27 Mei 2013 lalu Malaysia dikejutkan berita lima pemancing yang dilaporkan hilang semasa memancing di perairan Tumpat, Kelantan sejak Jumaat lalu bersamaan 24 Mei 2013 yang terpaksa 'mengikat perut' menahan lapar selama dua hari dan berkongsi titisan air selepas bekalan minuman yang dibawa mereka semakin kehabisan.
Dan berikut mungkin beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelak kejadian tidak diingin dan mempercepatkan bantuan pihak berkuasa.
1. Semak laporan cuaca, jika ombak besar, angin kencang dan hujan lebat yang tidak memungkinkan perjalanan dengan bot, maka batalkan atau tunda perjalanan anda.
2. Lengkapkan alat komunikasi. Selain telepon bimbit, bawalah radio amatur yang jarak panggilannya lebih luas dan boleh berhubung terus dengan frekuensi pihak berkuasa seperti polis, APMM dan sebagainya.
3. Maklumkan kepada keluarga dan pihak berkuasa, bila anda sepatutnya balik ke pengkalan. Jika deadline itu terlepas, maka usaha mencari dilakukan serta merta.
4. Bawa alat GPS/GPRS yang boleh memberitahu dengan tepat kedudukan anda di laut untuk membolehkan pihak berkuasa segera dapat mengesan anda.
5. Bawa bekalan minyak mencukupi, kerana jika minyak habis, maka kemudaratan akan muncul.
6. Bawa orang yang mahir membaiki enjin bot jika berlaku kerosakan.
7. Jangan khayal dengan tangkapan ikan banyak luar dugaan, ini yang menyebabkan pemancing leka dan tidak sedar bekalan minyak sudah habis.
8. Bawa life jacket atau pelampung keselamatan jika bot karam.
9. bawa lampu suar atau FLARE, ini boleh ditembak ke angkasa sebagai isyarat anda dalam kecemasan. Bawa 20 Flare sebab 1 tak mencukupi.
10. Bawa kain rentang besar dengan tulisan "TOLONG KAMI, SELAMATKAN KAMI, KAMI DALAM KESUSAHAN, BOT HANYUT" ATAU S.O.S Bermaksud Save our Souls yang diterima pakai di seluruh dunia. Ini supaya boleh dilihat dari jauh oleh bot atau kapal lain jika anda dalam kesusahan. Ini kerana di tengah laut, jika anda berteriak, suara anda tidak boleh didengar.
11. Bawa layar atau pendayung untuk membolehkan bot terus bergerak jika enjin rosak.
12. Bawa bekalan makanan dan minuman melebihi keperluan, jika perjalanan anda 3 hari, bawalah bekalan makanan dan minuman untuk 7 hari kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di tengah lautan yang luas.
13. periksa bot anda, pastikan tiada kerosakan, kebocoran, kecacatan dan pastikan muatan tidak overload atau berlebihan.
14. Berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Kuasa agar perjalanan pergi dan balik, selamat dan lancar dan dijauhkan dari perkara tidak diingini.
Moga kisah dibawah dijadikan iktibar sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia pada 27 Mei 2013.
Menceritakan kejadian itu, salah seorang daripada mangsa, Mazlan Mohamad, 43, berkata, mereka terputus bekalan makanan beberapa jam selepas enjin bot fiber yang mereka naiki mati akibat kehabisan minyak.
Katanya, bekalan makanan yang dibawa mereka sebenarnya cukup untuk mengalas perut sahaja kerana mereka tidak bercadang untuk memancing dalam tempoh yang lama.
"Cuaca di tengah laut panas terik, kami seolah-olah berpuasa. Bayangkan bekalan air minum yang kami bawa hanya tinggal lima sentimeter dalam bekas," katanya ketika ditemui di Pangkalan Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali hari ini.
Kelima-lima pemancing itu yang hilang sejak Jumaat lalu ditemui dalam keadaan lemah oleh nelayan Thailand yang menaiki bot nelayan tempatan di perairan Tok Bali pukul 10 malam tadi.
Mereka ialah Mohd. Fadzuan Suhaimi, 25, dan adiknya, Mohd. Firdaus, 18, dari Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh; Mohd. Osman Mohamad, 36, dari Kampung Morak, Tumpat; Mazlan Mohamad, 44, dari Wakaf Che Yeh, dan pemandu bot, Mohd. Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.
Mazlan berkata, usaha untuk berlabuh bagi mengekalkan kedudukan mereka dari dihanyutkan arus tidak dapat diteruskan apabila terpaksa menghadapi gelombang laut yang membadai dan ribut kencang pada waktu malam.
"Kami bertolak pukul 2 pagi Jumaat lalu. Pagi itu kami menjelajah dari satu unjam ke satu unjam kerana terlalu seronok apabila mendapat ikan yang banyak.
"Kami merancang kembali ke pangkalan di Tumpat pada pukul 12 tengah hari dan sempat menunaikan solat Jumaat di daratan.
"Disebabkan ghairah untuk memancing kami tidak sedar bekalan minyak yang digunakan tidak mencukupi untuk perjalanan pulang," katanya yang berasal dari Wakaf Che Yeh Kota Bharu.
Menurutnya, jarak untuk kembali ke jeti lebih kurang lima kilometer namun disebabkan kehabisan minyak mereka terpaksa menunggu bot lain yang mungkin melintasi laluan berkenaan.
"Malangnya, kebanyakan bot yang melintasi bot kami tidak berhenti walaupun pelbagai isyarat dan laungan kami telah lakukan," katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Fadzuan Suhaimi, 25, dari Kampung Dalam Rhu berkata, mereka turut berusaha membina layar namun tidak berjaya.
"Mujurlah malam tadi dengan tenaga yang kurang dan badan yang semakin lemah kami bernasib baik bertemu dengan awak-awak Thailand yang mengusahakan bot tempatan.
"Kami hanya menggunakan bahasa isyarat dengan tangan dan memek muka menyatakan hanyut di laut dan tidak makan selama dua hari.
"Kami dijanjikan untuk dihantar pulang ke jeti di Tumpat namun kami dirundung malang sekali lagi kerana bot nelayan itu mengalami kerosakan enjin.
"Kami terpaksa melakukan ikhtiar yang lain termasuk memanjat kabin bot dan mencari tempat yang tinggi sehingga telefon bimbit yang dibawa berjaya digunakan untuk menghubungi pasukan penyelamat dan anggota keluarga masing-masing," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130528/dn_09/Tiga-hari-terpaksa-ikat-perut#ixzz2UZ2Izbne
© Utusan Melayu (M) Bhd
“Sesak Nafas Nak Tampung Pelanggan…” – Pemilik Kafe Tak Jadi ‘Gulung Tikar’
Selepas Zizan Razak Datang Makan Di Kedai
-
Pelawak dan pelakon, Zizan Razak telah membuktikan bahawa kebaikan kecil
mampu memberi impak besar apabila kehadirannya di sebuah restoran di Sungai
Bulo...
41 minutes ago
No comments:
Post a Comment