Showing posts with label kalabakan. Show all posts
Showing posts with label kalabakan. Show all posts

Wednesday, August 31, 2011

Peristiwa berdarah di Kalabakan, Sabah cetuskan kelahiran markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, SABAH












Sempena hari ulang tahun kemerdekaan ke 54 yang jatuh pada 31 Ogos 2011 bersamaan 2 Syawal 1432 Hijrah, baik kita imbau beberapa peristiwa penting dalam kalendar sejarah Malaysia.

Kita tahu perjalanan kemerdekaan Tanah Melayu pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 dipenuhi titisan darah dan airmata. Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka, Merdeka, Merdeka di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, perjalanan kemerdekaan sebenarnya bukan mudah.

Ada saja ancaman dan halangan yang ditempuhi.

Antaranya usaha pemimpin lampau seperti Tunku Abdul Rahman dan Dato Onn Jaafar mencari jalan untuk mewujudkan Malaya yang bebas dari pemerintahan British.

Sebelum itu pada 1940-an, Malaya dijajah tentera Jepun yang terkenal dengan kekejamannya sehingga seorang Jeneral Jepun iaitu Jeneral Yamashita dikenali dengan nama Harimau Malaya.

Kita tahu Jepun ketika itu cukup kejam. Mereka membunuh, menembak, mengebom, menikam dengan bayonet, memancung, menyeksa, merogol, memperkosa, mencuri dan pelbagai tindakan lain yang mencabuli hak asasi manusia ke atas penduduk Malaya.

Tentu kita tidak lupa peristiwa pertempuran Bukit Candu dimana Leftenan Adnan Saidi mempertahankan negara hingga ketitisan darah terakhir.

Selepas Jepun menyerah kalah setelah 2 bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, timbul pula ancaman pengganas Komunis di Malaya.

Kita tidak lupa peristiwa Bukit Kepong dimana komunis membunuh, mengebom dan menyeksa pula rakyat Malaya.

Selepas Malaya mencapai kemerdekaan dan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 menerusi gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura (yang kemudiannya keluar Malaysia pada 1965), timbul pula konfrantasi oleh Indonesia yang tidak setuju dengan pembentukan Malaysia.

Presiden Sukarno melancarkan kempen "Ganyang Malaysia" yang bermaksud hancurkan Malaysia.

Tentera Nasional Indonesia, TNI kemudiannya menyusup masuk ke Malaysia dan menyerang tentera kita, lalu berlaku pertempuran.

Konfrantasi dan kempen Ganyang Malaysia oleh Indonesia hanya terhenti setelah Presiden Sukarno digulingkan dan diganti Presiden Suharto.

Sehubungan itu persoalan ini saya lontarkan.

Tahukah anda sejarah di sebalik penubuhan Pengkalan Tentera Darat Markas 5 Briged, Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah?

Ketika konfrantasi, satu peristiwa pahit yang tidak dapat dilupai dalam Sejarah Tentera Darat Malaysia ialah Peristiwa Kalabakan yang berlaku pada 29 Disember 1963.



Dalam peristiwa ini, satu Pos Sementara Tentera Darat Malaysia di Kalabakan, Tawau, Sabah dengan kekuatan satu platun di bawah perintah Mejar Zainal Abidin bin Haji Yaacob dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang TNI ketika mereka sedang menunaikan sembahyang Maghrib di bangunan madrasah.

Walaupun dalam keadaan tidak tersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dan memaksa TNI berundur.

Serangan itu mengorbankan 7 orang dari platun tersebut, termasuk Mejar Zainal Abidin dan mencederakan 16 yang lain.

Ekoran kejadian itulah yang dikenali peristiwa Kalabakan, maka Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, dekat Kota Kinabalu ditubuhkan.

Mengapa serangan TNI itu disasarkan di Kalabakan?

Untuk pengetahuan, Kalabakan terletak hampir dengan sempadan Kalimantan, Indonesia dan kaya dengan kayu balak.

TNI mensasarkan serangan di Kalabakan kerana mengambil kira terdapat 10,000 rakyat Indonesia yang bekerja di Kalabakan ketika itu.

Ringkasnya TNI mahu 10,000 rakyat Indonesia yang sedia ada di Kalabakan untuk menyebelahi mereka dalam pertempuran itu.

Namun sangkaan itu meleset, tiada pekerja Indonesia yang membantu kerana mereka pun datang ke Malaysia untuk cari makan.

Serangan TNI lain di Sabah turut tertumpu di pulau Sebatek dekat Tawau khususnya di Wallace Bay kerana kedudukannya dekat dengan Indonesia.

Sebuah Tugu Peringatan telah diwujudkan di Kalabakan bagi memperingati peristiwa Kalabakan.

Itulah sejarah penubuhan Markas 5 Briged Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi SABAH.

Sehingga kini, 5 Briged menerusi Rejimen Askar Melayu di Raja melakukan kawalan di kawasan strategik di sepanjang sempadan Sabah dan Kalimantan termasuklah di Serudong, Sailiran dan Kalabakan dalam Ops Belasah.

Tugas hakikinya, mengawal sempadan negara daripada pencerobohan musuh dari luar serta juga mencegah dan membenteras pembalakan haram, kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan di kawasan Sempadan.

Angkatan Tentera Malaysia, ATM juga mengadakan rondaan bersama dengan TNI di pos gabungan di Simanggaris, Kalimantan dan sebuah lagi pos gabungan di kawasan Malaysia di Sabah serta juga di Sarawak seperti di pos Sematan.

Rondaan bersama ATM dan TNI itu bagi mengeratkan lagi silatul-rahim angkatan bersenjata kedua dua negara.

Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke 54 dan Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 48.

Sunday, April 24, 2011

Perairan Tawau-Sebatek, sering dijadikan laluan penyeluduip



Kedudukan Sabah yang terletak hampir dengan sempadan maritim dan darat Indonesia dan Filipina, seringkali dieksploitasi dan diambil kesempatan oleh penyeludup untuk membawa masuk atau keluar barangan terlarang, tanpa mengikut saluran sah.

Sudah seringkali kita mendengar di mana pihak berkuasa Malaysia termasuk Pasukan Gerakan Marin, Polis dan Agensi Penguat-kuasaan Maritim Malaysia, APMM menumpaskan percubaan menyeludup masuk atau keluar barangan dari Tawau ke negara jiran.

Terbaru, APMM cawangan Tawau berjaya melumpuhkan percubaan membawa masuk kayu bergergaji dari negara jiran ke Sabah, menerusi kaedah tidak sah.

Nilai rampasan RM320,000.










Menurut siaran media APMM Tawau, operasi terbaru pada 14 April 2011 dilancarkan hasil maklumat orang awam.

Satu pemeriksaan telah dilakukan oleh bot ronda APMM sekitar jam 2.00 petang dan menahan dua buah bot Jongkong yang sedang bertambat di Jeti Sungai Tawau dalam keadaan yang mencurigakan.

2 juragan dan 6 orang awak-awak warganegara Indonesia berumur lingkungan 20-an ke 60-an gagal mempamerkan permit masuk yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua Bot Jongkong tersebut dipercayai berasal dari Kalimantan, Indonesia yang ingin memunggah muatan kayu bergergaji disyaki jenis Kayu Amara (Kayu Malam) tanpa melalui jeti yang telah diwartakan.

Jongkong pertama telah membawa muatan Kayu Amara berjumlah lebih kurang 65 batang manakala Jongkong kedua telah membawa muatan Kayu Amara berjumlah lebih kurang 25 batang dipercayai untuk diseludup masuk.

Kesemua Kayu Amara dan dua buah Bot Jongkong tersebut bernilai lebih kurang RM 320,000.00 telah disita dan akan disiasat di bawah Akta Lembaga Perkayuan Industri Malaysia kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sangkutan untuk membawa masuk muatan Kayu Amara tersebut dan Akta Imigresen 1952/63 kerana gagal mempamerkan permit masuk yang sah.

Menurut APMM ini kes pertama melibatkan rampasan kayu bergergaji di Tawau, tahun ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarangmaklumat aktiviti penyeludupan di perairan Tawau boleh menghubungi talian Hotline APMM 089-752115.

Wednesday, February 16, 2011

Kementerian Pelajaran digesa selesaikan masalah sekolah di Kalabakan



Ahli Parlimen Kalabakan, Sabah, Datuk Abdul Ghapur Salleh (gambar) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia untuk bertindak lebih proaktif menyelesaikan masalah sekolah di kawasan Parlimen Kalabakan, Sabah yang
tidak selamat, daif dan memerlukan pembaikan segera.

Datuk Abdul Ghapur yang juga dikenali sebagai Singa Kalabakan meminta
Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran negeri
mengambil tindakan segera kerana dikhuatiri soal keselamatan para
pelajar dan bangunan yang tidak selamat serta daif akan membawa mala
petaka kepada pelajar tersebut.

“Insiden beberapa kali berlaku kemalangan di sekolah-sekolah tersebut
jangan dipandang remeh oleh pihak yang dipertanggungjawabkan...jangan
sampai ada pihak akan mengambil kesempatan dan menunding jari kerajaan
Barisan Nasional tidak prihatin terhadap masalah bangunan dan pelajar
yang bersekolah di situ, dan ini akan memalukan kerajaan BN sendiri”
tegas Ghapur.

Untuk rekod, Menteri Pelajaran Malaysia ketika ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ghapur kebajikan rakyat adalah menjadi keutamaan kepada kerajaan
BN, kerana ini akan menunjukkan KPI wakil-wakil rakyat yang berkhidmat
di kawasan itu dapat membantu menangani masalah rakyat termasuklah
prasarana untuk rakyat dengan memberi kemudahan seperti sekolah, jalan
raya, lektrik, air dan pembangunan modal insan (pendidikan).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluar di sini
ketika mengulas kenyataan Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin
Yusin yang mengesahkan telah menerima perakuan daripada Jabatan Kerja
Raya (JKR) bahawa beberapa bangunan di tiga buah sekolah rendah
berkenaan tidak selamat.

Dr Muhiddin berkata pada masa ini pihaknya terpaksa menggunakan
bangunan sekolah yang dianggap tidak selamat setakat yang boleh bagi
membolehkan pelajar sekolah meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Ghapur yang juga Ketua UMNO bahagian Kalabakan berkata, pada tahun
lepas (2010) semasa majlis berbuka puasa Zon 6 di Silam, beliau
sendiri telah menyerahkan lapuran penuh kepada Timbalan Perdana
Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran mengenai
tiga buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Bahagia, Sekolah
Kebangsaan Kukusan dan Sekolah Kebangsaan Jambatan Putih yang
membabitkan keselamatan kira-kira 1,000 pelajar sekolah berkenaan.

“Kos anggaran pembaikan untuk tiga buah sekolah tersebut dijangka
dalam RM1.5 juta, tetapi sehingga hari ini tidak ada tanda-tanda
positif daripada pihak kementerian atau jabatan sendiri menyatakan
untuk pembaikan walau lapuran sudah diberikan pada tahun lepas.

“Isu sekolah tidak selamat sudah lama berlaku...kenapa mengambil masa
lama untuk pembaikkan...lapuran sudah disampaikan dan saya sendiri
juga telah menyatakan kepada Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) dan
Dr. Puad (Timbalan Menteri Pelajaran),” jelas Ghapur.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Pelajaran Pergerakan Pemuda Umno Malaysia,
Mohd Gasing Saling meminta Kementerian Pelajaran memberi perhatian
serius terhadap masalah beberapa bangunan di tiga buah sekolah rendah
itu yang dilaporkan tidak selamat digunakan.

Beliau berkata masalah yang dihadapi Sekolah Kebangsaan Bahagia,
Sekolah Kebangsaan Kukusan dan Sekolah Kebangsaan Jambatan Putih perlu
diatasi demi keselamatan kira-kira 1,000 pelajar sekolah berkenaan.

"Kita mahu tahu sama ada sekolah-sekolah ini mempunyai Sijil Kelayakan
Menduduki (CFO) atau tidak. Jika ada, jabatan-jabatan terlibat yang
meluluskannya perlu bertanggungjawab," katanya.

Mohd Gasing juga mencadangkan supaya bangunan sekolah yang dikenal
pasti mempunyai peratusan tidak selamat diduduki yang tinggi supaya
dikosongkan demi keselamatan pelajar dan kakitangan sekolah.

Nahhh... Kementerian Pelajaran Malaysia >> Tunggu apa lagi... bertindaklah sebelum nyawa melayang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs