Datuk Ghapur Salleh, Ahli Parlimen Kalabakan yang juga dikenali SINGA KALABAKAN
YAB Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata kenyataan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh mengenai parti GERAKAN di Parlimen pada Isnin 17 Oktober 2011 adalah kenyataan peribadi dan bukannya pendirian rasmi Barisan Nasional, BN Sabah.
Kata Musa "selaku pengerusi BN negeri, saya anggap itu adalah semata mata pandangan peribadi Datuk Ghapur, there is nothing to do with pandangan, persepsi BN Sabah, kita seperti 1 keluarga yang besar kita sentiasa hormati 1 sama lain, kita tak memandang rendah underestimate others."
Tambah Musa BN Sabah sentiasa bekerjasama rapat antara satu sama lain untuk kebaikan parti, khususnya dalam konteks memantapkan BN Negeri menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Musa berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Al Rajhi Bank cawangan Sabah di Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada Selasa 18 Oktober 2011.
Pada 17 Oktober 2011 bersamaan Isnin semalam di Parlimen, Ghapur dilaporkan meminta Perdana Menteri supaya tidak menurunkan calon dari parti GERAKAN untuk bertanding di Sabah dalam pilihanraya umum akan datang.
Ini kerana menurut Ghapur, Gerakan telah hilang pengaruh di Pulau Pinang dan parti itu tidak relevan dan tidak mempunyai impak, di Sabah selain dibenci masyarakat Cina di negeri itu.
GERAKAN juga katanya, bukan parti yang boleh menang, sebaliknya liabiliti untuk BN.
Ahli dewan undangan Negeri yang menyertai GERAKAN di Sabah juga katanya adalah “katak politik” yang bertukar parti untuk mengekalkan jawatan kabinet mereka.
Untuk rekod, GERAKAN yang tidak bertanding mana mana kerusi di Sabah pada pilihanraya umum 2004 dan 2008, kini mempunyai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dua bergelar Menteri penuh.
Mereka ialah Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap ADUN Tanjung Papat, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Belia & Sukan merangkap ADUN Karamunting Datuk Peter Pang En Yin dan ADUN Elopura, YB Au Kam Wah.
Raymond Tan dan Au Kam Wah dulunya ahli parti Maju Sabah, SAPP, namun bertindak keluar SAPP dan menyertai GERAKAN setelah SAPP bertindak keluar BN pada September 2008.
Peter Pang pula keluar dari Parti Liberal Demokratik, LDP dan menyertai GERAKAN setelah tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan LDP termasuk Presiden, Datuk VK Liew yang juga Ahli Parlimen Sandakan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta juga tidak sehaluan dengan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Shu Phin.
Ia berpunca kenyataan pucuk pimpinan LDP yang dilaporkan berkata menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri tetapi tidak dapat bekerjasama dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman ekoran beberapa isu yang timbul termasuk isu patung keagamaan Buddha, Mazu di Kudat yang diarah henti kerja oleh Majlis Perbandaran Kudat pada 2007.
No comments:
Post a Comment