunyai pemain seperti Xavi, Andres Iniesta dan David Villa (Spain), Landon Donovan (USA), Arjen Robben (Belanda), Lionel Messi (Argentina), Diego Forlan (Uruguay) serta penjaga gol Ghana – Kingson.

Dalam konteks ini Barcelona lah pasukan terhebat dunia kerana selain mempunyai 7 pemain yang membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010, Barcelona juga memilik pemain terbaik dunia 2009 Lionel Messi dari Argentina serta pemain yang baru dibeli iaitu David Villa.

Pemain Barcelona seperti Puyol, Xavi dan Iniesta sudah menang semua kejuaraan bolasepak dunia di peringkat kelab dan Negara. Mereka membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010, Euro 2008 selain kejuaraan Champions League 2006 dan 2009, La Liga Sepanyol, Piala Raja Sepanyol dan Juara Kelab Dunia.

Satu daripada rahsia tonggak pertahanan Sepanyol dan Barcelona – Puyol adalah mengamalkan senaman YOGA..!! Hmmmm kita perlu ikut petua beliau tu..

Insiden hand ball oleh Luis Suraez (Uruguay) ketika menampan bola untuk menghalang gol kedua Ghana pada suku akhir sebenarnya pernah dilakukan Maradona pada suku akhir piala dunia 1990 menentang Yugoslavia. Ketika itu Argentina disaingi hebat Yugoslavia dan jika Maradona tidak menampan bola itu dengan tangan, sudah pasti Argentina tewas. Pada piala dunia 1990, Argentina mara ke final namun tewas 0-1 kepada Jerman.

Pada final piala dunia 1990 juga, seorang pemain Argentina dibuang padang kerana bermain kasar ala Gusti dan nama dia adalah Giusti…!!!

Menurut teori World Cuppa yang sudah bertahan dan tepat selama 48 tahun, Piala Dunia 2010 sepatutnya milik pasukan Amerika Selatan. Teori World Cuppa yang saya namakan demikian adalah tepat sejak 1962 lagi apabila pasukan Amerika Selatan dan Eropah silih berganti memenangi Piala Dunia, kalau tak percaya cubalah chek sejak piala dunia 1962, 1966, 1970, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2006 – semua pemenangnya silih berganti antara pasukan Amerika Selatan dan Eropah.

Namun saya amat hairan sekali kerana pada Piala DUnia 2010, pusingan world cuppa tidak lagi bertahan. Jika ikut giliran pemenang piala dunia 2010 pasukan dari Amerika Selatan kerana juara terdahulu pada 2006 ialah Eropah iaitu Jerman.

Namun menurut the Grand Order of the Grand Chamberlain of the Grand keeper of the sacred world cuppa merangkap the highest of all keepers of the sacred world cuppa, pusingan world cuppa yang baru akan bermula pada 2014 di Brazil di mana pasukan Amerika Selatan akan silih berganti memenangi Piala Dunia tanpa member peluang langsung kepada pasukan Eropah. Ingatlah mulai 2014, 2018, 2022 dan seterusnya, hanya Brazil, Argentina dan Uruguay yang memenangi Piala Dunia mengikut arahan the new keeper of the sacred world cuppa…!!!

Namun the sacred world cuppa telah mencuba sebaik mungkin untuk memastikan piala dunia 2010 milik pasukan Amerika Selatan. Ini terbukti apabila Brazil, Argentina, Paraguay dan Chile sudah kecundang, harapan terakhir terletak di bahu Uruguay.

Nahh.. buktinya, the sacred world cuppa telah turun dari langit dan merendahkan palang gol Uruguay serendah 8 milimeter ketika penyerang Ghana Asamoah Gyan mengambil sepakan penalty di minit terakhir masa tambahan separuh masa kedua pada suku akhir.

Jika Asamoah Gyan berjaya menjaringkan gol penalti itu, maka Ghana akan ke separuh akhir buat pertama kalinya. Namun setelah palang gol direndahkan 8mm, Asamoah Gyan tidak percaya sepakannya terkena palang lalu menyelamatkan Uruguay.. Uruguay kemudiannya memenangi penentuan sepakan penalty 4-3.

Pada pertembungan separuh akhir mempertemukan Uruguay dengan Holland, the sacred world cuppa sekali lagi memainkan peranan ketika Uruguay ketinggalan 0-1 menerusi jaringan awal jarak jauh Van Bronchorts. Sepakan jarak jauh pemain Uruguay, Diego Forlan seakan menuju terus kepada penjaga gol Belanda Mark Van Bommel namun pada saat akhir, bola itu telah berpusing secara melencong atau inswinger ke kiri Van Bommel, seakan akan dibawa oleh tangan yang ghaib lagi ajaib!! Namun perlawanan itu dimenangi Holland 3-2 untuk member laluan kepada pusingan baru world cuppa pada 2014.

Sebelum ini pada final piala dunia 1994, the keeper of the sacred world cuppa juga telah turun dari langit ketika Roberto Baggio sedang bersiap mengambil sepakan penalty untuk Itali menentang Brazil di final. Ketika itu perlawanan terikat 0-0 selepas tamat masa tambahan dan pemenang ditentukan menerusi penalty shoot out. Jika Baggio selaku penyepak trakhir, berjaya menjaringkan gol, maka Itali juara piala dunia 1994, bukannya Brazil. Namun sepakan Baggio – pemain terbaik dunia 1995 tinggi melangit, setelah the sacred world cuppa merendahkan palang gol serendah 8mm, sekaligus memastikan Brazil juara piala dunia 1994. Ini kerana 1994 adalah giliran Amerika Selatan untuk menang piala dunia kerana piala dunia terdahulu pada 1990 dimenangi Jerman mewakili Eropah. Faham tak?? Hehehe

Dengan kemenangan Sepanyol dalam piala dunia ke 2010, maka pasukan Eropah sudah menang piala dunia sebanyak 9 kali. Begitu juga pasukan Amerika Selatan sebanyak 9 kali. Bermakna seri 9 – 9.

Namun dari segi pemain lagenda dunia – 2 nama teratas kekal milik Amerika Selatan iaitu Pele (Brazil) dan Diego Maradona (Argentina). Argentina juga mempunyai seorang lagi pemain legenda iaitu Alfredo D’Stefano. Brazil pula mempunyai ramai pemain legenda selain Pele iaitu Zico, Didi, Vava, Garrincha, Roberto Rivelino, Ronaldo, Romario, Bebeto, Ronaldinho, Roberto Carlos, Rivaldo, Careca, Socrates, Falcao, Eder, Junior, Jairzinho dan Gerson.

Ronaldo dan Ronaldinho umpamanya pernah dinobatkan pemain terbaik dunia sebanyak 3 kali, Rivaldo, Kaka, Romario juga pernah memenangi gelaran berprestij itu.

Pemain legenda dari Eropah pun ramai namun belum setanding Pele dan Maradona – mereka ialah George Best dari Ireland Utara, Eusebio – Portugal, Ferenc Puskas – Hungary, Just Fontaine – Perancis, Eric Cantona, Michel Platini, Alain Girrese, Jean Tigana, David Ginola dan Zinedine Zidane – kesemuanya dari Perancis, Roberto Baggio, Paolo Maldini, Franco Baresi, Paolo Rossi, Dino Zoff, Gianluigi Buffon, Daniel Bertoni, Guiseppe Bergomi dan ramai lagi kesemuanya dari Itali, Georghe Hagi – Rumania, Hristo Stoichkov – Bulgaria, Alan Simonsen, Jasper Olsen dan Preben Ekjaer – Denmark, Dragan Stojkovic – Yugoslavia, Eusebio dan Luis Figo – Portugal, Lato dan Smolarek – Poland, Bobby Charlton, Bobby Moore, Geoff Hurst, Alf Ramsey, Kevin Keegan, Bryan Robson, Alan Shearer, John Barnes, Gary Lineker kesemuanya dari England, Ian Rush dan Ryan Giggs – Wales serta Kenny Dalglish dan Terry Mc Dermot – Scotland.

Oleh itu marilah kita beramai ramai nyanyikan lagu “Spanish Eyes” kepada pasukan Sepanyol dan Barcelona…!!!

Kita juga harus menyemarakkan semangat bolasepak dengan menyanyikan rasmi World Cup 2010 “waka waka” nyanyian penyanyi kelahiran Colombia – Shakira.

Jurulatih Sepanyol Vincente Del Bosque pastinya menjadi kekesalan kepada pasukan lamanya Real Madrid kerana Real Madrid pernah membuangnya sebagai jurulatih. Namun Del Bosque membuktikan betapa dia amat hebat dengan membimbing Sepanyol juara piala dunia 2010.

Real Madrid juga amat ganjil kerana pernah membuang pengurusnya Fabio Capello meskipun Capello membimbing Real Madrid juara La Liga Sepanyol ketika itu. Barisan bintang Real Madrid kini yang dibarisi Kaka, Cristiano Ronaldo, Iker Casillas dan Xavi Alonso, juga tidak mampu memenangi La Liga Sepanyol pada musim 2009/2010 yang dimenangi Barcelona.

Bagi pemain sayap Belanda – Arjen Robben – dia mungkin sudah 2 kali dikecewakan dalam tempoh 2 bulan dalam final 2 kejohanan terbesar dunia. Pada May 2010, pasukan kelabnya Bayern Munich tewas 0-2 kepada Inter Milan pada final Champions League dan 2 bulan selepas itu pasukan negaranya, Belanda tewas 0-1 kepada Sepanyol di final Piala Dunia 2010. Namun diakui Robben memang hebat sekali – dia berjaya mengemudi pasukan kelab dan negaranya layak ke 2 final terbesar dunia 2 kali berturut turut dalam masa 2 bulan!!!

Pengadil sering kali dipersalahkan setiap kali berlangsungnya Piala Dunia. Pada piala dunia kali ini beberapa keputusan pengadil dipertikaikan. Antaranya gol Frank Lampard untuk England yang nyata sudah melepasi garisan tetapi tidak diiktiraf pengadil dari Uruguay Jorge Larrionda. England akhirnya tewas 1-4 kepada Jerman pada pertembungan pusingan kedua itu.

Begitu juga gol offside Carlos Tevez untuk Argentina menentang Mexico pada pusingan kedua tetapi dibenarkan pengadil.

Pengadil dari Guatemala juga tidak lekang dari kontroversi ketika perlawanan Paraguay menentang Sepanyol di suku akhir. Gol Paraguay tidak dikira kerana dikatakan offside sedangkan ulang tayang televisyen menunjukkan gol itu sah dan pemain Paraguay yang berambut kerinting panjang itu tidak offside ketika menjaringkan gol menewaskan Iker Casillas.

Pengadil juga tidak memberikan Paraguay sepakan penalti kedua atas kesalahan pemain Sepanyol memasuki petak penaltik ketika Cardozo mengambil sepakan yang diselamatkan Casillas itu. Sepanyol juga dianugerahkan sepakan penalti tidak lama selepas itu selepas David Villa dijatuhkan, dan Berjaya disumbat gol oleh Xavi Alonso, namun pengadil mengarahkan sepakan diambil semula kerana pemain Sepanyol memasuki petak penalty ketika sepakan itu diambil. Sepakan penalty kedua Xavi Alonso Berjaya diselamatkan penjaga gol Paraguay.

Pengadil sepatutnya memberikan sepakan penalty ketiga kepada Spain, kerana David Villa dijatuhkan di kotak penalty ketika penalty kedua Alonso diselamatkan. Hmmm.. pening kannn.. Namun akhirnya Sepanyol menang perlawanan itu 1-0 jaringan David Villa – namun bola itu terkena palang 2 kali sebelum masuk ke gawang Paraguay!!

Satu lagi persoalan, mengapakah pengadil bertauliah FIFA dari Malaysia, Sukhbidin Mohd Salleh, tidak diberi tugas sebagai penjaga garisan atau pengadil. Dalam kesemua perlawanan yang melibatkan Subkhidin, dia hanya dilihat menjadi pegawai keempat , hanya memegang papan tanda elektronik sahaja…

Apapun Piala Dunia 2010 meninggalkan seribu kenangan kepada 6 billion peminat bolasepak di dunia dan jutaan lagi di galaksi lain termasuk di stesen angkasalepas antarabangsa, ISS.

Pemain ternama seperti pemain terbaik dunia 2008 Kaka - Brazil, pemain terbaik dunia 2009 Lionel Messi – Argentina dan Fernando Torres – Sepanyol semuanya pulang tanpa menjaringkan sebarang gol. Namun Torres harus berpuas hati kerana pasukannya menjulang Piala Dunia 2010.

Syabas Sepanyol… Hidup Brazil… Viva Liverpool..

Terima kasih kerana membaca…

2 comments:

ArMs said...

Now that's one long post ;)

bebek said...

Thanks for reading ArMs... i did this post typing non stop for almost 3 hours while stopping over n Miri Airport en route to Kota Kinabalu without refering to other websites.. it was all based on my observations and memories during the 2010 World Cup in South Africa..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs