Sebuah Pesawat Nuri yang membawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melakukan pendaratan di luar jadual di sebuah pusat peranginan di Tuaran, Sabah, 2.30 petang tadi, akibat cuaca buruk.
Kejadian berlaku ketika pesawat membawa Tan Sri Muhyiddin dan 14 yang lain termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussein, dalam perjalanan balik dari Kudat, di utara Sabah ke Kota Kinabalu.
Gambar Fail - sebuah pesawat NURI TUDM
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin merasmikan mesyuarat perwakilan Kudat dan Kota Marudu di Kudat.
Beliau dijadual merasmikan pula mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Penampang di Dewan Masyarakat Tun Fuad Stephens kira kira jam 2.15 petang.
Namun ketika itu, keadaan cuaca di Kota Kinabalu dan Penampang, hujan serta berkabus dan menghadakan jarak pandangan.
Pesawat membawa Timbalan Perdana Menteri tidak dapat meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu dan terpaksa mendarat di Mimpian Jadi Resort, Tuaran.
Dari sana, rombongan menaiki kereta ke Kota Kinabalu selama kira kira 45 minit.
Ekoran kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri terpaksa membatalkan acara di Penampang.
Beliau berlepas balik ke Ibu Negara dengan pesawat khas kira kira 4.25 petang tadi.
Mesyuarat UMNO Penampang diteruskan, dengan Timbalan Perdana Menteri diwakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kira kira jam 4 petang sejurus sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Tan Sri Muhyiddin berkata ``Saya ok, tiada masalah dan tidak terkejut,''.
``Saya lega kita ada juruterbang yang bagus yang merasakan adalah tidak wajar untuk meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu kerana cuaca buruk.
``Jadi, kita mendarat di Tuaran. Tiada apa pelik berlaku. Dia (juruterbang) telah melakukan perkara yang betul,'' katanya.
Kebanyakan media melaporkan pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan atau emergency landing.
Namun ada juga media melaporkannya sebagai pendaratan tidak dijadualkan atau unscheduled landing.
Pendaratan yang tidak dijadualkan sudah banyak kali dilaporkan sebelum ini, iaitu di mana pesawat terpaksa dilencongkan dan mendarat di lokasi atau lapangan terbang lain akibat faktor cuaca yang tidak memungkinkan pesawat mendarat di lokasi sasaran ketibaan.
Namun, pendaratan kecemasan menggambarkan sesuatu yang lebih serius, seperti pesawat mengalami masalah teknikal, kerosakan enjin atau sebagainya.
Pesawat boleh berpatah balik ke lokasi asal atau mendarat di lapangan terbang lain atau mendarat di tempat yang bukan sepatutnya ia mendarat.
Jadi istilah mana yang tepat?
Pendaratan kecemasan atau pendaratan tidak dijadualkan??
1 comment:
Perkara biaslah tu berlaku...Jangan cakap soal d udara d atas tanah pun bisa saja tidak sampai kedistinasi yg d tuju...Alhamdulilahlah TS.Muhyiddin selamat tanpa sebarang kejadian buruk berlaku...
Post a Comment