Wednesday, October 6, 2010

Aricco Jumitih - dari anak kampung ke Juara Komanwel



Aricco Jumitih (kanan) pemenang emas angkat berat kategori 62 kg Sukan Komanwel New Delhi 2010 bersama pemenang Perak juga dari Malaysia, Naharudin Mahayudin selepas majlis penyampaian hadiah di kompleks sukan Jawaharlal Nehru, New Delhi, India, 5 Oktober 2010.Aricco membuktikan anak kampung boleh menyinar di pentas dunia.

Syabas Arico. Emas Malaysia, RM80,000 Aricco!!





Inilah angkatan pingat emas Aricco Jumitih pada sukan Komanwel New Delhi 2010. Aricco atau nama timangannya Adi, mengangkat beban 120 kg dalam Snatch dan 156 kg dalam Clean and Jerk untuk angkatan keseluruhan 276 kg. Perak dimenangi Naharudin Mahayudin dengan jumlah angkatan 275 kilogram manakala gangsa, Anton Sudesh, 272 kg.



Kebangaan keluarga : Ibu Aricco, Emily Sabin (kiri) bersama anaknya Agnes dan cucunya, Sheryn Britny dan menantunya Venus Lairing melihat laporan akhbar mengenai kejayaan anaknya sebagai Juara Komanwel 2010. Gambar dirakamkan pada 6 Oktober 2010 di kediaman mereka di Kampung Mansiang, Menggatal, Sabah, Malaysia.


Aricco Jumitih, dilahirkan pada 1 Januari 1990. Anak bungsu dari 6 beradik ini menetap bersama keluarganya di Kampung Mansiang, Menggatal, Sabah, kira kira 20 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu.

Ibunya Emily Sabin, berasal dari Kampung Bundu Tohuri, Tamparuli manakala bapanya berasal dari Kampung Bundu, Kuala Penyu.

Aricco atau nama timangannya, Adi, mula meminati sukan angkat berat ketika berusia 11 tahun dan sering berlatih di kampungnya di gimnasium milik Bell Yasoi, seorang atlet bina badan dan angkat berat Sabah. Ketika mula mula mengangkat berat, ibunya, Emily Sabin, 52 tahun, amat bimbang anaknya itu tercedera kerana terlalu banyak mengangkat besi...

"Mula mula, saya takut anak saya tu ikut angkat berat... saya takut dia cedera... kena tindih besi... lagipun urat urat di tangan dan badan dia semua timbul, macam orang tua" kata Emily sambil tergelak kecil.

Namun kini, Ibunya antara orang paling gembira dengan kejayaan Aricco merangkul pingat Emas angkat berat kategori 62 kilogram di sukan komanwel New Delhi, semalam pada 5 Oktober 2010.

Idola Aricco adalah Matin Guntali yang menang pingat perak sukan komanwel 1994 di Kanada dan 3 gangsa di sukan komanwel 1998 Kuala Lumpur.

Ketika ditemui wartawan di rumahnya di Kampung Mansiang pada petang 6 Oktober 2010, sehari selepas angkatan pingat emas Aricco, Emily berkata beliau sebenarnya tidak menyangka anaknya itu bakal membawa pulang pingat Emas untuk Malaysia.

Emily menerima panggilan telefon dari anaknya, Aricco dari New Delhi kira kira jam 11 malam pada Selasa 5 Oktober, memaklumkan khabar gembira itu.

"Mula mula dia bergurau dengan saya, dia kata dia hanya mendapat no. 6" kata Emily.

Namun beliau sebelum itu telahpun dimaklumkan mengenai angkatan emas Aricco oleh saudara maranya di Kampung Bundu Tohuri.

"Saya tidak sangka dia dapat Emas, hanya mudah mudahan dapat pingat saja", kata Emily.

Kini, Emily menanti kepulangan anaknya dengan penuh gembira dan hiba.

Bagi Emily, kejayaan Aricco itu adalah kegembiraan berganda buat mereka sekeluarga.

Apa tidaknya, cucu sulung Emily, Shareen Britney, baru dilahirkan 2 hari lalu, 24 jam sebelum Aricco melakarkan kejayaan pingat emas di New Delhi.

Shareen Britney adalah anak sulung anak Emily, Agnes Jumitih dan suaminya Vinus Lairing.

Aricco sudah pastinya gembira dengan perkhabaran ini.

Apapun, pengorbanan keluarga Aricco patut dijadikan ikhtibar. Kesusahan dan keperitan hidup bukan penghalang untuk menempa nama di arena sukan antarabangsa.

Ketika usia Aricco, baru 16 tahun, dia kehilangan ayahnya yang meninggal dunia akibat sakit pada Mei 2006. Ketika itu Aricco sedang sibuk dengan persiapan bertanding dalam Sukan Malaysia 2006. Namun di sebalik merasa kesedihan yang amat sangat, Aricco masih mampu membawa pulang pingat Emas untuk Sabah.

Arico tidak mengambil bahagian dalam Sukma 2008 kerana cedera dan kesihatan tidak mengizinkan. Namun pada Sukma 2010, dia membawa pulang 1 lagi pingat emas angkat berat untuk Sabah.

Ibunya terpaksa bekerja sebagai pemandu bas sekolah untuk menyara hidup keluarganya.

"Kami bukan orang senang, kami susah, bila dia pergi sekolah ketika itu masih di Tingkatan 3, saya tinggal seorang (bekerja), saya ganti memandu bas sekolah, memang susah sekali" kata Emily.

Namun dengan kejayaan ini, Aricco bakal menerima insentif berjumlah RM80,000 daripada Majlis Sukan Negara.

Menurut Emily, keluarganya gembira dan sedih dengan kejayaan Aricco di New Delhi.

Gembira kerana dia membawa pulang pingat Emas - atlet pertama Sabah yang mendapat emas sukan Komanwel, namun pada masa sama sedih, kerana mendiang bapanya tidak dapat menyaksikan kejayaan itu.

"Paling menyedihkan saya juga, jadi yang ni mau pergi tengok sama dia, kami tidak kesampaian, saya tidak pergilah, tulah yang paling menyedihkan saya" kata Emily, sebak.

Sebelum meninggal dunia, Bapanya ada berpesan kepada Aricco supaya sentiasa melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga, negeri dan juga negara.

Nasihat itu diingati dengan baik oleh Aricco yang tidak mengenal penat lelah dalam usaha menyinar di pentas dunia dalam sukan angkat berat.

Dia kini Juara Komanwel. Anak Dusun dari Sabah berjaya menewaskan lawannya dari England, Afrika, Australia dan seluruh Komanwel...!!

Ini penyertaan pertama Aricco dalam Sukan Komanwel, sukan kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik.

Aricco membuktikan anak kampung boleh menyinar di pentas dunia.

Syabas Aricco. Emas Malaysia, RM80,000 Aricco!!

2 comments:

Tamparuli Sabah said...

It's good to have local from Sabah to win the Commonwealth Games. Bravo Sabah. Thanks...

www.tamparulisabah.com

bebek said...

Thanks for the comment Tamparuli Sabah.. Aramai tieee!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs