Inilah gambar terakhir Allahyarham Noramfaizul ketika bertugas di Mogadishu Somalia. Gambar dirakam rakan setugas. Beberapa jam selepas gambar ini diambil, Allahyarham terkorban apabila terkena tembakan pada petang Jumaat 2 September 2011.
Ini adalah pemandangan di Mogadishu, ibu negara Somalia yang hancur oleh perang dan konflik berpanjangan.
Gambar Noramfaizul ini diperolehi dari Facebook rakan rakan Allahyarham. Takziah dan Al-Fatihah. Allahyarham pernah membuat liputan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza, Palestin dan Pakistan. Allahyaham lahir pada 14 November 1971. Anak sulung dari 6 beradik ini meninggal dunia pada usia muda, 39 tahun 10 bulan.
Allahyarham meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar, 37 (gambar atas, kanan) dan 2 anak yang masih kecil, Mohd Irfan, 8 tahun dan Mohd Naufal, 3 tahun (kiri)
Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, (tengah) kelihatan sedang ditenangkan rakan wartawan dari NTV7 sejurus selepas kejadian tembakan itu. Aji Saregar turut cedera di lengan kanan terkena tembakan. Ketika kejadian tembakan itu, Ali Saregar dilaporkan berada dalam kenderaan pacuan empat roda sama dengan Allahyarham Noramfaizul.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan solat jenazah Jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor di masjid Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, pada Ahad 3 September 2011
Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia akibat tembakan curi di Mogadishu, pada Jumaat 2 September 2011 sebagai wira negara.
Sambil melahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham, Najib menegaskan, pemergian jurukamera BernamaTV itu harus dijadikan model, perangsang serta semangat untuk meneruskan peranan Malaysia dalam membantu negara-negara di seluruh dunia.
“Saya amat kagum dan diberitahu Allahyarham seorang yang kuat semangat, sukakan cabaran dan sering mengikuti misi kemanusiaan di luar negara walaupun menghadapi pelbagai risiko, selain cekal dan tabah mengharungi rintangan bagi memberikan laporan terbaik kepada Malaysia.
“Beliau menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang ke hadapan membantu negara lain yang memerlukan akibat malapetaka, kecelakaan termasuk kebuluran yang berlaku di Somalia.
“Saya sifatkan beliau wira negara dan kita patut melihat pengorbanan Allahyarham sebagai model, kisah yang merangsang serta semangat untuk terus memainkan peranan negara kita,” katanya.
Somalia terletak di Timur Afrika, bersempadan dengan Ethiopia dan Kenya. Negara itu antara tempat paling merbahaya untuk wartawan. Sejak 1992 hingga 2011, 34 wartawan dari seluruh dunia, terkorban di Somalia ketika membuat liputan konflik.
Somalia kerap kali dilanda kebuluran akibat perang, konflik dan kemarau berpanjangan yang memusnahkan tanaman pertanian, sumber makanan mereka.
Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 39 terpaksa berhari raya jauh dari keluarga apabila ditugaskan membuat liputan misi bantuan kemanusiaan 1 Malaysia di Somalia, kira kira 10,000 kilometer dari Malaysia.
Noramfaizul antara petugas media dari Malaysia yang turut menyertai rombongan kemanusiaan itu selain petugas media lain dari TV3 dan media cetak.
Tujuan media ini dibawa adalah bagi memberi lebih pendedahan kepada dunia mengenai musibah kebuluran yang menimpa 3.7 juta penduduk Somalia, mengorbankan kira kira 200 orang sehari dengan harapan dunia memberi lebih banyak perhatian dan usaha untuk membantu Somalia dengan segera dan lebih serius.
Somalia, negara yang tidak putus putus dilanda musibah samada akibat perang, konflik mahupun faktor cuaca.
Kebuluran akibat kemarau panjang menyebabkan jutaan rakyat negara miskin Afrika itu, hampir maut akibat tidak cukup makan dan diserang wabak penyakit.
Misi kemanusiaan 1 Malaysia dihantar bagi menyampaikan 300 tan metrik bekalan makanan dan ubat ubatan serta juga wang tunai. 40 doktor yang dibawa turut memberi rawatan perubatan kepada mangsa kebuluran di kem kem pelarian di Badbado, Maalin dan Mogadishu sendiri.
Rombongan Malaysia itu tiba dibumi Somalia pada 28 Ogos 2011 dan dijangka kembali ke tanah air pada 5 Sepember ini.
Pengorbanan mereka bukan kepalang. Sudahlah terpaksa menyambut 1 Syawal di medan perang dan kebuluran, 10,000 kilometer dari keluarga tercinta di Malaysia, nyawa mereka saban hari diancam tentera pemberontak termasuk Al Shabab.
Atas sebab itulah, rombongan ini dikawal ketat oleh tentera kerajaan Somalia yang lengkap bersenjata berat termasuk Mesingan Berat / heavy Machine Gun dan pelancar roket.
Setelah 5 hari di bumi Somalia, malang menimpa petugas media. Mereka ditembak ketika dalam perjalanan kembali ke Mogadishu untuk menghantar visual berita ke Malaysia menerusi internet berkelajuan tinggi. Kejadian berlaku meskipun mereka dikawal tentera kerajaan Somalia yang lengkap bersenjata.
Ketika dalam perjalanan menaiki sebuah kenderaan pacuan 4 roda berwarna jingga, berlaku tembak menembak dan Noramfaizul dilaporkan terkena tembakan dan sebutir peluru menembusi paru parunya.
Kejadian berlaku kira kira 10.30 malam waktu Malaysia atau 5.30 petang waktu Somalia pada Jumaat, 2 September 2011 bersamaan 4 Syawal 1432 Hijrah, ketika umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia masih meraikan Hari Raya Aidil Fitri.
Noramfaizul terkena tembakan ketika duduk dalam kenderaan pacuan 4 roda, dekat pintu.
Sebutir peluru dilaporkan menembusi bahu dan seterusnya ke paru parunya.
Seorang jurukamera TV3 bersamanya, Aji Saregar Mazlan, turut cedera ringan di lengan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Noramfaizul meninggal dunia ketika menerima rawatan kira kira jam 11.07 malam waktu Malaysia dan 6.07 minit petang waktu Somalia. (Somalia 5 jam lebih awal dari Malaysia)
Moga roh Allayarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman dan soleh. Allahyarham meninggal dunia ketika bertugas.
Ini kematian kedua melibatkan rakyat Malaysia yang ditembak di Somalia dalam tempoh 18 tahun.
Pada 1993, seorang anggota tentera darat Malaysia, Mat Aznan Awang, maut ditembak dengan RPG atau Rocket Propelled Grenade / Bom Grenad yang dilancarkan dari Roket oleh pemberontak.
Mat Aznan ketika itu sedang memandu kereta perisai Condor, secara tiba tiba muncul seorang pemberontak di hadapannya lalu menembak dengan RPG, menembusi kereta perisai itu dan membunuh Mat Aznan.
Ketika itu Mat Aznan menyertai misi pengaman Bangsa Bangsa Bersatu di Somalia yang diheret ke kancah perang antara tentera kerajaan dan pemberontak diketuai Mohd Farah Aidid.
Kematian Noramfaizul, 18 tahun setelah kematian Mat Aznan, mengejutkan Malaysia.
Peistiwa itu turut mengejutkan Misi Kemanusiaan 1Malaysia anjuran Putera UMNO. Mereka dilapokan akan bertolak balik ke Malaysia secepat mungkin, lebih awal dari jadual ditetapkan, membawa bersama jasad Arwah.
Laporan terkini menyebut, misi kemanusiaan itu dijadual bertolak balik ke Malaysia dari Mogadishu menaiki pesawat Tentera Udara di Raja Malaysia, jam 5 pagi pada Sabtu 3 September 2011 (bersamaan 10 pagi Sabtu 3 September 2011 waktu Malaysia).
Mereka dijangka tiba di Malaysia 10 pagi Ahad, 4 September 2011 selepas transit di Seychelles dan Maldives.
Tragedi ini juga mengejutkan pengamal media di Malaysia kerana kes wartawan Malaysia mati ditembak di zon konflik, jarang jarang ataupun tidak pernah berlaku.
Sekaligus menimbulkan persoalan. Mengapa petugas media Malaysia tidak diberikan jaket kalis peluru ketika bertugas di zon konflik di Somalia? Setidak tidaknya ini mengurangkan risiko kecederaan ketika ditembak.
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan media Malaysia juga kelihatan tidak mempunyai sebarang tanda dan lambang menunjukkan mereka dari kumpulan wartawan / media dan bukan tentera agar tidak ditembak oleh musuh khususnya pemberontak dan penjenayah Mogadishu.
Sebelum ini kita tahu, media antarabangsa yang membuat liputan di kawasan perang dan konflik di seluruh dunia seperti Iraq, Afghanistan dan Bosnua, menaiki kenderaan yang jelas bertanda dan bertulis PRESS / MEDIA / TV ataupun mempunyai lambang Bulan Sabit Merah agar dikenali oleh pihak bersenjata dan tidak ditembak.
Sebelum ini, media Malaysia pernah membuat liputan perang dan konflik di seluruh dunia termasuk perang Balkan di Yugoslavia serta perang di Somalia pada 1993 dimana Angkatan Tentera Malaysia turut menghantar pasukan pengaman dan seorang anggota tentera Malaysia, Mat Aznan Awang, maut ditembak dengan pelancar roket oleh pemberontak Somalia.
Media Malaysia juga pernah membuat liputan di zon konflik di Rwanda pada 1994 yang menyaksikan 1 juta orang maut akibat perang sesama sendiri etnik Hutu dan Tutsi serta liputan konflik di Aceh, Indonesia, Iraq, Afghanistan serta juga konflik di Selatan Filipina yang menyaksikan 20 tebusan diculik kumpulan Abu Sayyaf dari Pulau Sipadan, Sabah pada April 2000.
Apapun, malang tidak berbau.
Semoga keluarga Allahyarham Noramfaizul, tabah menghadapi dugaan hidup ini.
Sementara itu kematian Noramfaizul Mohd. Nor dalam kejadian tembakan di Somalia, pada 2 September 2011, menimbulkan seribu tanda tanya berhubung siapa yang bertanggungjawab melepaskan tembakan dan bagaimana jurukamera itu terkena tembakan.
Utusan Malaysia melaporkan berdasarkan kesan tembakan pada jenazah jurugambar BernamaTV itu, kemungkinan beliau ditembak dari arah atas lalu mengenai bahu kanannya dan menembusi rusuk kirinya.
Ada juga pihak yang mendakwa Allahyarham ditembak dari arah kiri lalu mengenai rusuk kirinya dan menembusi paru-parunya sehingga ke bahu kanan.
Akibat tembakan itu, Noramfaizul, 39, gagal diselamatkan meski sempat diberikan rawatan awal di bilik pembedahan di hotel penginapannya terletak dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu, Somalia.
Pelbagai pihak juga membuat pelbagai andaian berhubung siapakah yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu.
Utusan Malaysia difahamkan, Noramfaizul ditembak oleh tentera Kesatuan Afrika (AU).
Saksi di tempat kejadian berkata, mereka melihat tentera AU bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul bersama lima lagi krew televisyen dari Malaysia yang membuat liputan misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia.
Menurut saksi, AU mahu menjadikan insiden tembakan itu sebagai alasan bagi menunjukkan Somalia masih tidak selamat dan masyarakat antarabangsa perlu campur tangan.
Katanya, AU juga berharap militan al-Shabab akan dituduh melakukan perbuatan itu.
Semua itu dilakukan AU untuk membolehkan AU terus diberi mandat dengan peruntukan berbilion dolar bagi menjaga keselamatan di negara ‘Tanduk Afrika’ itu, kata saksi itu kepada wartawan Utusan Malaysia yang turut menyertai misi bantuan itu.
Ada juga pihak yang mendakwa tembakan berkenaan dilakukan oleh militan Al-Shabaab yang sejak awal lagi tidak menyukai mana-mana negara memasuki Somalia membawa bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa kebuluran.
Bagi al-Shabaab, Somalia adalah ‘tanah’ mereka dan semua pihak perlu mendapatkan kebenaran militan itu untuk memasuki negara berkenaan.
Ada juga pihak mendakwa tembakan yang turut mencederakan jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan, 26, itu dilakukan individu tertentu yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat bantuan.
Pihak lain pula mendakwa tembakan itu dilepaskan oleh pihak yang tidak menyukai rakyat Barat memasuki Somalia.
Atas dasar benci itu, mereka bertindak melepaskan tembakan amaran yang mengenai pacuan empat roda yang dinaiki pengamal media dari Malaysia.
Seramai 15 wartawan Malaysia termasuk seorang wartawan Utusan Malaysia dan dua blogger menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia itu.
No comments:
Post a Comment