Monday, March 15, 2010

Lee Chong Wei di puncak dunia



Kemenangan bersejarah pemain nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dari Malaysia yang menjuarai kategori perseorangan lelaki Edisi ke 100, kejohanan badminton tertua di Dunia - All England pada Ahad 14 Mac lalu, nyata satu sejarah kepada dunia badminton tanah air.

Chong Wei bukan sahaja menjuarai gelaran single All Englandnya yang pertama, malahan menjadi pemain badminton pertama di dunia yang memenangi 3 kejohanan super series berturut turut - satu pencapaian yang tidak dapat disaingi juara dunia dan Olimpik, Lin Dan dari China, begitu juga bekas juara dunia dan Olimpik dari Indonesia - Taufik Hidayat dan juga jaguh Denmar - Peter Gade.

3 kejohanan super series yang dimenangi Chong Wei itu sejak Januari 2010 ialah Terbuka Korea, Terbuka Malaysia dan All England.

Sebenarnya Chong Wei berpeluang memenangi kejuaraan super series keempat berturut turut dalam Terbuka Switzerland, namun beliau menarik diri dan memilih untuk kembali ke Malaysia lebih awal untuk meraikan kejayaan ulung itu bersama sama jutaan peminat badminton tanah air.

Chong Wei dijangka pulang ke tanah air hari ini Selasa 16 Mac 2010 menerusi penerbangan terus dari London.

Apapun, persembahan terpuji Chong Wei dalam perlawanan akhir di National Indoor Arena Birmingham, England itu sememangnya amat bersejarah dan sukar dilupakan dalam lipatan sejarah badminton negara, juga dalam persada sukan tanah air.

Kemenangan mendebarkan 21-19, 21-19 ke atas Kenichi Tago dari Jepun, masih terngiang dalam ingatan.

Siapa sangka Tago dari Jepun yang sebelum ini kurang dikenali, mampu memberikan cabaran sengit ke atas Chong Wei.

Siapa sangka Tago yang baru berusia 20 tahun dan di ranking ke 20 dunia, berupaya menghancurkan impian Chong Wei dan jutaan lagi rakyat Malaysia.

Tago mendahului 4-0 di set pertama dan mampu mengejar sehingga mata ke 19 dalam kedua dua set.

Malahan, sekiranya bulu tangkis yang keluar di set kedua dalam kedudukan 20-19 menyebelahi Chong Wei, disahkan keluar oleh pengadil, maka kedudukan masa itu berubah menjadi 20-20, deuce dan belum tahu lagi apa berlaku selepas itu? Adakah Tago boleh memenangi set kedua dan menbawa perlawanan ke set penentuan atau set ketiga atau rubber set?

Di kaca TV, jelas bulu tangkis itu keluar, namun penjaga garisan dan pengadil mengatakan bulu tangkis itu masuk, sekaligus memberikan kemenenangan 21-19 kepada Chong Wei di set kedua dan terakhir itu, jelas dilihat Tago mengeleng gelengkan kepalanya.

Ahhh... apapun bulu tangkis keluar atau masuk, yang penting Chong Wei sudahpun merangkul kejuaraan All England pertamanya. Hanya ada 2 kejuaraan single dunia yang belum dimenangi Chong Wei iaitu Sukan Olimpik dan juga Kejuaraan Badminton Dunia atau World Championship.

Seteru utama Chong Wei - Lin Dan dari China menang All England sebanyak 4 kali dan menang juara dunia sebanyak 2 kali dan Olimpik sekali iaitu di Beijing 2008.

Apapun kejuaraan All England itu bukan sahaja satu kejayaan besar kepada Chong Wei.. namun ia juga membuka mata kita siapa sebenarnya Kenichi Tago dari Jepun itu, siapa budak Jepun itu??

Tago sebelum mara ke final, menewaskan 2 pemain pilihan dari China iaitu Chen Jin dan Bao Chunlai.

Lin Dan tewas lebih awal kepada Bao Chunlai dalam suku akhir.

Satu lagi yang kelihatan dalam badminton All England 2010 adalah baju yang dipakai pemain. Chong Wei memakai baju fesyen baru - tanpa lengan di sebelah kanan - mungkin untuk kekuatan smash dan stroke. Fesyen baju itu juga dipakai oleh Peter Gade. Namun Tago tidak memakai baju versi baru itu - sebaliknya memakai baju biasa yang dipakai pemain badminton konvensional.

Kejayaan Chong Wei juga mengubat kekecewaan tewas dalam final All England 2009 kepada Lin Dan.

Kali terakhir Malaysia menang single lelaki dalam All England adalah menerusi Hafiz Hashim pada 2003. Namun prestasi Hafiz terus merudum selepas itu.

Pemain Malaysia lain yang pernah menang singles lelaki dalam All England ialah Tan Aik Huang, Wong Peng Soon dan Eddy Chong.

Manakala pemain bergu lelaki negara yang pernah menang All England ialah Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pada 2007, Razif dan Jalani Sidek pada 1982, Ng Boon Bee dan Punch Gunalan pada 1971, Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan pada 1965 dan 1966, Lim Sey Hup dan Teh Kew San pada 1959, David Choong dan Eddy Choong pada 1951, 1952 dan 1953.


Pemain singles Malaysia yang lain yang pernah beraksi di final All England tetapi tewas kepada lawan masing masing ialah Dato Punch Gunalan yang tewas kepada Rudy Hartono pada 1974, Rashid Sidek yang kecundang kepada Poul Erik Hoyer Larsen pada 1996, Foo Kok Keong yang dikecewakan Ardy Wiranata pada 1991, Misbun Sidek yang disingkirkan Morten Frost Hansen pada 1986 dan Ong Ewe Hock yang kalah kepada Sun Jun pada 1998.

Rudy Hartono dari Indonesia memegang rekod sebagai pemenang 8 kali All England singles lelaki, termasuk menang 7 kejuaraan berturut turut dari 1968 hingga 1974.

Syabas Chong Wei, Syabas Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs