Sunday, March 11, 2012

Datuk Shahrizat Abdul Jalil umum letak jawatan Menteri pada 8 April 2012



Dalam reaksinya berhubung pengumuman perletakan Datuk Seri Shahrizat sebagai Menteri Kabinet, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata keputusan Shahrizat itu adalah betul dan tepat demi kepentingan kerajaan dan parti.








Ingatlah, hanya kerana Lembu, haiwan yang dianggap bodoh dan dungu ibarat perumpamaan "Macam Lembu", maka seorang Menteri yang popular dan berkaliber, boleh dipaksa melepaskan jawatan.

Ingat, Lembu itu bukan dungu dan bodoh, kerana ia boleh mengkucar kacirkan politik di Malaysia.!!

Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuat kuasa pada 8 April 2012 ini apabila penggal beliau sebagai Ahli Dewan Negara tamat.

Bagaimanapun, beliau akan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO bagi menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh akar umbi.

Shahrizat membuat pengumuman itu dalam satu sidang media, di Kuala Lumpur pada petang Ahad, 11 Mac 2012.

Pengunduran beliau dalam barisan Kabinet itu dipercayai ada kaitan dengan isu Pusat Fidlot Nasional. (NFC) yang menjalankan ternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan yang didakwa wujud penyelewengan serta membabitkan ahli keluarganya.

Isu itu tercetus berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu yang menyentuh mengenai pengurusan NFC kerana berdepan masalah apabila sasaran pengeluarannya dikurangkan daripada 60,000 ekor lembu kepada 8,000 lembu.

Namun Ketua Audit Negara menafikan dakwaan ada mengeluarkan kenyataan bahawa NFC dalam keadaan kucar kacir atau istilah bahasa Inggerisnya "In A Mess", sebaliknya hanya menyentuh NFC tidak diurus dengan baik.

Dakwaan penyelewengan NFC pula ditimbulkan pembangkang termasuk dakwaan membeli 2 unit kondominium mewah menggunakan dana NFC yang sepatutnya digunakan untuk membeli lembu termasuk lembu baka berkualiti tinggi atau mencari kaedah meningkatkan pengeluaran lembu negara.

Pada 13 Januari 2012, Shahrizat mula bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama tiga minggu.

Berikut adalah transkrip sidang akhbar perletakan jawatan Shahrizat tersebut:


Wartawan: Apakah keputusan meletak jawatan adalah keputusan Datuk Seri sendiri?

Shahrizat: Saya sudah lama jadi ahli politik. Saya rasa ini adalah masanya untuk saya berundur. Saya merupakan seorang peguam, masuk politik, jadi menteri, pernah menang (pilihan raya), kalah, dan kembali semula (dalam politik). Semua ini saya lakukan demi khidmat kepada rakyat. Saya mahu gembira menjalankan tugas. Justeru, apa sahaja keputusan yang saya buat adalah keputusan terbaik dan ini (letak jawatan) adalah keputusan tepat.

Adakah peletakan itu mempunyai kaitan dengan skandal NFCorp?

Tidak ada kaitan. Ia hanya kebetulan memandangkan saya merupakan isteri kepada Pengerusi Eksekutif NFC. Ini adalah keputusan saya sendiri (letak jawatan). Saya mahu pastikan apabila saya berundur, segala kemelut NFCorp akan diselesaikan secara undang-undang. Kita tunggu keputusannya nanti.

Bila Datuk Seri akan menghantar surat peletakan jawatan?

Saya sudah siapkan surat itu dan akan hantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini. Tapi ia akan berkuat kuasa 8 April ini.

Untuk jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita BN, saya telah fikir dengan panjang lebar, saya akan teruskan tugas dan amanah yang diberikan kepada saya. Kepada Pergerakan Wanita UMNO dan juga pergerakan wanita parti-parti komponen BN, saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Ini adalah tahun ke-31 saya menjadi ahli UMNO. Mereka adalah keluarga saya. Bersama-sama mereka dan Wanita BN, kita jadi satu power force yang memperjuangkan rakyat.

Apakah Datuk Seri beranggapan tidak ada pihak yang membantu berhubung desakan meletakkan jawatan?

Saya rasa ini adalah masa yang terbaik untuk saya undur diri. Saya rasa akan ada berkat. Dalam perjuangan, kita mesti jelas apa tujuan dan apa perkhidmatan yang kita buat kepada negara. Saya rasa amat selesa untuk undur diri apabila tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara nanti.

Saya rasa gembira kerana sepanjang 10 tahun dalam kementerian, kita sempat membawa beberapa perubahan terutama untuk kumpulan sasar iaitu wanita, keluarga, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, isu-isu kebajikan serta pembangunan masyarakat dan warga emas.

Perubahan utama yang kita buat adalah dengan pindaan Perlembagaan iaitu kita dapat kelulusan Kabinet dalam menentukan tidak boleh lagi ada diskriminasi terhadap wanita. Oleh kerana saya akan berundur pada 8 April, dalam masa dua hingga tiga minggu ini, saya akan jalankan tugas-tugas terutama dalam menentukan Akta Pekerja Sosial yang diperjuangkan kementerian menjadi kenyataan. Saya harap ia akan menjadi warisan saya terutama dalam bidang kebajikan.

Apakah ini (letak jawatan) atas kenyataan dan desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini?

Tidak. Tetapi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rakan jemaah menteri. Ini kerana semasa saya menjalankan tugas sebagai menteri, saya mendapat kerjasama yang begitu baik daripada semua.

Terima kasih juga kepada warga kementerian. Saya rasa bertuah dan bahagia dalam melaksanakan perkhidmatan terutama kepada golongan miskin, warga emas dan OKU. Mereka membawa keinsafan terhadap hidup saya. Juga kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya harap semua akan terus memberi kerjasama kepada kementerian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs