Wednesday, July 20, 2011

6 maut kebakaran rumah di Sandakan, Sabah, 9 Julai 2011



Api bila kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan. Beginilah keadaan rumah 2 tingkat yang musnah dalam kebakaran awal pagi 9 Julai 2011 yang menyebabkan 6 penghuninya maut.



Penghuni rumah ini dilaporkan gagal menyelamatkan diri kerana pintu dan tingkapnya berjeriji.






Bagaimana kita perlu mengelak tragedi ini berulang?

Sudah banyak kes mangsa kebakaran maut di rumah kerana tidak dapat menyelamatkan diri kerana pintu dan tingkap berjeriji, malahan jiran juga sukar menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah.

Antara kes terbaru kebakaran ngeri yang mengorbankan 6 mangsa berlaku di Sandakan, Sabah pada 9 Julai 2011 sebagaimana dilaporkan media.

Dalam kejadian itu, 5 sekeluarga dan seorang pembantu rumah terkorban selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa Dua, Batu 12, Sandakan pada awal pagi 9 Julai 2011 bersamaan hari Jumaat.

Mangsa dikenali Osir Kamis, 81; isterinya, Leong Siew Kit @ Kasnih Abdullah, 80; Zuliana Osir, 38; (anak perempuan), Rahim Hassan, 47; (menantu) dan Yulia Ezora Rahim, 3, (cucu), manakala identiti pembantu rumah mereka belum dikenal pasti.

Penguasa Bomba Dan Penyelamat Zon Sandakan, Alias Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 pagi mengenai kebakaran itu.

Menurutnya, dua buah jentera bersama 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25.7 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Katanya, pasukan bomba tiba setengah jam kemudian dan mendapati rumah tersebut telah terbakar hampir 100 peratus dan api hanya dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 2.41 pagi.

Selepas api dipadamkan, pasukan bomba menemui enam mayat rentung dalam timbunan kayu yang terbakar di rumah dua tingkat berkenaan. Mangsa terdiri daripada lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

Pihak bomba difahamkan bahawa empat daripada mangsa berada di tingkat dua rumah tersebut dan dua lagi yang terdiri daripada warga emas tidur di tingkat bawah.

Empat mangsa yang ditemui di atas ialah anak perempuan pasangan warga emas tersebut berumur 38 tahun dan suaminya berumur 47 tahun serta anak perempuan mereka berusia tiga tahun.

Seorang lagi mangsa adalah pembantu rumah yang baru sahaja bekerja dan mangsa berumur lingkungan 20-an.

Semua mayat mangsa kebakaran itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tukang kebun keluarga mangsa, Gunawan Abu Bakar, 36, yang tinggal berhampiran rumah majikannya melahirkan rasa kesal kerana tidak sempat menyelamatkan majikannya.

“Saya terdengar jeritan meminta tolong dan bergegas ke rumah itu, pada masa itu api sedang marak dan majikan saya sempat mengarahkan untuk mengambil tangga.

“Tangga diambil dan diletakkan di tingkap tetapi pagar besi tingkap itu tidak dapat dibuka,” katanya sedih dengan kejadian itu.

Semoga Roh kesemua mangsa bersemadi dengan aman dan dicucuri rahmat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs