Saturday, January 1, 2011

PERUTUSAN KHAS TAHUN BARU 2011 YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman



Sumber : Jabatan Ketua Menteri Sabah

PERUTUSAN KHAS TAHUN BARU 2011 Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.


Saya dan isteri, Faridah Haji Tussin dan keluarga, mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sempena kedatangan Tahun Baru ini, marilah kita melihat serta menilai kembali pencapaian dan cabaran yang kita lalui sepanjang tahun lalu, di samping meraikan pelbagai kejayaan yang kita kecapi.

Saya berharap agar Negeri Sabah akan terus membangun dan rakyat akan menikmati lebih banyak pembangunan pada tahun ini. Saya juga berharap agar keamanan dan keharmonian akan terus terpelihara untuk kita bergerak lebih maju ke hadapan.

Sepanjang tahun lalu, banyak program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan juga Kerajaan Persekutuan dengan matlamat menjadikan Sabah sebagai sebuah tempat yang terbaik untuk didiami.

Kita akui bahawa usaha untuk merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar adalah sangat penting dan ia kekal menjadi agenda paling utama bagi membangunkan negeri ini menerusi pendekatan pembangunan secara holistik.

Kita ingin melihat setiap lapisan rakyat terlibat dalam program-program pembangunan.

Justeru, kita terus komited untuk mengurangkan kemiskinan menerusi pelaksanaan projek-projek pembangunan, pembinaan lebih banyak jalan raya dan pelbagai infrastruktur lain seperti sekolah, bekalan tenaga elektrik dan bekalan air di kawasan luar bandar.

Ketidaktentuan ekonomi global beberapa tahun yang lepas bukan alasan untuk tidak meneruskan usaha membangunkan Negeri Sabah. Kita yakin, di sebalik suasana ekonomi global yang berkembang secara perlahan tetapi menunjukkan kesan-kesan pemulihan, kita mampu memperkukuhkan usaha kita untuk membela nasib rakyat, khususnya golongan miskin.


Dalam Bajet Negeri 2011 yang telah saya bentangkan pada bulan November 2010 yang lalu, saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.07 bilion bagi tujuan pembangunan infrastruktur dan utiliti-utiliti lain yang sememangnya amat diperlukan.

Bajet ini merupakan kesinambungan rancangan Negeri Sabah untuk mencapai tahap pembangunan yang lebih tinggi dan juga untuk melengkapi beberapa inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini termasuklah Model Baru Ekonomi, Bidang Keberhasilan Utama Negara, Program Transformasi Ekonomi dan Bidang Ekonomi Utama Negara.

Untuk terlibat dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia, Negeri Sabah mestilah membina keupayaan sendiri agar kita mampu memainkan peranan secara lebih efektif dalam menyokong pembangunan nasional.

Kita telah pun melaksanakan pelbagai program di bawah Koridor Pembangunan Sabah yang menggariskan secara terperinci beberapa pendekatan yang diambil oleh Negeri Sabah sehingga tahun 2025 untuk menjadikan Sabah selaku peneraju ekonomi serantau dengan adanya lokasi yang strategik, kepelbagaian sumber alam semulajadi dan persekitaran yang bersih.

Sektor pelancongan, salah satu daripada pemacu utama SDC telah berkembang dengan pesatnya bersama-sama sektor pertanian dan pembuatan.

Saya bersyukur kerana ketika ini kita sedang berada pada landasan yang betul dan saya amat menghargai komitmen dan sumbangan semua pihak dalam menjayakan agenda pembangunan kerajaan, dan juga mereka yang sentiasa memberi sokongan sama ada dari dalam mahu pun dari luar kerajaan.

Saya amat berterima kasih kepada seluruh penjawat awam yang sentiasa dedikasi dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab. Saya berharap agar para penjawat awam akan terus menyumbang khususnya dalam memantapkan lagi institusi perkhidmatan awam di negeri ini.

Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada sektor swasta yang meneruskan pelbagai aktiviti pelaburan di negeri ini. Apa yang pasti, peranan sektor swasta akan bertambah pada tahun-tahun akan datang seperti yang digambarkan melalui Program Transformasi Ekonomi.

Kita juga akan terus memberi perhatian kepada usaha-usaha penyediaan pendidikan untuk rakyat kerana kita sedar kepentingan pembangunan modal insan dalam menjayakan kemajuan.

Negeri Sabah ketika ini sudah mempunyai banyak institusi pendidikan seperti Hab Pendidikan di Sandakan untuk memberi kemudahan kepada rakyat mendapatkan peluang pendidikan tinggi.

Untuk itu, saya menyeru kepada rakyat agar membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Ini termasuklah mengambil kursus-kursus di peringkat diploma dan ijazah secara separuh masa di pelbagai institusi pengajian tinggi.

Kita amat memerlukan tenaga kerja yang berilmu dan berkemahiran tinggi bagi membolehkan kepelbagaian alam semulajadi di negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Pada kesempatan ini juga, suka saya menyentuh mengenai kepentingan kestabilan dalam pembangunan.

Ini kerana Program-program yang dirancang oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memerlukan kestabilan politik dan kerjasama padu daripada seluruh parti komponen Barisan Nasional.

Kerjasama mantap dalam kalangan parti komponen BN Sabah misalnya telah diterjemahkan menerusi kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan memperoleh majoriti lebih besar pada pilihanraya kecil yang diadakan pada 4 November yang lalu.

Pada masa yang sama, semua wakil rakyat telah diingatkan supaya terus mengamalkan budaya kerja ‘turun padang’ untuk menemui rakyat seterusnya menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Ini selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak. Melalui laman web 1Malaysia dan laman Facebook beliau, Y.A.B. Perdana Menteri sendiri telah mendapat maklum balas rakyat dalam pelbagai aspek. Sesungguhnya, langkah positif seperti ini berupaya membawa Malaysia maju ke hadapan dengan lebih cemerlang.


Sempena Tahun Baru ini, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia di Sabah agar terus menyokong dan menjayakan pelbagai usaha dan program kerajaan supaya kita dapat meningkatkan lagi daya saing di peringkat global.

Apatah lagi tahun ini merupakan tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Justeru, marilah kita terus mengukuhkan kesatuan dan perpaduan serta kerjasama demi kemakmuran dan kesejahteraan kita dan negeri yang tercinta ini.

Akhir kata, saya dan keluarga serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri, mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs