Monday, February 7, 2011

311 pelajar Sabah di Mesir dibawa balik ke Sabah oleh kerajaan negeri









Situasi semakin tidak menentu di Mesir memaksa kerajaan Malaysia dan juga kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membawa keluar secepat mungkin pelajar Malaysia dari bumi bergolak itu, demi keselamatan mereka dan demi kebajikan keluarga mereka yang diselubungi kebimbangan di Sabah.

Kerajaan Malaysia melancarkan Ops Piramid untuk tujuan itu dengan menggunakan 7 pesawat iaitu 2 pesawat Boeing 747 MAS, 2 pesawat Airbus Air Asia dan 3 pesawat Charlie Hercules C 130 TUDM serta sebuah kapal laut TLDM Bunga Mas 5.

Keadaan ini samalah seperti Ops membawa keluar rakyat Amerika dari Vietnam Selatan di akhir perang Vietnam pada 1970an yang dimenangi Vietnam Utara dan Vietcong.

Selain kerajaan Malaysia, beberapa kerajaan negeri turut mengambil inisiatif sedemikian, antaranya kerajaan negeri Sabah.

Ahad lalu pada 6 Februari 2011, kumpulan pertama seramai 46 pelajar Sabah yang menuntut di Mesir, selamat tiba di Kota Kinabalu menerusi penerbangan khas yang ditanggung kosnya oleh kerajaan negeri.

Keseluruhannya, 311 pelajar Sabah dan ahli keluarga di Mesir, dibawa pulang menerusi inisiatif dilakukan kerajaan negeri.

Kumpulan pertama 46 pelajar itu menaiki pesawat Qatar Airways dari Iskandariah dan Kaherah, Mesir sebelum transit di Doha, Qatar.

Dari Doha, mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum menaiki pesawat ke Kota Kinabalu.

Jam 6 petang Ahad 6 Februari 2011, kumpulan pelajar ini selamat tiba di Kota Kinabalu dengan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta disambut linangan airmata kegembiraan dan penuh kesyukuran ibu bapa dan keluarga.

Suasana di lapangan terbang Kota Kinabalu ketika itu diselubungi rasa gembira bercampur hiba apabila kaum keluarga dan saudara mara mensyukuri kepulangan anak tercinta.

Kepulangan pelajar Sabah ini yang menuntut di beberapa universiti di Kaherah atau Cairo dan Iskandariah atau Alexandria, diuruskan kerajaan negeri dengan bantuan Wisma Putra iaitu cabang utama Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Semua kos penerbangan pulang ke Sabah dan juga kembali semula ke Mesir kelak, ditanggung kerajaan negeri.



Keseluruhannya, terdapat 280 pelajar dari Sabah dan keluarga di Kaherah dan 31 lagi di Iskandariah.

Penerbangan membawa balik baki pelajar sabah dari mesir sedang dilakukan secara berperingkat sehinggalah kesemuanya selamat tiba di Sabah dari bumi bergolak Mesir.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs