Sunday, January 30, 2011

Perdana Menteri Malaysia lawat Maliau Basin, Sabah, 29 January 2011







Satu catatan sejarah terpahat dalam sejarah pemuliharaan alam sekitar dan alam semulajadi di negara ini apabila pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, turun padang sendiri melawat Maliau Basin, satu daripada pusat perlindungan ekologi terbesar dan terkenal di dunia.

Maliau Basin seluas 588 kilometer persegi (seperti keluasan Singapura), terletak di pedalaman Sabah antara Keningau dan Tawau dan diwartakan sebagai kawasan perlindungan pada 1981 oleh Yayasan Sabah dan diwartakan pada 1997 oleh Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah.

Maliau Basin dianggap misteri dan unik kerana bentuknya seperti basin iaitu melengkung ke bawah seperti mangkuk dan mempunyai awan sendiri di kawasan tinggi 1,900 meter dari paras laut.

Lembangan Maliau atau Maliau Basin berbentuk umpama sebuah mangkuk gergasi yang tergantung pada ketinggian antara 1,500 hingga 1,900m dari paras laut - menjadikannya tidak mungkin boleh didiami manusia dan oleh itu tidak diterokai.

Atas sebab itu, Maliau Basin digelar the Lost World atau Dunia Terasing atau Dunia yang hilang dan Dunia Yang Tersembunyi.






















Maliau Basin juga dikenali sebagai kawasan memiliki paling banyak Air Terjun di Malaysia, atau juga di dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Maliau Basin pada pagi Sabtu 29 Januari 2011 dengan menaiki helikopter dari Tawau sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah tengahari dan bergegas pula ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu untuk lawatan kerja ke negara itu.

Di Maliau, Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai rekod prestasi yang baik dalam bidang pembangunan lestari, berbanding negara lain, walaupun ada pihak tertentu di peringkat global mempunyai perspektif negatif terhadap amalan dalam aktiviti perusahaan minyak sawit negara ini.

Kata beliau, sebagai sebuah negara, sudah sewajarnya wujud keperluan bagi Malaysia untuk menggunakan tanah bagi tujuan pembangunan, tetapi kerajaan menggubal dasar tertentu untuk memastikan wujud keseimbangan daripada segi keperluan menjaga kepentingan rakyat dan memulihara kawasan hutan.

"Kita perlu sediakan ruang untuk membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih baik, tapi pada masa yang sama, kawasan yang dimajukan untuk penanaman kelapa sawit perlu dibangunkan secara lestari. Malah, ada kawasan di mana pembangunan dan pembalakan langsung tidak dibenarkan, seperti Lembangan Maliau dan Lembah Danum dan kawasan tadahan air.

"Jika kita bandingkan dengan prestasi negara lain, rekod prestasi kita lebih baik daripada kebanyakan mereka...setelah mereka musnahkan sumber hutan mereka, kini mereka meninjau ke sana sini dan cuba menuding jari kepada kita, sedangkan merekalah sebenarnya yang menjadi punca masalah,” kata beliau kepada pemberita di Maliau Basin dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Kajian Lembangan Maliau (MBSC) dan Projek SAFE (Kestabilan Ekosistem Hutan Yang Ubah) di Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau pada 29 Januari 2011.

Najib berkata demikian apabila diminta mengulas anggapan sesetengah pihak, terutama di Eropah kononnya Malaysia tidak bertindak secukupnya untuk manambah baik amalan dalam industri minyak sawitnya untuk meningkatkan pembangunan secara lestari.

MBSC terletak di Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau seluas kira-kira 58,840 hektar dan merupakan Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) di bawah pengurusan Yayasan Sabah.

Terletak kira-kira tiga jam setengah perjalanan dari Keningau atau bandar Tawau, Lembangan Maliau juga dikenali sebagai “Dunia Tersembunyi Sabah”, yang mendapat nama itu kerana bentuknya umpama sebuah mangkuk gergasi yang tergantung pada ketinggian antara 1,500 hingga 1,900m dari paras laut - menjadikannya tidak mungkin boleh didiami manusia dan oleh itu tidak diterokai.

MBSC, yang mempunyai keluasan 18 hektar, bertindak sebagai ibu pejabat bagi kawasan pemuliharaan dengan fungsi utamanya menyediakan venue serta kemudahan untuk penyelidik dan mereka yang menyertai program pembelajaran tentang alam semula jadi serta peserta kursus.

Pusat kajian itu lahir daripada kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Denmark bagi menjamin Lembangan Maliau sentiasa dipulihara, dengan perbelanjaan mewujudkan prasarana di situ sebahagian besarnya dibiayai Yayasan Sabah, manakala Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) menyediakan bantuan teknikal serta dana untuk menghasilkan reka bentuk seni bina pusat itu, sebuah makmal dan khidmat perundingan untuk mendapatkan bekalan tenaga yang mampu memulihara kelestarian alam sekitar.

IKEA pula menyumbangkan dana untuk membina bilik pembelajaran, asrama, paparan interpretasi pendidikan alam sekitar, pembinaan denai, jambatan kanopi, menara tinjau, jambatan gantung dan kem satelit.

Sementara itu, mengulas lanjut dalam sidang medianya di Maliau Basin, Perdana Meneri berkata Kerajaan akan berusaha supaya Lembangan Maliau di sini mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan dunia.

Perdana Menteri berkata, pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan menarik minat dari seluruh dunia terhadap lembangan itu.

Beliau sebelum itu melancarkan Pusat Pengajian Lembangan Maliau di kawasan konservasi Lembangan Maliau di sini dan memberi respons kepada cadangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Najib berkata Malaysia, yang merupakan anggota lembaga pengarah Unesco, akan mengemukakan presentasi kepada agensi PBB itu.

"Sudah tentulah sebaik sahaja disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia, minat dari seluruh dunia akan meningkat dengan mendadak,” katanya.

Najib mengambil beberapa tempat di Georgetown, Pulau Pinang; Melaka dan Gua Mulu di Sarawak sebagai contoh tapak yang banyak mendapat manfaat daripada pengiktirafan Unesco itu.

Beliau berkata pengiktirafan itu bagaimanapun tidak boleh diperoleh sekelip mata.

"Ada proses yang perlu kita lalui, tetapi mudah-mudahan kita akan berjaya menyenaraikannya (Lembangan Malian Basin sebagai Tapak Warisan Dunia),” katanya.

Musa, ketika berucap sebelum itu, berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk memulihara Lembangan Maliau sebuah destinasi kegemaran pencinta alam.

Ketika lawatan seharinya ke Maliau Basin, Datuk Seri Najib turut melancarkan projek Kestabilan Pengubahan Ekosistem Hutan (SAFE) yang beliau sifatkan sebagai kajian terbesar seumpamanya mengenai ekologi.

Perdana Menteri berkata, projek SAFE berobjektif membantu melindungi ekosistem hutan hujan dan memulihara biodiversiti dalam konteks pengeluaran pertanian.

Beliau menyifatkan pelancaran projek itu di Lembangan Maliau di sini sebagai amat bersejarah kerana projek itu “akan menyediakan asas bagi kajian 10 tahun mengenai impak pengubahsuaian hutan.”

Ini membabitkan akibat pembalakan, penanaman semula kawasan hutan dan pemecahan kawasan hutan ke atas fungsi dan peranan hutan hujan tropika, katanya.

Projek itu adalah usahasama antara Yayasan Sime Darby dan Royal Society of SEARRP, Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara.

Yayasan itu akan menyuntik RM30 juta ke dalam projek itu, dengan penyelidikan berpusat di Pusat Kajian Lembangan Maliau.

Najib berkata, Lembangan Maliau, dikenali sebagai Sabah’s Lost World yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna, merupakan kawasan yang sempurna bagi projek itu.

Beliau berkata penyelidikan itu amat penting bagi mendapatkan pengetahuan mengenai sistem yang perlu diwujudkan untuk melindungi hutan hujan tropika di Malaysia.

"Penyelidikan ini akan menyumbang kepada pemahaman mengenai bagaimana biodiversiti boleh dilindungi dan dikekalkan dalam aktiviti perladangan.

"Ia juga akan menilai bagaimana untuk mengseimbangkan manfaat ekonomi daripada industri kelapa sawit dengan keperluan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari,” katanya.

Pasukan penyelidikan diketuai Dr Rob Ewers dari Imperial College of the United Kingdom dan Dr Glen Reynolds dari Royal Society of SEARRP, dan akan termasuk saintis dari Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Stanford, Universiti Zurich dan Universiti Malaysia Sabah.

Hidup Maliau Basin..!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs