Tuesday, April 2, 2013

Datu Dr Akjan bin Datu Ali Muhammad yang pernah ditabalkan Sultan Sulu suatu ketika dulu, TIDAK SOKONG pengganas Kiram



Kenyataan Akhbar oleh:

Dr Datu Mohd Akjan B. Datu Ali Muhammad,

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Sabah, sempena Sidang Media di Kg Likas, Kota Kinabalu, pada 10 Mar, 2013. Untuk rekod, Datu Akjan pernah ditabalkan sebagai Sultan Sulu pada 2011 pada satu istiadat di Kota Kinabalu.


KOTA KINABALU, March 10, 2013: Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Sabah Pengerusi Dr Datu Mohd Akjan B. Datu Ali Muhammad telah menggesa pemimpin dan ahli-ahlinya di Sabah, mereka yang kini menetap di Lahad Datu terutamanya, mengelak daripada memberi apa-apa bentuk bantuan kepada penceroboh dari Pilipina.


Saya menegaskan di sini bahawa mereka sebaliknya harus memberikan apa jua sokongan dan bantuan kepada pasukan keselamatan Malaysia, demi menghalang dan menentang penceroboh daripada memasuki ke dalam daerah-daerah yang lain di negeri Sabah.


Saya juga telah mengingatkan ahli-ahli PEKIDA dan masyarakat Tausug (Suluk) di Sabah bahawa mereka adalah warganegara Malaysia dan haruslah sentiasa meletakkan kesetiaan mereka kepada Malaysia, dan menjadi antara yang pertama untuk melangkah ke hadapan untuk mempertahankan negara, apabila negara kita menghadapi ancaman dari luar.


Sebagai Pengerusi PEKIDA Negeri Sabah, saya ingin menegaskan bahawa kesetiaan dan ketaatan kami suku kaum Tausug dan Suluk sentiasa dengan Yang Di Pertuan Agong, Raja kita yang tercinta dan juga kerajaan. Kami suku kaum suluk di Malaysia berikrar dan berjanji akan mempertahankan dan melindungi tanah air Sabah yang kami cintai dengan apa-cara sahaja yang boleh, walaupun kami terpaksa mengorbankan nyawa kami, InsyaAllah, "


Saya sendiri yang bersasal dari suku kaum Tausug (Suluk) amat merasa kesal dan mengambil perhatian bahawa sejak bermulanya pencerobohan oleh militan bersenjata dari Filipina yang mengisytiharkan diri mereka sebagai pengikut Jamalul Kiram III, majoriti daripada suku kaum Tausug (Suluk) di Sabah telah menyatakan rasa jijik dan membantah sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun oleh Jamalul Kiram III dan pengikutnya.


Oleh itu, kami bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin suku kaum suluk, ayahanda-ayahanda dan ahli-ahli PEKIDA yang berada di sini dengan saya hari ini, mengegaskan bahawa kami mengutuk dan menentang pencerobohan oleh kumpulan yang mengelar mereka Tentera Diraja Kesultanan Sulu. Bagi kami, tindakan mereka tidak berbeza dengan sekumpulan pengganas. Sebenarnya mereka bukan orang Tausug (Suluk), mereka hanya orang Republik Filipina seperti Jamalul Kiram III.


Kami dengan tegasnya memberi amaran kepada mereka untuk tidak menggunakan Tuntutan Sabah sebagai alasan songsang tidak munasabah untuk datang ke Sabah untuk menjadikan Kerajaan Malaysia dan rakyat jelatanya sebagai tebusan. Bagi kami, ini adalah hanya satu bentuk keganasan, dan sebagai seorang Muslim, kami benar-benar merasa malu dengan tindakan kejam mereka terhadap komando polis kita yang mempunyai kepercayaan yang sama (agama islam), dan kami setulus hati menyatakan simpati dan takziah kepada keluarga tentera yang telah terkorban, semoga ALLAH merahmati mereka. Dan sebagai masyarakat Tausug (Suluk) di Sabah, kami dengan sekeras-kerasnya menolak tuntutan Sabah oleh Jamalul Kiram III dan pengikut-pengikutnya.

Mereka haruslah sedar dan akur bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia sejak tahun 1963 lagi dan fakta ini adalah diperakui oleh Bangsa Bangsa Bersatu (United Nations) malah masyarakat dunia. Kami masyarakat Tausug dan Suluk telah pun sekian lama hidup dengan aman damai dan harmoni dengan suku kaum yang lain di Sabah tanpa apa jua masaalah. Mustahil kami hendak menjadi sebahagian dari Republik Filipina. Maka jangan sesekali cuba menggunakan Tuntutan Sabah untuk membuat kecoh di sini.


Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa masyarakat Tausug (Suluk) di Sabah tidak akan sesekali terpengaruh dengan cara apa pun propaganda yang tidak masuk akal oleh Jamalul Kiram III dan pengikutnya, dan akan melakukan apa sahaja untuk melindungi tanah air sabah yang tercinta sehingga ke titisan darah yang terakhir.


Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kami PEKIDA bersedia pada bila-bila untuk dipanggil ke barisan hadapan untuk membantu pasukan keselamatan kita, jika diperlukan,"


Selain daripada ini, kami Masyarakat Suku Kaum Suluk di Sabah berdiri teguh dibelakang Kerajaan Malaysia dan menyokong sepenuhnya " tindakan pendirian tegas" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melindungi keselamatan rakyat Malaysia dan kedaulatan Negeri Sabah dalam Malaysia.


Terdahulu daripada itu, saya telah dihubungi oleh Datu Albi Ahmad Julkarnain, Pengerusi dan Penasihat kedua-dua Rumah Bicara Maimbung dan Patikul dan dia telah memberitahu saya bahawa Rumah-Rumah Bicara yang mewakili Kesultanan Sulu tidak terlibat dan tidak merestui tindakan Jamalul Kiram III menghantar pengikut-pengikutnya menceroboh Negeri Sabah dengan menggunakan Kesultanan Sulu.

Sekian, terima kasih!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs