Gambar Dato Siti Nurhaliza dan Artikel ini dipetik dari portal hiburan Gua.com.my
Hmmm... nampkanya artis tempatan kita tidak sunyi daripada gossip, isu dan kontrovesi.
Di sana sini, ada sahaja isu yang dicetuskan media hiburan tempatan, samada media arus perdana mahupun media alternatif iaitu portal hiburan internet.
Apa sahaja perkembangan berkaitan artis popular kita, samada berita gembira atau berita sedih atau isu peribadi, sentiasa disensasikan oleh media serta di blog dan laman sembang internet oleh peminat setia artis berkenaan.
Terbaru, isu artis "membeli" media. "Membeli" dalam konteks ini adalah perbuatan memberikan wartawan hiburan dengan hadiah dan ganjaran tak kira dalam apa bentuk, supaya artis itu sentiasa mendapat liputan, sekaligus sentiasa mendapat publisiti, sekaligus mereka sentiasa popular di kalangan peminat seni tanah air.
Ini kerana tanpa publisiti, peminat tak tahu perkembangan artis itu, serta juga mungkin melupakan artis itu. Lihatlah artis yang jarang masuk akhbar, radio, tv dan portal berita hiburan internet, sudah tentu mereka dilihat kurang popular. Ini jauh berbeza berbanding artis yang selalu muncul di TV, berkumandang di radio dan menghiasi dada akhbar media arus perdana serta juga portal internet, begitu juga laman sembang sosial internet.
Apapun, bagi saya, naluri wartawan itu sebenarnya adalah sentiasa mendapatkan berita artis popular sahaja, kerana bila berita artis popular disiarkan, sudah pasti akhbar atau program TV yang menampilkan berita artis popular itu, akan lebih laris dan ditonton lebih ramai penonton.
Berita mengenai artis nombor 1 negara, akan lebih bernilai berbanding berita mengenai artis no. 100 negara. Itulah hakikatnya dalam persada media bukan sahaja di Malaysia, malahan di Amerika Syarikat, England, Itali dan seluruh dunia, kecuali di Kutub Utara dan Kutub Selatan dan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa atau I-S-S kerana di sana terdapat sedikit sahaja manusia.
Berita mengenai artis boleh dilihat dalam konteks liputan berita politik, sudah pasti wartawan akan tertumpu kepada majlis yang dirasmikan pemimpin nombor satu negara iaitu YAB Perdana Menteri ataupun pemimpin nombor 2 negara iaitu YAB Timbalan Perdana Menteri. Diikuti menteri menteri kabinet yang berpotfolio penting, mengikut hieraki, jawatan dan juga isu semasa.
Oleh sebab itu, jarang kita lihat liputan berita kepada YB yang hanya memegang jawatan Setiausaha Parlimen ataupun Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri biasa sahaja dan tidak mempunyai jawatan penting.
Kecualilah ada isu sensasi sepertimana yang berlaku kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin baru baru ini. Datuk Bung Moktar diburu media politik dan juga media hiburan setelah tersebar berita dia berkahwin dengan pelakun Zizie Ezzete. Bung Moktar tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet persekutuan, namun dia popular di kalangan media kerana isu isu panas termasuk perbahasan panas di Parlimen.
Nah.. artikel di bawah saya petik dari gua.com mengenai penyanyi popular masa kini, Dato Siti Nurhaliza Tarudin berhubung isu "beli" wartawan. Kita sama sama baca ya...
Sejak kebelakangan ini, isu wartawan hiburan yang kononnya tidak beretika hangat diperkatakan. Ramai individu yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap sesetengah wartawan yang dianggap oleh mereka keterlaluan kerana sanggup mengaibkan golongan artis.
Rentetan daripada isu ini, diva nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza turut terkena tempias. Ada peminat di luar sana mendakwa Siti kurang menjadi mangsa gosip kerana beliau telah ‘membeli’ wartawan dengan menyogok wang dan pelbagai hadiah yang lain.
Dakwaan ini sedikit-sebanyak membuatkan ramai peminat Siti di luar sana kurang senang dan mereka ingin tahu sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Untuk kepastian, GUA telah mendapatkan penjelasan daripada isteri kesayangan Datuk K ini.
“Banyaknya duit Siti hendak bayar semua wartawan,” itu komen pertama keluar daripada mulut Siti apabila diajukan tentang perkara ini. Menurut Siti lagi, dia tidak pernah mengamalkan perkara tersebut sebaliknya dia cuba menjalinkan hubungan baik dengan wartawan. Baginya, artis dan wartawan saling memerlukan.
“Jika kita tahu berbudi bahasa, orang lain juga akan menghormati kita. Siti anggap semua wartawan macam kawan Siti. Sebab itu kami mempunyai hubungan yang baik. Bukan kerana Siti telah ‘membeli’ mereka.
“Kalau peminat mendakwa Siti tidak pernah menjadi mangsa gosip atau kutukan, perkara itu tidak betul. Siti telah lalui semua itu. Tetapi Siti terima itu semua sebagai asam garam dalam kehidupan seorang artis. Paling penting, kena bijak menghadapinya dan pandai membawa diri,” jelas Siti.
Sebagai anak seni yang sudah berbelas tahun bergelumang dalam industri, Siti turut diminta mengulas tentang sikap sesetengah artis baru yang tidak boleh disentuh atau ditegur oleh pihak media sehingga sanggup menyerang balas dengan cara yang tidak sepatutnya.
“Apa yang boleh Siti katakan, sebagai seorang artis kita kena pandai bawa diri dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran. Memang banyak dugaan yang terpaksa dihadapi terutamanya apabila berhadapan dengan media. Tetapi kita kena pandai sebab itu karier kita. Tidak perlulah melatah atau terlalu mengikut emosi sehingga boleh menjejaskan perjalanan karier,” ujar Siti yang ditemui selepas sidang media Anugerah Industri Muzik ke-17 baru-baru ini.
Walaupun Siti pernah dikecam hebat oleh media kerana keputusannya untuk berkahwin dengan Datuk K tidak lama dahulu, tetapi penyanyi nombor satu negara ini tidak pernah menyimpan dendam dengan mana-mana pihak. Sebab itulah, dia tidak menyokong kewujudan sebuah laman web yang menghentam dan menghina sebahagian wartawan hiburan.
“Sebenarnya Siti belum lagi sempat melihat laman web tersebut tetapi Siti tahu tentang kewujudannya. Siti pun tidak tahu apa agenda orang yang buat laman web ini. Mungkin dia ada masalah peribadi dengan seseorang. Pada pendapat Siti, tidak perlulah buat begitu kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pun,” ujar Siti terus-terang.
No comments:
Post a Comment