Keluarga kepada seorang pemimpin terkenal sabah sebelum kemerdekaan, O.K.K Sedomon O.K.K Gunsanad, (O.K.K bermaksud Orang Kaya Kaya) menolak cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan rumah pusaka keluarga itu di Bingkor, Keningau, Sabah sebagai rumah warisan budaya.
Sebaliknya keluarga berkenaan mahu status rumah berkenaan sebagai rumah keluarga hak persendirian, dikekalkan.
Rumah pusaka Sedomon dibina O.K.K Sedomon pada 1937 hingga 1941 di tapak seluas 4 hektar atau 12 ekar di Bingkor, Keningau, Sabah kira kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu.
O.K.K Sedomon dan adiknya G.S Sundang yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah, dikenali antara tokoh penting di zaman sebelum Sabah merdeka dari pemerintahan British, seterusnya membentuk persekutuan Malaysia bersama sama Sarawak dan Singapura pada 1963.
OKK Sedomon meninggal dunia pada 8 Mac 1966 ketika berusia 72 tahun.
Rumah OKK Sedomon turut dikenali di Sabah sebagai rumah besar Keningau.
Dibina selama 4 tahun dari 1937 hingga 1941 menggunakan pekerja Cina. Peralatan membinanya menggunakan bahan asas seperti gergaji dan tukul. Kebanyakan kerja dilakukan secara manual tanpa dibantu mesin canggih seperti kerja membancuh simen dan mengangkat papan kayu balak.
OKK Sedomon mahu rumah itu dibina berdasarkan ciri arkitek istana kesultanan Melayu awal abad ke 18.
Kayu Balak yang digunakan dalam pembinaan rumah besar itu dibawa menggunakan pengangkat khas yang diikat pada kerbau atau "Guyudan" dalam bahasa Dusun.
Rumah OKK Sedomon mempunyai beberapa bilik dan tingkat dan ruangan khas untuk berkumpul bagi acara beramah mesra sambil meminum minuman tradisional Tapai yang diperbuat daripada beras.
Acara ramah mesra atau "Mongkorumo" ini sering diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan keluarga dan jiran serta penduduk kampung.
Namun pada 1942, keluarga Sedomon terpaksa keluar dari rumah ini oleh tentera Jepun ketika perang dunia ke 2 yang menggunakan rumah itu sebagai stesen mereka.
Kekejaman Jepun bukan setakat menghalau keluarga dari rumah sendiri, malahan juga tanaman dan ternakan keluarga Sedomon dimusnahkan Jepun.
Malahan juga pernah berlaku kejadian tembak menembak antara tentera Imperial Jepun dan tentera Australia di rumah ini. Sehingga kini ada kesan peluru menembusi dinding rumah besar yang masih kelihatan.
Malahan sebuah kolam kecil juga dilaporkan terbentuk di halaman rumah ini akibat ledakan bom ketika perang dunia ke 2.
Selepas perang dunia ke 2 tamat, keluarga Sedomon kembali ke rumah besar ini dan melakukan pelbagai aktiviti ekonomi sara diri termasuk menternak lembu, kerbau, ayam dan kambing serta menanam padi, kelapa, kopi dan sayur sayuran serta buah buahan di halaman rumah ini.
Rumah besar OKK Sedomon pernah dilawati pelbagai pemimpin dan orang kenamaan.
Antaranya Sir William Goode, bekas Gabenor British North Borneo, Duncan Sandys (Menteri hubungan Komanwel Britain), Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia), Tun Razak Hussein (Perdana Menteri Kedua Malaysia), Tun Datu Mustapha Datu Harun (bekas Ketua Menteri Sabah), Tun Mohammed Fuad Stephens (bekas Yang di Pertua Negeri Sabah dan bekas Ketua Menteri Sabah), Tun Ahmad Koroh (bekas Yang di Pertua Negeri Sabah) dan ramai lagi.
Rumah pusaka itu asalnya dicadangkan dibangunkan sebagai rumah warisan budaya menerusi satu surat Jabatan Muzium Sabah kepada keluarga Sedomon bertarikh 22 julai 2011 lalu.
Dalam satu sidang akhbar khas pada Rabu 17 Ogos 2011 di TNGC, Jalan Bundusan, Penampang, keluarga Sedomon yang terdiri waris daripada 10 anak dan 17 cucu, menolak cadangan itu.
Kerana ia dikhuatiri boleh menyebabkan mereka kehilangan hak milik pusaka ke atas rumah dan tanah apabila rumah itu diwartakan sebagai rumah Warisan Budaya kelak.
Tambahan lagi, perkara itu bertentangan dengan wasiat O-K-K Sedomon supaya rumah itu terus dipelihara dan dikekalkan sebagai rumah pusaka oleh keluarga tanpa campur tangan sebarang pihak luar.
Wakil keluarga OKK Sedomon, Nilakrisna James berkata “any owner if just 1 owner says no, that no should be respected, that right of veto is there because ultimately what Sedomon wold have wanted is pusaka, what Sedomon would have wanted, he would not have signed this lease unless he said i want that house to forever house my descendants”
Yang dalam bahasa Malaysianya bermaksud :
“jika pemilik mengatakan tidak, maka ia harus dihormati kerana apa yang Sedomon mahukan adalah pusaka. kehendak Sedomon ialah memastikan rumah ini selamanya dimiliki pewarisnya.”
Nilakrisna adalah cucu OKK Sedomon, dia anak kepada Doreen Sedomon, anak OKK Sedomon.
Semoga rumah besar OKK Sedomon di Keningau, terus dipelihara dan kekal sebagai milik keluarga dan pewaris OKK Sedomon.
Pingat MBE
OKK Sedomon pernah dianugerahkan pingat the most excellence member of the British Empire atau MBE oleh Ratu Elizabeth 2 pada 9 Jun 1961.
No comments:
Post a Comment