Tuesday, July 12, 2011

Selepas 17 tahun, Singapura kembali ke bolasepak Malaysia





Selepas 17 tahun, pasukan Singapura kembali menyertai liga bolasepak Malaysia mulai tahun depan.

Menurut laporan media hari ini 12 Julai 2011, Singapore akan menyertai Liga Super Malaysia dengan menurunkan skuad bawah 23 tahun mereka dikenali "Singapore Young Lions" yang bakal berentap dengan 14 pasukan Liga Super termasuk juara Liga Super 2011 dan Juara Piala Malaysia 2010 Kelantan serta berdepan dengan bekas musuh lamanya Selangor.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas majlis menanda tangani perjanjian dengan Persatuan Bolasepak Singapura, FAS di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Selasa, 12 Julai 2011.

Menurut perjanjian 4 tahun antara FAM dan FAS itu, pasukan Singapore Young Lions akan bermain di Liga Super Malaysia manakala skuad Harimau Muda A dibawah kendalian jurulatih Ong Kim Swee akan beraksi di Liga Singapura atau S-League.

Skuad Singapore Young Lions bakal diwakili 5 pemain senior termasuk pemain impot asing.

Tengku Abdullah berkata beliau berharap penyertaan semula Singapura akan menjelmakan semula kegemilangan bolasepak lampau.

Singapura kali terakhir bermain di Liga Malaysia pada 1994.

Pasukan Singa itu amat digeruni lawan kerana bukan sahaja dibarisi pemain kebangsaannya malahan turut diperkuatkan pemain impot.

Singapura seringkali membelasah pasukan gergasi lain termasuk Selangor, Pahang dan Kedah ketika itu.

Antara pemain tersohor Singapura yang pernah bermain di Liga Malaysia pada 1980an hingga 1994 termasuk Samad Alipitchay, Malek Awab, penjaga gol David Lee, Mohamed Noh, dan kuartet empat pemain yang amat digeruni sehingga digelar "The Fearsome Foursome" terdiri Fandi Ahmad, V Sundramoorthy, Abbas Saad dan Alistair Edwards.

Kuartet ini boleh disamakan dengan gandingan maha hebat 4R Brazil yang menjuarai Piala Dunia 2002 iaitu Ronaldo, Ronaldinho, Rivaldo dan Roberto Carlos.

Sebagai penduduk Sabah, saya masih ingat dengan jelas bagaimana Singapura membelasah Sabah 7-3 pada 1994 di Stadium Kallang Singapura, ketika itu Henry Anjun kapten Sabah dan turut diperkuatkan Matlan Marjan, Scott Ollerenshaw dan Seslija Milomir.

Namun Sabah berjaya menewaskan Singapura 1-0 selepas itu di Stadium Penampang, dekat Kota Kinabalu.

Selamat kembali Singapura, kami sanjungi anda dan menantikan aksi anda.




Samad Alipitchay bermain dalam banyak perlawanan untuk Singapura termasuk di final Piala Malaysia menentang musuh ketatnya Selangor.



David Lee (kiri) and Fandi Ahmad (kanan) dikenali sebagai the dynamic duo. David Lee menerajui pertahanan Singapura sebagai penjaga gol manakala Fandi Ahmad yang pernah bermain untuk Gronigen FC di Belanda adalah penyerang utama Singapura.



Kita tidak akan lupa puluhan gol menarik dijaringkan pemain Singapura dari Australia, Alistair Edwards.



Kita juga tidak lupa kepada skil menakjubkan V Sundramoorthy



Gandingan Abas Saad dan Alistair Edwards menjelmakan ratusan gol untuk Singapura pada zaman kegemilangan 1990an.



Fandi Ahmad antara pemain terhebat pernah dilahirkan Singapura dan antara penyerang terbaik di Asia.



Malek Awab mempunyai skil seperti Hassan Sani di sebelah sayap.

Selamat Datang Singapura.. Viva Singapore.. we welcome you...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs