Tuesday, February 5, 2013

Perangkaan Kanser di Malaysia 2013



Kenyataan Media YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sempena Hari Kanser Sedunia 4/2/2013

Kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang amat ditakuti oleh orang ramai. Mengikut statistik dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser menyumbang sebanyak 13% (7.4 juta) dari keseluruhan kematian di dunia pada tahun 2008. Kematian akibat kanser dijangka akan terus meningkat di mana anggaran 12 juta orang akan mati akibat kanser pada tahun 2030.

Kadar kejadian penyakit kanser meningkat dengan pertambahan usia, dan, seperti negara-negara maju atau membangun yang lain, Malaysia menghampiri peralihan epidemiologi, di mana penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan gaya hidup seperti kardiovaskular dan kanser telah meningkat. Kanser boleh berlaku pada setiap individu tanpa mengira usia dan jantina, sama ada miskin atau kaya serta memberi beban kewangan dan psikososial yang besar kepada pesakit, keluarga dan masyarakat.

Kanser merupakan penyebab kematian keempat terpenting yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dan pada tahun 2011 ia menyumbang sebanyak 11.2% dari keseluruhan kematian yang berlaku.

Berdasarkan jumlah kes-kes kanser baru pada tahun 2008 yang dilaporkan kepada Registri Kanser Kebangsaan, lima jenis kanser paling penting di kalangan lelaki di negara kita ialah kanser paru-paru (15.8%), kolorektal (15.8%), nasofarink (9.4%), limfoma (7.2%) dan prostat (6.2%). Sementara itu di kalangan wanita, kanser paling penting ialah kanser payudara (32.3%) diikuti dengan kanser kolorektal (10.4%), servik (8.5%), paru-paru (5.7%) dan ovari (5.4%).

Walaupun jumlah pesakit kanser di negara ini lebih rendah berbanding penyakit-penyakit kronik yang lain seperti diabetes dan kardiovaskular, namun, beban kewangan serta psikososial yang ditanggung oleh pesakit, keluarga dan masyarakat adalah jauh lebih besar. Kebanyakan kejadian dan kematian akibat kanser sebenarnya boleh dielakkan dengan pengurangan faktor risiko, pengesanan awal dan rawatan segera.

Lebih daripada 30% kanser boleh dicegah dengan mengubah atau mengelakkan faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kanser. Faktor risiko utama terhadap kejadian kanser adalah dikaitkan dengan gaya hidup iaitu amalan merokok, tidak aktif secara fizikal, mempunyai berat badan berlebihan atau obes, kurang pengambilan buah-buahan sayur-sayuran dan amalan pengambilan alkohol. Selain dari faktor risiko yang dikaitkan dengan gaya hidup, jangkitan oleh beberapa jenis virus seperti Human Papiloma Virus (HPV) dan virus Hepatitis B juga boleh menyebabkan kanser. Jangkitan HPV merupakan faktor risiko utama kanser servik dan jangkitan virus Hepatitis B (HBV) adalah antara faktor yang menyebabkan kanser hati.

Statistik dari KKM menunjukkan, pada tahun 2011, kanser paru-paru merupakan penyebab kematian kanser yang paling penting bagi seluruh kematian akibat kanser yang berlaku di semua hospital KKM di seluruh negara iaitu 17.5% diikuti oleh kanser payudara (10.2%) dan kolorektal (8.5%). Peratus kematian yang tinggi ini adalah disumbangkan oleh kanser yang dikesan lewat. Peluang untuk sembuh sebenarnya adalah tinggi sekiranya kanser dikesan pada peringkat awal.

Hari Kanser Sedunia tahun ini yang disambut pada 4 Februari 2013 dan bertemakan ”kanser – adakah anda tahu?” memberi fokus untuk mempertingkatkan pengetahuan orang ramai tentang kanser dan membetulkan tanggapan salah mengenai kanser. Antara tanggapan yang salah mengenai kanser adalah kanser merupakan penyakit yang tidak dapat dielakkan atau dirawat dan pasti akan menyebabkan kematian. Tanggapan ini adalah tidak betul sama sekali.

Sejajar dengan tema ini, KKM menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam mengawal kanser sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO dan orang ramai sama-sama memainkan peranan dalam mengurangkan beban kanser di negara ini dengan meningkatkan pengetahuan mengenai kanser, mencegah serta mengawal kejadian serta kematian akibat kanser. Mesej utama yang ingin KKM sampaikan sempena Hari Kanser Sedunia tahun ini ialah menyeru orang ramai agar berhenti atau tidak memulakan tabiat merokok, mengekalkan berat badan unggul, aktif secara fizikal dan mengurangkan pengambilan alkohol. Selain itu, KKM menasihatkan golongan yang layak menerima pelalian HPV dan HBV secara percuma untuk mendapatkannya. KKM memberi secara percuma pelalian HPV kepada remaja perempuan di tingkatan satu sejak tahun 2010 dan pelalian HBV kepada bayi baru lahir sejak tahun 1989. Kerajaan juga memberi pelalian HPV secara percuma kepada golongan wanita berumur 18 tahun melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bermula tahun 2012.

Peratus kematian akibat kanser di negara ini hanya dapat dikurangkan sekiranya kanser dikesan pada peringkat awal dan rawatan segera diperolehi. Justeru itu, KKM juga menyeru agar golongan yang berisiko tinggi seperti mempunyai ahli keluarga yang pernah disahkan mengidap kanser untuk tampil mendapatkan nasihat doktor bagi menjalankan saringan. Perkhidmatan saringan kanser payudara melalui pemeriksaan payudara klinikal dan mamogram serta saringan kanser serviks melalui PAP Smear ada disediakan di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM dan LPPKN di seluruh negara. Selain itu, perkhidmatan saringan kanser oral turut disediakan di klinik-klinik pergigian KKM, juga di seluruh negara.

Pada dasarnya, untuk mengurangkan kejadian dan beban akibat kanser, kanser perlu dicegah serta dikesan pada peringkat awal agar rawatan segera dapat dilakukan. Semua pihak yang terlibat dalam kawalan kanser termasuk orang ramai perlu memainkan peranan serta bekerjasama padu untuk sama-sama menangani masalah dan beban akibat kanser yang dihadapi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs