Wednesday, March 30, 2011

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Mubarak mahu kadar pencen bekas YB dinaikkan



Bekas YB pun mahu juga menikmati kehidupan lebih baik selepas bersara sebagai wakil rakyat.

Itu yang disuarakan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, atau Mubarak yang telah mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri sejak setahun lalu agar kadar pencen yang dinikmati bekas wakil rakyat, dinaikkan sesuai dengan faktor semasa.

Pada masa sama, Mubarak juga memohon agar wakil rakyat yang hanya berkhidmat kurang satu penggal, turut mendapat bayaran pencen.

Pemangku Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata :

"Untuk makluman, wakil2 rakyat yg berkhidmat kurang daripada 3 tahun, tak dapat pencen, ni kita bukan nak minta kerja ni, ni kita dipilih & dilantik, jadi kita merasakan pada wakil2 rakyat tak perlu berdasarkan tenure dia, tenure dia very unstable & ditentukan bukan oleh kerajaan, ditentukan oleh masyarakat bila diadakan pilihanraya, itu 1st thing, lebih kepada takdir."

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesainya mesyuarat Mubarak di Kota Kinabalu pada Rabu 30 Mac 2011.

Katanya ketika ini, Mubarak mempunyai 800 ahli terdiri bekas Ahli Parlimen, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri dan bekas Senator di seluruh negara, kesemuanya bekas wakil rakyat Barisan Nasional, BN.

Mubarak mempunyai cawangan di seluruh negara kecuali Sarawak yang akan ditubuhkan selepas pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 16 April 2011 ini.

Menurut Datuk Seri Abdul Aziz, kadar pencen yang dinikmati sekarang hanya 50 peratus daripada pendapatan ketika menjadi wakil rakyat.

Kadar kenaikan pencen yang dipinta, adalah mengikut formula yang ditentukan kerajaan kepada penjawat awam yang bersara yang menikmati beberapa kenaikan sebelum ini.

Memorandum untuk kenaikan kadar pencen dan faedah lain itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, namun belum mendapat jawapan.

Sehubungan itu Mubarak berharap dapat mendapat maklumbalas positif dari Perdana Menteri kelak, sesuai dengan konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Katanya, bagi menjaga kebajikan bekas YB lagi, Mubarak sedang dalam proses menubuhkan koperasi di setiap negeri.

Menurutnya lagi, meskipun tidak lagi menjadi wakil rakyat, Mubarak sebenarnya sentiasa aktif dalam membantu BN setiap kali pilihanraya Umum dan pilihanraya kecil.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan Mubarak di Kota Kinabalu pada 4 hingga 8 Mei ini dijangka turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku tetamu khas.

All the best bekas YB dan Mubarak...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs