Showing posts with label pairin. Show all posts
Showing posts with label pairin. Show all posts

Tuesday, September 20, 2011

Barisan Nasional Sabah tubuh 4 Jawatankuasa, 20 Sept 2011

Barisan Nasional, BN Sabah mewujudkan EMPAT jawatankuasa untuk memperkuatkan perpaduan dan kerjasama di kalangan parti komponen BN negeri itu.


Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan hari ini, Selasa 20 September 2011 berkata EMPAT jawatankuasa itu ialah :



Jawatankuasa mengenai hal ehwal tanah dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.



Jawatankuasa mengenai pendatang tanpa izin dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.



Jawatankuasa perlantikan jawatan politik dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.



Serta Jawatankuasa anugerah pingat dipengerusikan Datuk Abdul Rahman Dahlan sendiri.

Setiap jawatankuasa dianggotai 2 wakil dari setiap komponen BN Sabah.

Parti komponen BN Sabah terdiri UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Nunuk Ragang Kadazan-Dusun-Murut Bersatu atau UPKO DAN Parti Liberal Demoratik, LDP.

Menurut Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman telahpun mengarahkan semua jawatankuasa itu bermesyuarat segera supaya setiap maklumbalas dibentangkan pada mesyuarat BN Sabah akan datang untuk tindakan lanjut.

Penubuhan jawatankuasa itu menunjukkan BN amat komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan negeri bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.



Untuk rekod, 4 isu dalam jawatankuasa itu yang mencakupi Jawatankuasa mengenai Tanah, Pendatang Tanpa Izin, Perlantikan Jawatan politik dan Anugerah Pingat, seringkali menjadi isu utama yang diperdebatkan di Sabah.

Isu Tanah milik penduduk kampung yang menjadi warisan sejak sekian lama tetapi tiba tiba dirampas syarikat milik orang bukan Bumiputra ataupun syarikat milik orang luar, sudah seringkali dilaporkan di media.

Antaranya berlaku di Beluran, Pitas, Beluran, Tangkarason, Paitan dan kawasan pedalaman Sabah yang lain.

Semoga penubuhan 4 jawatankuasa itu menepati penubuhannya, umpama moto Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Tuesday, June 14, 2011

Pairin Kitingan. belum tiba masanya bagi saya melepaskan jawatan Presiden PBS




Pengasas dan Presiden PBS dan juga Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

Presiden parti Bersatu Sabah, PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata belum tiba masanya bagi beliau untuk melepaskan jawatan presiden Parti itu yang disandangnya sejak 26 tahun lalu.

Sebaliknya beliau masih bersedia bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

“saya telah dinasihatkan bahawa belum masanya untuk saya bersara. saya bekerja keras untuk memastikan diri saya sihat dan masih berupaya untuk berkhidmat kepada rakyat” kata beliau kepada media setibanya di lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu, dari Kuala Lumpur pada petang Selasa, 14 Jun 2011.

Tan Sri Pairin atau Huguan Siou bermaksud pemimpin agung Kadazan Dusun, diminta mengulas laporan media kononnya beliau bercadang untuk bersara dan merancang melakukan proses peralihan kuasa dalam parti kepada Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.


Dr Maximus Johnity Ongkili - Timbalan Presiden PBS

Kepada kemungkinan samada beliau bersedia mempertahankan jawatannya jika dicabar dalam kongres parti Jun tahun depan, Pairin berkata biarlah delegasi parti menentukannya.

Pairin berkata hubungannya dengan Dr Maximus dalam parti ketika ini juga amat baik.

“amat baik, dia rakan saya dalam parti dan orang nombor dua saya. dia juga pemimpin kanan dan mempunyai banyak pengalaman bersama saya. kami mengetahui kekuatan dan kelemahan kami. oleh itu kami semua di dalam parti, sudah bersedia untuk apa sahaja.” Katanya.

Menurut Pairin, spekulasi mengenai persaraannya yang disiarkan media itu, tidak memeranjatkan.

Namun beliau tidak tahu dari mana asalnya sumber berita itu kerana beliau tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenainya.

DIlapangan terbang antarabangsa kota kinabalu, petang tadi, ratusan pemimpin dan penyokong p-b-s turut berada di lapangan terbang bagi menyatakan sokongan kepada Tan Sri Pairin.

Antaranya timbalan presiden Datuk dr Yee Moh Chai, Alimudin Kaida, ketua pemuda datuk Jahid Jahim dan ketua wanita datuk Jamilah Sulaiman serta ahli majlis tertinggi PBS.

Ada juga membawa kain rentang menyokong kepimpinan Pairin.

Pairin, 70 tahun, mengasaskan PBS pada 1985 dan kekal menjadi Presiden Parti itu sehingga sekarang.

PBS pernah menerajui kerajaan negeri Sabah mulai 1985 hingga 1994 dan pernah menjadi pembangkang pada 1990 sebelum kembali menyertai Barisan Nasional, pada 2002.

Pairin juga adalah “huguan siou” atau pemimpin agung Kadazan-Dusun dan menerajui persatuan kebudayaan kadazan-dusun, KDCA sebagai Presiden.

Kini beliau adalah Timbalan Ketua Menteri dalam kabinet Sabah yang diterajui Datuk Seri Musa Aman.

Pairin adalah ADUN Tambunan sejak 1976 atau 35 tahun lalu dan juga Ahli Parlimen Keningau.


Datuk Jahid Jahim, Ketua Pemuda PBS

Dalam perkembangan berkaitan, ketua pemuda PBS, Datuk Jahid Jahim berkata agenda peralihan kuasa kepimpinan parti, tidak timbul sama sekali.

Ini kerana Pairin mendapat sokongan daripada kesemua 61 bahagian parti dari seluruh negeri.

Dan lebih penting, Pairin adalah seorang pemimpin yang boleh menyesuaikan diri kepada perubahan situasi dan pembangunan.

Sehubungan itu, Huguan Siou akan terus relevan dan dihormati.

Dan berikut pula adalah berita oleh Bernama yang membawa kepada spekulasi politik terbaru yang bertiup kencang di Sabah negeri di bawah bayu. Beritanya dalam bahasa Inggeris disiarkan oleh The Star pada Selasa 14 Jun 2011.

Talk of change in PBS leadership

KUALA LUMPUR: Speculation has been rife over the past two weeks that Parti Bersatu Sabah (PBS) may see changes while its top leader prepares a transition plan.

The talk became intense after PBS deputy president Datuk Seri Dr Maximus Ongkili reportedly shifted his political base to his Tambunan hometown, where his family is said to be building a big house on ancestral land.

The planned mansion is just a stone’s throw away from the house of his uncle and PBS president, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin, 71, is currently Tambu­nan assemblyman and MP for Kenin­gau and is said to be contemplating winding down his public roles as he has been the Tambunan representative for the past 35 years, including those years when he was in Berjaya.

He is also the Huguan Siou or paramount leader of the Kadazandusun, a Deputy Chief Minis­­ter-cum-state Minister of Rural Development, president of the Kadazandusun Cultural Asso­ciation (KDCA) and sits in many committees, including the Asean Eminent Persons Comm­ittee.

Dr Ongkili, 58, being a senior deputy president of PBS and also deputy president of KDCA, seems to be the obvious choice to take over the helm, should Pairin decide to wind down his role.

However, in an interview with Bernama, Dr Ongkili said the party was not heading towards a change of guard as Pairin had not indicated he would step down as party president.

“There is no issue about the party leadership. I will continue serving as deputy president,” he said.

Political analyst and Universiti Malaysia Sabah lecturer Dr Bilcher Bala agreed that the current PBS leadership was still very much relevant.

“Huguan Siou (Pairin) is still healthy. He still can lead PBS for another term. Like PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) president Tan Sri Abdul Taib Mahmud,” he said.

He said should Pairin decide to step down, it would put the party in a difficult position as to who should succeed him, a situation similar to the PBB on who should take over from Taib.

But observers say Dr Ongkili, who is also Minister of Science, Technology and Innovation and who has held the Kota Marudu parliamentary seat since 1995, is definitely the front runner to take over from Pairin should the latter decide to retire.

Dr Ongkili has been a four term MP and is still popular among the party grassroots, they said.

In the 1995 general election, he was pitted against another uncle Datuk Dr Jeffrey Kitingan, then with the Barisan Nasional (BN), but Maximus won by garnering 64% of the total votes cast. — Bernama

Friday, February 6, 2009

Situasi Politik di Perak, daripada berkuasa kepada tidak berkuasa...

Daripada orang paling berkuasa kepada tidak berkuasa.

Situasi ini kini dialami Mohamad Nizar Jamaludin, 51 tahun.



MB Perak Mohammad Nizar Jamaludin angkat sumpah Mac 2008 – gambar http://idhamlim.blogspot.com

Sejak 11 bulan lalu hingga semalam dia masih Menteri Besar Perak – sekaligus menjadi orang paling berkuasa di Perak.

Muhammad Nizar menunjukkan laci yang dikosongkan di pejabat Menteri Besar pada 6 Feb 2009

Hari ini, dia kehilangan kuasa setelah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47 tahun dari BN dilantik Menteri Besar Perak yang baru dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah.

Mohamad Nizar pula diarah mengosongkan pejabat Menteri Besar di bangunan secretariat setelah hanya 11 bulan menjadi Menteri Besar Perak.

Perubahan daripada seorang yang berkuasa kepada tidak berkuasa dalam masa hanya sekelip mata, sudah banyak kali disaksikan di negara ini.

Sejurus selepas pilihanraya umum ke 12, Mac tahun lalu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pernah merasai situasi sama selepas BN tewas di Selangor, sekaligus jawatan Menteri Besar Selangor diambil alih Tan Sri Khalid Ibrahim.

Di Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kehilangan kuasa sebagai Ketua Menteri dan diambil alih Lim Guan Eng.

Begitu juga Datuk Seri Mahadzir Khalid yang melepaskan jawatan MB Kedah kepada Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Di Sabah, Datuk Harris Mohd Salleh kehilangan kuasa sebagai Ketua Menteri kepada Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan selepas 9 tahun menjawat potfolio itu apabila parti Berjaya tewas mengejut kepada PBS pada pilihanraya DUN negeri 1985.

9 tahun kemudian, Datuk Seri Pairin pula kehilangan kuasa sebagai Ketua Menteri Sabah apabila sebahagian besar ADUN PBS bertindak melompat parti ekoran kemenangan tipis parti itu dalam pilihanraya DUN Sabah 1994.

Datuk Seri Pairin digantikan Tun Sakaran Dandai.

Begitu juga Datuk Tajol Rosli Ghazali yang terpaksa melepaskan jawatan MB Perak kepada Mohamad Nizar, Mac tahun lalu.

Situasi semasa politik Perak kali ini menyaksikan jawatan MB Perak bersilih ganti antara 3 individu dan 2 kerajaan dalam masa 11 bulan.

Bermula Tajol Rosli, diikuti Mohammad Nizar dan kini Dr Zambry Abdul Kadir.

Apapun, bilangan Ketua Menteri terbanyak dalam masa singkat hanya dapat disaksikan di Sabah menerusi sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah.

Dalam tempoh 9 tahun dari 1994 hingga 2003, terdapat 8 Ketua Menteri silih berganti di Sabah.

Atau nisbahnya 1 Ketua Menteri bagi setiap tahun….!!!!!!!

Bermula dengan Datuk Pairin, diikuti Tun Sakaran, Datuk Salleh Tun Said Keruak, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Osu Sukam, Tan Sri Chong Kah Kiat dan Ketua Menteri sekarang – Datuk Seri Musa Hj. Aman.

Mengikut sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah, jawatan Ketua Menteri digilirkan mengikut kuota antara 3 kaum utama (Bumiputra Islam, Bumiputra Bukan Islam dan Cina) di Sabah setiap 2 tahun.

Namun tidak semua Ketua Menteri menamatkan tempoh 2 tahun.

Hanya Datuk Yong Teck Lee (kuota masyarakat Cina) , Datuk Osu Sukam (kuota Bumiputra Islam) dan Tan Sri Chong Kah Kiat (kuota masyarakat Cina) memegang potfolio itu sepenuhnya selama 2 tahun.

Manakala Tun Sakaran (kuota Bumiputra Islam) melepaskan jawatan Ketua Menteri selepas hanya setahun memegang jawatan itu kerana dilantik Yang Di Pertua Negeri Sabah.

Pengganti Tun Sakaran sebagai Ketua Menteri di bawah kuota itu – Datuk Salleh Tun Said Keruak oleh itu hanya mempunyai masa setahun sahaja untuk menjadi Ketua Menteri.

Tan Sri Bernad Dompok (kuota Bumiputra bukan Islam) pula hanya sempat memegang jawatan keramat itu selama 10 bulan sahaja setelah tewas di DUN Moyog dalam pilihanraya DUN Sabah 1999.

Sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah ditamatkan sejak Datuk Seri Musa Aman memegang jawatan itu pada 2003 sehinggalah sekarang.

Wednesday, February 4, 2009

Kecelaruan Politik di Perak pernah berlaku di Sabah...

Ketika ini tidak dapat dipastikan, samada DUN Perak telah dibubarkan oleh Menteri Besar Perak ataupun BN kembali berkuasa di Perak setelah beberapa ADUN pembangkang menyertai BN.

Kecelaruan politik berikutan isu lompat melompat parti yang sedang melanda Perak sekarang, pernah berlaku di Sabah pada 1994, lebih tepat 15 tahun lalu.

Presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan




Sejurus selepas pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah berakhir pada Februari 1994, parti pemerintah ketika itu Parti Bersatu Sabah pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berjaya mengekalkan kuasa.

Namun majoritinya begitu tipis sekali – hanya 2 kerusi memisahkan PBS dengan seteru utamanya Barisan Nasional, BN.

PBS menang 25 daripada 48 kerusi DUN Sabah, manakala BN menang 23 kerusi.

Ekoran majoriti tipis itu, Datuk Seri Pairin melakukan beberapa langkah berjaga jaga.

Antaranya menunggu lebih 24 jam di depan pintu masuk Istana Negeri Kota Kinabalu untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ia bagi mengelak sebarang halangan ke atas usaha melantiknya semula sebagai Ketua Menteri.

Kesemua 25 wakil rakyat PBS yang baru memenangi kerusi DUN masing masing juga dikumpulkan di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah.

Ia bagi mengelak cubaan melompat parti atau keluar parti untuk menyertai BN.

Selepas mengangkat sumpah di Istana Negeri, Datuk Seri Pairin menamakan anggota kabinetnya dan ini termasuklah pemimpin kanan PBS seperti Tan Sri Bernard Dompok dan Tan Sri Joseph Kurup.

Namun ekoran majoriti terlalu tipis itu – hanya 2 kerusi, kedudukan kerajaan negeri Sabah di bawah PBS, amat rapuh dan boleh runtuh pada bila bila masa, andainya ada 1 atau 2 ADUNnya melompat parti.

Kekhuatiran dan kebimbangan Datuk Seri Pairin itu akhirnya menjadi kenyataan tidak sampai 3 minggu selepas kerajaan negeri di bawah PBS dibentuk.

3 ADUN termasuk seorang ADUN dilantik, mengistyharkan keluar PBS dan menyertai UMNO.

Mereka ialah Adun Klias – Datuk Seri Lajim Ukin, Adun Kemabong – Datuk Rubin Balang dan ADUN dilantik dari Labuan – Datuk Zaini Isa.

Ekoran tindakan mereka itu, PBS hanya mempunyai 23 kerusi berbanding 25 kerusi DUN yang kini dipegang BN.

Ekoran kemelut politik itu, satu rombongan Adun PBS diketuai Tan Sri Dompok telah diarah Datuk Pairin ke Kuala Lumpur untuk menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencari penyelesaian konflik politik Sabah.

Namun mereka juga akhirnya bertindak keluar PBS dan mengumumkan menubuhkan sebuah parti baru iaitu Parti Demokratik Sabah, PDS yang kemudiannya dikenali sebagai Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan-Dusun-Murut Bersatu atau parti UPKO.


Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok



Dompok dipilih presiden UPKO sehinggalah sekarang dan kini memegang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Manakala Tan Sri Kurup turut mengistyharkan keluar PBS dan menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah atau PBRS.

Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup



UPKO dan PBRS kemudiannya telah diterima menganggotai komponen BN.

Ekoran tindakan keluar parti beramai ramai itu, maka PBS hanya mempunyai 6 atau 7 ADUN yang setia kepada perjuangan parti itu.

Akhirnya, Datuk Pairin yang juga Huguan Siou atau pemimpin agung masyarakat Kadazan Dusun, bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Mac 1994 untuk membolehkan satu lagi pilihanraya DUN Sabah diadakan untuk mendapatkan mandat baru rakyat.

Namun pembubaran itu tidak diperkenan Istana Negeri Kota Kinabalu.

Akhirnya Datuk Pairin terpaksa akur dan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.

Tan Sri Sakaran Dandai (kini Tun) kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru di bawah kerajaan BN.

Kerajaan negeri di bawah PBS tumbang meskipun menang pilihanraya DUN Sabah…!!!!

Semuanya akibat tindakan melompat parti.

Namun proses peralihan kuasa daripada PBS ke BN berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekacauan atau keganasan dicetuskan penyokong PBS.

Malah Tun Sakaran sendiri memimpin tangan Datuk Seri Pairin keluar dari pejabat ketua menteri di tingkat 27 bangunan Yayasan Sabah, selepas majlis serah tugas Ketua Menteri Sabah disempurnakan.

Pada pilihanraya DUN Sabah 1999, PBS cuba merampas semula tampuk kerajaan negeri daripada BN menerusi proses demokrasi rakyat namun hasrat itu tidak kesampaian apabila PBS hanya menang 17 daripada 48 kerusi DUN.

Pada pilihanraya itu, setiap calon PBS diwajibkan menanda tangani surat akujanji yang bermaksud akan meletakkan jawatan sebagai ADUN sekiranya menang tetapi melompat parti.

Selepas pilihanraya 1999, 6 ADUN PBS turut mengambil tindakan keluar parti.

Namun surat akujanji yang ditandatangai tidak diperkenan Speaker, sekaligus tidak membawa kepada pilihanraya kecil di 6 kawasan DUN itu.

Ketika pemerintahan PBS, parti itu pernah mengusulkan untuk mewujudkan udang undang anti lompat – namun ditolak kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

PBS kembali semula ke pangkuan BN pada 2002.

Apapun, tiada undang undang juga yang menghalang seseorang wakil rakyat daripada melepaskan jawatan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen secara sukarela.





Ini terbukti apabila pada 31 Julai 2008, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 1999.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menang kerusi Parlimen itu pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, 26 Ogos 2008.

Senario yang berlaku di Perak hari ini berpunca tindakan melompat parti dan ternyata melukakan hati pemimpin Pakatan Rakyat khsususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ironinya, Datuk Seri Anwar tahun lalu pernah mewar warkan bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan menjelang 16 September 2008 menerusi tindakan melompat parti sekurang kurangnya 30 Ahli Parlimen BN.

Kini sekarang, siapa pula yang melompat????

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs