Saturday, October 2, 2010

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD DIMASUKKAN KE HOSPITAL MELBOURNE, AUSTRALIA KERANA JANGKITAN KUMAN DI DADA


Tun Dr Mahathir Mohamad, 85 tahun adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun dari 16 Julai 1981 hinggalah 31 Oktober 2003. Beliau antara pemimpin paling lama berkhidmat di Asia dan juga dunia.

Semoga Tun cepat sembuh. Rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Tun.

DR MAHATHIR DIMASUKKAN KE HOSPITAL MELBOURNE KERANA JANGKITAN KUMAN DI DADA

Pada 2 Oktober 2010, Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) melaporkan dari Melbourne, Australia bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne, Australia sejak 9 pagi hari ini (Sabtu 2 Oktober 2010) bagi rawatan jangkitan kuman di dada.

Beliau kini dirawat di wad biasa dan diberikan antibiotik dan menjalani fisioterapi.

"Keadaan Dr Mahathir adalah stabil dan beliau dinasihatkan supaya berehat. Beliau dijangka berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Kuala Lumpur.

Diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Mahathir tiba di Melbourne, Australia pada Khamis, 30 September 2010 untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne pada Sabtu 2 Oktober 2010.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).

(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir pada majlis itu yang beliau (Dr Mahathir) nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.

Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap pada seminar itu bagi mewakilinya.

Mustapa, semasa ditemui pada seminar itu berkata keadaan Dr Mahathir adalah baik dan sedang berehat. "Tun perlukan rehat dan keadaan beliau adalah baik," katanya.

Anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dijangka tiba di sini esok untuk menemani bapanya, katanya.

Dr Mahathir, 85, menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan pada majlis tempatan dan antarabangsa.

Semoga cepat sembuh Tun. Rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Tun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs