Sunday, August 16, 2009

Karpal Singh, dari parti apa ya???



sumber : utusan malaysia online

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Mungkin akibat gementar atau takut, seorang wartawan penyiaran daripada sebuah stesen televisyen tempatan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak pasti parti politik mana yang disertai oleh Karpal Singh.

Jawapan yang diberikan oleh saksi pendakwaan kedua, Eliani Mazlan, 26, dari RTM menyebabkan mereka yang berada di dalam dewan mahkamah ketawa dan ada yang menggelengkan kepala.

Karpal yang dibicarakan di bawah Akta Hasutan 1948 juga dilihat tersenyum lebar.

''Awak mengundi tak pada pilihan raya lepas?'' tanya peguam bela, Jagdeep Singh Deo yang mewakili bapanya.

''Undi,'' balas saksi.

''Awak mesti bukan dari Pulau Pinang,'' kata Jagdeep yang sekali lagi mengundang tawa dari galeri awam.

Eliani yang merupakan lulusan Sarjana Muda Komunikasi Masa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hanya terdiam dan menundukkan kepalanya selepas itu.

Pada soalan berikutnya yang dibuat berdasarkan transkrip rakaman video sidang akhbar Karpal pada hari kejadian, saksi itu menyatakan, dia tidak pasti sama ada Pengerusi DAP itu seorang yang berprinsip atau sebaliknya.

Dia bagaimanapun bersetuju dengan soalan Jagdeep bahawa Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor akan menyatakan prinsipnya walaupun apa yang dinyatakan menyakiti hati Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan salah seorang pemimpin di dalam Pakatan Rakyat.

Eliani menyatakan demikian semasa pemeriksaan balas oleh Jagdeep pada perbicaraan kes terhadap Karpal yang didakwa menyebut kata-kata menghasut berkaitan Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, di Jalan Pudu Lama di sini, antara pukul 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari lepas.

Pada prosiding hari ini, Jagdeep sekali lagi ditegur oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah apabila sering meninggikan suara terhadap saksi sehingga Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kamaludin Md. Said terpaksa mencelah.

''Encik Jagdeep, sound (nada suara) jangan tinggi sangat. Jangan jerit pada saksi. Tak perlu, bagi dia jawab dahulu,'' kata Azman.

''Saya tak jerit Yang Arif. Belum jerit lagi,'' kata Jagdeep lalu disambut dengan gelak ketawa dari galeri awam.

Terdahulu, peguam tersebut seolah-oleh 'naik angin' apabila saksi berkenaan asyik menjawab soalan dengan jawapan 'tak ingat' dan 'tak pasti'.

Beliau bertambah berang apabila Eliani menjawab 'tidak perlu' apabila ditanya sama ada dia perlu merujuk kepada rakaman sidang akhbar bagi membantunya menjawab soalan menyebabkan Jagdeep menyatakan saksi perlu lebih serius dalam memberikan jawapannya.

Sementara itu, sewaktu pemeriksaan semula oleh Kamaludin, saksi menyatakan dia tidak membaca dokumen mengandungi nas undang-undang yang diberikan bersama-sama kenyataan akhbar kerana tidak memahaminya.

Dia turut menyatakan pengajiannya di UiTM tidak membabitkan subjek undang-undang.

Saksi turut menjelaskan sela (gap) yang terdapat dalam rakaman tersebut bukan disebabkan ia telah disunting sebaliknya merupakan 'cut waste' yang berlaku apabila jurukamera mengalihkan atau membetulkan kedudukan kamera.

Perbicaraan bersambung 18 Ogos ini.

Untuk rekod - Karpal Singh, 69 tahun adalah Pengerusi Kebangsaan, parti DAP, mengambil alih jawatan itu daripada Lim Kit Siang.

Karpal Singh juga adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs