Sunday, September 9, 2012
Abil Fikri Ahmad, antara suami paling mulia, baik dan mithali di Malaysia dan dunia
Abil Fikri sedang menjaga isterinya yang koma
Saat bahagia ketika diijab kabulkan bersama isteri tercinta
Jika ada gelaran suami paling baik, bagus, mulia dan mithali di Malaysia dan juga dunia, pastinya milik Abil Fikri Ahmad, 43 tahun yang sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya Fauziah Muhamad, 38 tahun yang diserang asma sehingga menyebabkan dia mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun 2011.
“DIA amanah saya. Saya dahan dia, tempat dia bergantung,” kata Abil Fikri Ahmad.
Abil Fikri telah mewujudkan sebuah laman blog khas untuk isterinya di alamat http://abil4fauziah.blogspot.com
Pasangan itu bernikah pada 13 Mac 2009 dan menerima ujian yang mengubah kehidupan mereka kira-kira dua tahun selepas bergelar suami isteri.
Cerita Abil, pada 22 Jun 2011, kira-kira jam 4.30 pagi, Fauziah mengalami asma sehingga mengalami kesukaran bernafas dan dalam perjalanan ke hospital, isterinya itu berhenti bernafas.
“Apabila jantung berhenti mengepam oksigen ke otak lebih 30 minit, 93 peratus otak tidak berfungsi.
“Setelah dirawat, doktor memberitahu bahawa selepas tiga hari isteri saya akan sedar, namun sehingga hari kelima, dia masih belum sedar,” katanya.
Bekas perunding kewangan dan speaker motivasi itu membuat keputusan berhenti kerja selepas berkhidmat 11 tahun itu sebaik dimaklumkan tentang keadaan isterinya itu.
“Selepas masuk hari kelima, dia (Fauziah) tidak sedarkan diri, doktor yang merawat menjalankan CT Scan dan diberitahu bahawa saraf otaknya mengalami kerosakan.
“Pada detik itu juga, saya terus mengambil keputusan untuk berhenti kerja tanpa teragak-agak,” katanya lagi.
Tambahnya, setelah dua bulan terlantar di hospital, Fauziah dibawa pulang ke Seremban sementara keluarga Abil menetap di Kuala Lumpur.
Ketika ditanya mengapa tidak memilih tempat yang lebih dekat dengan keluarganya, Abil menjawab, “saya tidak mahu melibatkan ramai orang dalam menjaga dia.”
“Biarlah mereka buat kerja mereka. Saya sudah selesa menjaga dia,” katanya lagi.
Tiga bulan pertama menguruskan kehidupan baru cukup memberi tekanan terhadap emosi lelaki ini, namun setelah bergantung kepada al-Quran, Abil akui mampu menanganinya dengan lebih tenang.
Bertahan hanya dengan wang simpanan, sumbangan orang ramai, wang pencen isterinya dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuatkan dia berhati-hati dalam pengeluaran.
“Setiap bulan keperluan asas dia mencecah RM2,500 dan jika dia kurang sihat sama ada demam dan sebagainya, belanja bulanan mencecah RM3,500 hingga RM4,000.
“Dia tidak boleh menelan atau mengunyah, jadi saya perlu memberi makanan dalam bentuk cecair seperti bubur, bijirin dan susu melalui tiub saluran padanya,” kata Abil.
Berat badan Fauziah menyusut sejak terlantar daripada 70 kilogram (kg) kini hanya tinggal 30kg.
Menurut Abil, dia menerima ‘hadiah’ daripada ALLAH ini kerana tidak semua orang mendapat apa yang diterimanya.
Bercerita tentang kaedah rawatan yang dicadangkan oleh pihak pakar perubatan, Abil menjelaskan bahawa memang ada cadangan supaya Fauziah menjalani pembedahan, namun setakat ini tiada sebarang jaminan.
“Nak buat boleh, tetapi tiada sebarang jaminan. Saya boleh terima kaedah itu jika ada jaminan,” ujarnya.
Mengakui jauh di sudut hatinya berharap agar Fauziah kembali sihat seperti sebelumnya namun redha jika ALLAH mengambilnya.
“Saya memang berharap dia akan sembuh tetapi jika Tuhan mengambil dia, saya redha,” katanya.
Menurut Abil, jika berpeluang untuk bekerja semula, dia memilih kerjaya sebagai penceramah motivasi berbanding kerjaya lamanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghubungi Abil di talian 016-2634258.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment