Friday, February 24, 2012

Bolasepak, Malaysia terpaksa berhempas pulas sebelum tewaskan Sabah 1-0 di stadium Likas, 24 Februari 2012


Pemain Sabah Alto Linus (jersi merah) bersaing dengan Ashaari Shamsudin dalam perlawanan persahabatn itu.



Di atas kertas, Sabah bukan lawan skuad kebangsaan Malaysia yang gah sebagai juara bertahan Piala Suzuki AFF 2010, selain sudah berpengalaman berentap dengan pasukan kelas dunia termasuklah 3 kelab tersohor Liga Perdana Inggeris, Liverpool, Chelsea dan Manchester United.

Malahan dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan negeri, Malaysia membelasah juara Liga Super, Kelantan 5-0 di Kota Bahru.





Sebelum perlawanan, kedua dua pasukan mengadakan sidang media di Le Meridien Hotel, Kota Kinabalu dengan ketua pasukan Sabah Reithaudeen Embran (kiri) bersalaman dengan kapten kebangsaan, Safiq Rahim.


Inilah barisan pemain Sabah dan Malaysia dalam aksi persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada malam Jumaat 24 Februari 2012. Perlawanan itu disaksikan 25 ribu penonton untuk melihat aksi pasukan kebangsaan.

Ini aksi pemanas badan sebelum Malaysia bertemu Filipina di Manila dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 29 Februari 2012 ini.

Namun harus diingat, ini bukan barisan terkuat Malaysia kerana gandingan 2 penyerang berbisa Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha tidak beraksi.

Norshahrul langsung tidak dibawa ke Kota Kinabalu kerana cedera manakala Safee Sali hanya diturunkan jurulatih Datuk K. Rajagobal di minit ke 85 kerana cedera ketika latihan di padang UMS, Kota Kinabalu petang semalam.

Pemain sayap kanan Sabah dari Labuan, Shaharudin Yakup juga mencatat sejarah tersendiri apabila menyarung jersi Malaysia buat pertama kalinya, menentang rakan sepasukan sendiri.!!!

Apapun, tanpa disangka sangka Malaysia terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Sabah 1-0, menerusi gol tunggal Amar Rohidan diminit ke 79.

Lebih 25 ribu penonton tidak menjangka Sabah memberi tentangan hebat kepada pasukan kebangsaan yang dibarisi pemain handalan.

Sebaik wisel ditiup pengadil Sani Tari, Malaysia jersi biru dan Sabah jersi merah saling membalas serangan dalam perlawanan menghiburkan ini.

Malaysia terpaksa menyerap asakan demi asakan Sabah yang menguasai perlawanan dan melakukan tidak kurang 5 percubaan merbahaya ke gawang Malaysia yang nyaris membuahkan gol.

Malaysia tampak agak lesu di bahagian serangan yang diterajui Zaquan Adha dan Manap Mamat, manakala pertahanan, kerap dibocori.

Gandingan dua impot Sabah dari Australia, Michael Baird dan Brendan Gan dibantu penyerang veteran Zainizam Marjan kerap mengkucar kacirkan pertahanan Malaysia.

Sabah bermain seperti dirasuk, bersungguh sungguh mahu menumbangkan Malaysia, ini amat berbeza dengan penampilan longlai ketika tewas 0-2 kepada Sime Darby pada aksi Piala FA baru baru ini.

Tahap permainan Sabah amat hebat sekali, seperti juara Liga Super.

Tanpa segan silu, barisan serangannya merobek dan mengkucar kacirkan pertahanan Malaysia manakala barisan pertahanan Sabah tenang menyerap asakan jentera depan Malaysia.

Di babak pertama, Brendan Gan melakukan sepakan gunting yang nyaris menerjah jaring Malaysia, manakala Shahrul Azhar bijak melakukan lob shot yang nyaris memerangkap penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Matlan Marjan, abang Zainijam yang pernah menjaringkan 2 gol ketika Malaysia tewas 2-4 kepada England pada 1991 turut hadir menyaksikan perlawanan.

Malaysia turut menggasak minit termasuk menerusi percubaan jarak dekat Zaquan Adha seawal minit ke 4 dan Abdul Manaf Mamat, namun dinafikan penjaga gol, Syed Adney.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

2 pemain Sabah termasuk Alto Linus, diberikan kad kuning kerana terlalu menggasak pemain Malaysia.

Di minit ke 60, Stadium Likas menjadi gegak gempita apabila Malaysia dikejutkan Gol Sabah.

Gol berpunca bola lorongan Michael Baird kepada Mohd Rozaimi Abdul Rahman, berjaya membolosi gawang Malaysia, namun tidak dikira pengadil kerana terkena tangan Rozaimi.

Di sebalik asakan bertali-arus Sabah, akhirnya gol yang dicari Malaysia terhasil juga menerusi percubaan Amar Rohidan yang tertampan pertahanan Sabah sebelum menewaskan penjaga gol gantian Sabah, Irwan Jamil.

Dalam perlawanan ini Datuk K Rajagobal hanya menurunkan penyerang berbisa Saffee Sali di minit ke 85 kerana kecederaan ketika latihan semalam.

Manakala penjaga gol superstar dan glamour, Khairul Fahmi Che Mat hanya dimasukkan di minit ke 90.

Prestasi Malaysia yang agak hambar dan terpaksa bekerja keras mencapai kemenangan, menimbulkan tanda tanya kerana Sabah bukan pasukan di carta teratas liga Super.

Sehingga 14 Februari lalu, Sabah hanya mencatat 2 kemenangan, 4 seri dan 2 kalah dalam saingan Liga Super dengan menjaringkan 8 gol dan dibolosi 8 gol juga. Penjaring terbanyak Sabah ialah Michael Baird dengan 3 gol.

Apapun bagi Datuk K Rajagobal, Sabah bermain baik dan pemainnya dihimpit keletihan.

"ada sedikit keletihan pemain2 tidak bermain macam apa saya harap bergerak bola dgn pantas, kita tidak berapa agresif saya faham. ini bukan, nasib baik ini bukan perlawanan antarabangsa, ini akan jadikan selepas kita datang berkumpul utk mendapat momentum kita perlukan 1-2 perlawanan persahabatan baru boleh dpt momentum dia." katanya.

Tambahnya beliau memuji pasukan Sabah yang memberi cabaran sengit dan aksi itu menggembirakan penonton yang hadir. Katanya peminat Sabah boleh melihat kekuatan sebenar Malaysia jika gandingan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha diturunkan.

Menurut K Rajagobal lagi semua pemain Sabah bermain dengan baik dan kebiasannya pemain negeri akan bermain dengan penuh komited jika menentang pasukan kebangsaan.

Bagi jurulatih Sabah, Justin Ganai, ini perlawanan terbaik Sabah tahun ini.

"saya sungguh terharu dgn persembahan pemain2 yg telah memberi tentangan hebat kpd pasukan kebangsaan, saya tau dlm perlawanan ini pemain kebangsaan dia tidak main 100% saya tau, tetapi apa yg telah diberi pemain saya tak minta lebih dari itu sebab mereka telah bermain yg terbaik"

Menurut Justin lagi "ini saya akan tekanan kepada pemain2 sebab kita anggap semua pasukan itu adalah yg terkuat, sebab itu tak boleh pandang 1 pasukan itu lemah, kalau kita main spt ini sewaktu lawan Sime Darby, saya ingat tak kalah dgn Sime Darby." katanya merujuk kekalahan Sabah dalam saingan Piala FA kepada Sime Darby minggu lalu.

Apapun syabas Sabah dan Malaysia.

2 comments:

Harry said...

Mana ada kena tangan tu... Gol sudah bah tu... hehehe saya saksi bah.. hehehe aramaitie.. bila tin biru..Hehehe

Malaysian Hollywood 2.0 said...

iya bah bossss... kalau tidak Sabah menang ohh.. Malaysia malu ohhh.. hehe.. Tin Biru bakal menyusul tak lama lagi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs