Thursday, April 28, 2011

UCAPAN PENGGULUNGAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI KE ATAS UCAPAN DASAR KERAJAAN 28 APRIL 2011


Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di mana berlangsungnya mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke 13 mulai hingga 21 April hingga 28 April 2011



UCAPAN PENGGULUNGAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI KE ATAS UCAPAN DASAR KERAJAAN OLEH
T.Y.T. YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 28 APRIL 2011

Sumber : Bahagian Akhbar dan Penerbitan, Jabatan Ketua Menteri Sabah


Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahamatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat

Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, maka kita dapat bersama-sama berkumpul di dalam Dewan yang mulia ini bagi membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan di dalam suasana yang tenang, aman dan mahabbah.

2. Sebelum itu, saya ingin memaklumkan Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini bahawa saya telah diamanahkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri untuk mewakili beliau dan seterusnya menyampaikan Ucapan Penggulungan ini bagi Jabatan Ketua Menteri.

3. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin atas pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang Kesepuluh serta pelantikan Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

4. Saya dengan sukacitanya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah atas pembentangan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-13 pada 21 April 2011.



Tuan Speaker,

5. Kerajaan mengambil berat mengenai soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat terutama sekali bagi isu-isu yang berkaitan langsung dengan Jabatan Ketua Menteri. Dengan itu, izinkan saya menjawab beberapa isu yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat semasa perbahasan.


MEMPERKASA SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

6. Pelbagai usaha telah diambil untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam dan usaha ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan ia sentiasa cekap dan berkesan sesuai dengan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

7. Ahli Yang Berhormat dari kawasan Elopura dan Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sri Tanjong mendakwa bahawa disiplin anggota pentadbiran awam di beberapa jabatan adalah tidak memuaskan sehingga menyusahkan rakyat. Suka saya memaklumkan bahawa Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri pada tahun 2010. Pasukan ini melaksanakan pemantauan melalui “Mystery Shopping” di semua agensi kerajaan negeri. Antara tanggungjawab utama Pasukan Pemantau ini ialah:
i) Membuat pemeriksaan mengejut “Mystery Shopping” di semua agensi kerajaan. Pemeriksaan meliputi pentadbiran harta kerajaan seperti pengunaan kereta serta kehadiran pegawai/kakitangan di pejabat-pejabat dan juga kaunter. Melalui pemantauan ini, agensi-agensi berkenaan diminta memberi penjelasan sekiranya terdapat isu-isu salahguna harta kerajaan dan ketidakhadiran kakitangan di tempat-tempat strategik seperti di kaunter-kaunter perkhidmatan.

ii) Melaporkan hasil pemantauan dan tindakan yang telah diambil ke Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus Negeri yang bermesyuarat empat bulan sekali. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri;

iii) Mengesyorkan cadangan penambahbaikan pengukuhan integriti secara berterusan kepada agensi; dan

iv) Memantau keberkesanan pelaksanaan program-program integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

8. Sepanjang tahun 2010, pemeriksaan mengejut telah dibuat ke 86 agensi di seluruh negeri dan pemantauan ini akan diteruskan sebagai satu daripada Fokus Pengukuhan Integriti Tahun 2011 Perkhidmatan Awam Negeri. Pemantauan ini turut melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri di daerah Tawau.

9. Bagi daerah Tawau, pemantauan telah dijalankan pada tahun 2010 di Majlis Perbandaran Tawau dan Jabatan Air Tawau, di mana kedua-dua agensi ini terlibat secara langsung dalam penyediaan perkhidmatan di kaunter pelanggan.

10. Bagi menangani kes-kes pelanggaran disiplin, tindakan tegas akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Tahun 2008.




ISU HUTAN SIMPAN


11. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dari Sulabayan, Kunak dan Sugut, Kerajaan Negeri sedang mengkaji dan meneliti kawasan-kawasan perkampungan yang termasuk di dalam Hutan Simpan. Pada ketika ini, kampung-kampung yang telah didirikan di dalam Hutan Simpan akan dibiarkan terus wujud (status quo) dengan syarat tidak ada aktiviti pembesaran dijalankan di kawasan berkenaan.

12. Bagi kampung-kampung asal yang termasuk di dalam Forest Management Unit (FMU), penyelesaian akan dilakukan dengan pewujudan “Community Compartment”, di mana pembangunan di “compartment” tersebut akan mengambil-kira penglibatan komuniti berkenaan.

13. Bagi penduduk-penduduk asal di dalam Hutan Simpan yang ingin secara sukarela berpindah ke kawasan penempatan semula di luar kawasan Hutan Simpan, Kerajaan akan membantu mereka dari segi pewujudan perumahan masyarakat dan kemudahan-kemudahan asas yang penting seperti yang dilakukan di Salarom Taka, Sapulut dan Nabawan.

14. Dalam hal ini, antara perkara-perkara yang akan diteliti oleh Jabatan Perhutanan ialah mengenalpasti jika kawasan yang diduduki tersebut berlaku sebelum atau selepas kawasan berkenaan dikategorikan sebagai Hutan Simpan; dan sama ada mereka adalah penduduk asal (indigenous) di kawasan yang berkenaan. Selain itu, ramai penduduk asal menghadapi masalah pencerobohan yang dilakukan oleh penduduk-penduduk dari luar kawasan berkenaan (encroachers from other districts who take away possession of lands occupied by the indigenous community of a particular area).

15. Mengenai kebimbangan penduduk di Kg. Bundutuhan yang disampaikan oleh Ahli Yang Berhormat dari Kundasang, sukacita dimaklumkan di Dewan Yang Mulia ini bahawa hanya sebahagian sahaja daripada kawasan kampung tersebut yang termasuk dalam Hutan Simpan Tinompok, manakala sebahagian lagi adalah tanah milik kerajaan. Oleh itu, perkara ini juga akan dikaji semula.

16. Berhubung dengan saranan Ahli Yang Berhormat dari Inanam yang mencadangkan supaya kawasan Kg. Poring-Poring diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (Tadahan Air), Kerajaan amat mengalu-alukan cadangan tersebut dan tindakan susulan mengenai perkara ini akan dilaksanakan.

17. Dakwaan Ahli Yang Berhormat dari Sri Tanjung bahawa berlaku pembalakan haram di kawasan konservasi Maliau Basin dan Danum Valley adalah tidak berasas sama sekali. Aktiviti pembalakan di sekitar kawasan berkenaan telah lama diberhentikan. Kedua-dua kawasan ini adalah diurus-tadbir oleh pihak Yayasan Sabah dan dibangunkan sebagai Pusat Pembelajaran, Penyelidikan Saintifik dan Ekolancong yang bertaraf antarabangsa.

Tuan Speaker,

ISU JANAKUASA GAS

18. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dari Elopura dan Sekong, Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Petronas dan Agensi Kerajaan Negeri yang terlibat sedang dalam proses untuk mengenalpasti tapak projek yang bersesuaian bagi janakuasa gas berkenaan di kawasan Pantai Timur Sabah. Cadangan projek janakuasa gas berkenaan yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2016 akan dibentangkan kepada Majlis Perundingan Ekonomi Negara [Economic National Council] yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri untuk kelulusan.

ISU MANGSA BANJIR

19. Menyentuh isu bantuan bagi mangsa-mangsa banjir yang ditimbulkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Lumadan, bagi meringankan mangsa-mangsa banjir, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi yang berkaitan akan membantu meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir terutama semasa dan selepas dilanda banjir. Agensi yang memberi bantuan di peringkat negeri adalah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), manakala di peringkat Persekutuan adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

20. Sebarang kerugian yang dialami oleh penduduk akibat kerosakan pertanian, ternakan dan rumah, ia perlu dinilai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak serta disahkan oleh Pengerusi JPBBD untuk tujuan pemberian bantuan.


ISU TANAH LEMBAGA KEMAJUAN TANAH NEGERI SABAH (LKTNS)

Tuan Speaker,

21. Sukacita saya menjelaskan mengenai isu tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) seluas 909.33 hektar di kawasan Pinawantai yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Matunggong seperti berikut:

i) Tanah-tanah yang dipertikaikan di kawasan Pinawantai ini merupakan ladang kelapa sawit yang telah diusahakan secara komersial oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) sejak tahun 1984. Polisi Kerajaan pada ketika itu, menghendaki FELDA mengambil alih tanggungjawab mengendalikan skim penempatan, manakala LKTNS pula diarah untuk menjalankan operasi secara komersial dan tidak lagi mengendalikan pengambilan peneroka.

ii) Pada 26.11.1996, Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan untuk mengkorporatkan LKTNS di mana semua asset komersial LKTNS dipindah milik kepada Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB), sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah. Memandangkan bahawa ladang Pinawantai merupakan sebahagian daripada aset komersial LKTNS, maka ladang ini telah diserahkan kepada Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB).

iii) Setelah ladang di kawasan Pinawantai ini dipindah milik kepada Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB), pihak BSSB terus mengusahakan ladang tersebut secara komersial. Pada tahun 2008, BSSB telah menanam semula kelapa sawit di ladang Pinawantai dan menanggung perbelanjaan yang besar dalam mengendalikan ladang.

iv) Pada ketika ini, ladang kelapa sawit di Pinawantai ini mendatangkan hasil kepada BSSB dan juga Kerajaan Negeri Sabah.

22. Sementara itu, pada tahun 1986, Kerajaan Negeri Sabah telahpun mengambil kira kepentingan penduduk-penduduk kampung di kawasan berkenaan, di mana seluas 112.43 hektar telah pun dikeluarkan pada 25.11.1986 oleh Kerajaan Negeri untuk dijadikan “Tanah Rizab Perkampungan”. Butir-butir kawasan yang telah dikeluarkan adalah seperti berikut:

Kg Radtak A 50.01 hektar
Kg Radtak B 16.66 hektar
Kg Pinawantai 13.35 hektar
Kg Pomosukan 32.41 hektar
Jumlah 112.43 hektar

23. Rekod juga menunjukkan bahawa penduduk-penduduk kampung yang tinggal di kawasan Pinawantai telah diberi pampasan sebelum pihak LKTNS diarahkan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan tersebut pada tahun 1974.

24. Di samping itu, rekod juga tidak menunjukkan kewujudan sebarang perjanjian di antara LKTNS dan BSSB serta warga kampung untuk memajukan tanah tersebut dan mengembalikannya kepada penduduk kampung dengan cara mengambil mereka sebagai peneroka di kawasan Pinawantai. Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memberikan tanah-tanah berkenaan kepada penduduk-penduduk kampung, selain daripada apa yang telah dikeluarkan pada tahun 1986.


ISU AGAMA

25. Berhubung dengan Projek Pembinaan Masjid Kg. Ulu Sipitang seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sindumin, projek tersebut diluluskan pada 28 Julai 2004 di bawah peruntukan khas YAB Perdana Menteri dan pada ketika itu disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

26. Walau bagaimanapun, kontraktor yang dilantik melalui proses tender pada 24 Oktober 2005 telah gagal menyiapkan projek dan telah ditamatkan kontrak pada 07 Februari 2006. Tawaran semula telah dikeluarkan melalui proses tender pada 15 Julai 2006. Pada 15 Julai 2008, projek diberhentikan lagi berikutan kekurangan peruntukan. Pada 22 Disember 2009, peruntukan tambahan sebanyak RM300,000.00 telah diluluskan. Projek tersebut telah berjaya disiapkan pada 8 November 2010.

27. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kerja tambahan perlu dilakukan terutamanya pada bahagian siling masjid. Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (PPPN), selaku agensi pelaksana telah memohon peruntukan tambahan ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) untuk skop tersebut dan kelulusan dijangka akan diperolehi dalam sedikit masa lagi.

USAHA MENINGKATKAN KUALITI QARI DAN QARIAH

28. Berhubung dengan usaha meningkatkan kualiti Qari dan Qariah di negeri ini seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Tanjung Batu, negeri ini sememangnya telah mengadakan Majlis Tilawah Al-Quran di Peringkat Daerah, Bahagian dan juga Negeri sejak dari tahun 60an sehingga sekarang. Selain dari kelas-kelas bimbingan al-quran, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah juga mengadakan kursus intensif tahsin al-quran selama 3 hingga 4 minggu setiap tahun, dengan menjemput beberapa mantan johan Qari/Qariah antarabangsa sebagai pembimbing. Hasil daripada kursus intensif tahsin ql-quran, Qari dari negeri Sabah telah mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan pada tahun 2008 dan 2009. Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah juga sedang mengkaji untuk mengadakan skim imbuhan kepada Qari dan Qariah negeri ini yang berjaya meraih Johan di Peringkat Kebangsaan.

PENYELARASAN AKTIVITI DAKWAH

29. Berkaitan dengan aktiviti dakwah yang tidak terselaras yang telah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sekong dan Membakut, Kerajaan memang menyedari akan hal ini. Oleh itu, satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah telah ditubuhkan dan ia dipengerusikan oleh Yang Berhormat, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri dan ia telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Jawatankuasa yang dianggotai oleh semua agensi agama Negeri dan Persekutuan serta NGO’s Islam di Sabah ini adalah berperanan menyelaras dan memantau semua perkara yang berkaitan hal ehwal agama Islam di negeri Sabah.

ISU PENTADBIRAN TANAH

30. Kawasan seluas lebih kurang 761 ekar di Batu 38, Jalan Tawau-Semporna yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan N. 52 Sulabayan adalah merupakan Tanah Simpanan Bandar (Township Reserve) yang diwartakan di bawah seksyen 28(1), Ordinan Tanah Bab 68 melalui G.N. No. 680/1977.

31. Dalam usaha untuk menjaga dan mengawal kawasan tersebut, Perintah Mahkamah pernah dikeluarkan kepada penceroboh seramai 5 orang pada 25 Oktober 1991 kerana mendirikan rumah dan membangunkan kawasan tersebut tanpa kebenaran. Pihak tertuduh telah dijatuhkan hukuman di Mahkamah Rendah Tawau pada 09 Oktober 1993.

32. Walau bagaimanapun, kawasan tersebut telah diduduki semula oleh kerana tidak ada pembangunan dijalankan di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri menyedari mengenai masalah ini dan akan meminta Jabatan Tanah dan Ukur agar tidak memproses mana-mana permohonan tanah yang terlibat dengan kawasan berkenaan, dan seterusnya mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pendudukan haram tanah berkenaan.

33. Berhubung dengan isu mengenai kelewatan/kelambatan memproses permohonan tanah yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dari kawasan Matunggong, Kiulu, Kundasang dan Sri Tanjong, untuk mempercepatkan proses permohonan tanah di daerah-daerah berkenaan, semua Pejabat Tanah Daerah telah diarah untuk menapis dan membatalkan semua permohonan tanah yang terlibat dengan Hutan Simpan, Taman-Taman Sabah, Tanah Simpanan Kerajaan dan Tanah-Tanah Bergeran.

34. Bagi memudahkan proses permohonan tanah N.T. terutama untuk tujuan tanaman makanan yang tidak melebihi 15 ekar bagi permohonan individu dan seluas 50 ekar secara berkelompok, ia tidak perlu dirujuk kepada Jabatan Pertanian untuk ulasan kesesuaian tanah. Selain itu, Jabatan Tanah dan Ukur juga telah mengenalpasti kawasan-kawasan tertentu yang sesuai di seluruh Sabah untuk program "Fast Track Planned Alienation" untuk pengeluaran Geran Komunal Anak Negeri.

35. Untuk mempercepatkan proses pengukuran permohonan tanah yang telah diluluskan dan seterusnya untuk pengeluaran geran tanah, Jabatan Tanah dan Ukur telah pun melaksanakan pengukuran tanah dengan menggunakan teknologi ICT “Field To Finish” (F2F) di mana tempoh pengukuran permohonan tanah telah dikurangkan dari 5 tahun kepada 6 bulan. Kaedah pengukuran ini telah mula dilaksanakan di seluruh Sabah sejak tahun 2009.

Tuan Speaker,

36. Adalah diharapkan dengan pelaksanaan kaedah melalui pekeliling 1/2011, dan kaedah memproses permohonan tanah melalui "Fast Track Planned Land Alienation" untuk mengeluarkan Geran Komunal, ditambah dengan usaha Pejabat Tanah untuk menjalankan penapisan ke atas semua permohonan tanah yang tertunggak, dan dibantu dengan kaedah pengukuran Field to Finish, tunggakan permohonan tanah di semua Pejabat Tanah dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih cepat.

37. Menyentuh mengenai isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Tandek, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur akan mengenal pasti kawasan tanah kerajaan di daerah Kota Marudu dan Pitas yang sesuai sebagai tambahan kepada tanah seluas 17,000 ekar yang telah dikenalpasti di kawasan Begaraya untuk pengeluaran Geran Komunal Anak Negeri sekiranya kawasan yang sedia ada tidak mencukupi berbanding dengan tuntutan hak asasi anak negeri (NCR).

38. Berhubung dengan geran-geran draf di Kg. Nato, permohonan-permohonan tanah tersebut telah diluluskan oleh Setiausaha Hasil Bumi dan ia tidak di proses melalui Jawatankuasa Penggunan Tanah Daerah. Ini adalah kerana Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah hanya dilaksanakan pada tahun 1977. Berdasarkan kepada fakta tersebut, Kerajaan Negeri tidak boleh membatalkan geran-geran draf tersebut.

39. Menyentuh tentang pengukuran tanah di Kg. Tandahuwon, ia merupakan program pengukuran tanah mengikut hak adat oleh Unit Task Force. Ini bermakna, bakal-bakal pemilik kepada geran-geran tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai tuntutan hak asasi anak negeri.

40. Selain itu, sebanyak 22 geran draf yang melibatkan seluas 1,760 ekar untuk 88 pemohon tanah di Kg Saniton Ulu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah pada 5 November 1979 dan surat-surat tawaran telah dikeluarkan pada 14 Februari 2006. Berdasarkan kepada fakta tersebut, semua permohonan tanah telah diproses dan diluluskan mengikut Ordinan Tanah Sabah. Oleh itu, geran-geran draf tersebut tidak dapat dibatalkan mengikut Ordinan Tanah Sabah.

PENUTUP

Tuan Speaker,

41. Saya menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat agar kita terus bersatu padu dan mengetepikan kepentingan kesukuan supaya hasrat untuk membina negara amnya dan negeri khususnya, menjadi lebih makmur, lebih maju, lebih progresif dan lebih dinamik akan menjadi kenyataan.

42. Akhir kata, dalam usaha merealisasikan matlamat dan hasrat Kerajaan Negeri yang murni ini, saya ingin mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat, Wakil-wakil Rakyat, Semua Pemimpin dan anggota perkhidmatan awam serta rakyat jelata untuk sama-sama memikul tanggungjawab dengan lebih komited dan dedikasi. Saya yakin dengan sifat-sifat sedemikian sahajalah program pembangunan Negeri serta aspirasi rakyat negeri Sabah dapat dicapai.

Selamat Menyambut Pesta Kaamatan.

Sekian.

2 comments:

Harry George said...

Boss.......... How are you?.. your published article is really good. Keep Up the good work... The Blue Tiger Is Waiting... Hehehe

Malaysian Hollywood 2.0 said...

thanks for dropping by.... tadi baru habis pengambaran di cosmopoint kk for 2nd round of cosmopoint series on tv hehehe.. the blue and green tiger is waiting!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs