Monday, February 25, 2013

Datuk Rosnah Shirlin bidas Nik Aziz kerana samakan penerima BR1M seperti haiwan

KENYATAAN MEDIA YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN, KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA MERANGKAP AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO SERTA TIMBALAN MENTERI KESIHATAN MALAYSIA MENGENAI ISU PENGHINAAN NIK AZIZ TERHADAP PENERIMA BANTUAN RAKYAT 1 MALAYSIA.


Rosnah Shirlin


Nik Aziz

Kenyataan Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat yang jelas menyamakan semua penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia umpama haiwan dan mengibaratkan wang bantuan BR1M umpama makanan haiwan amatlah mengecewakan dan memalukan.

Kebelakangan ini pihak pembangkang terutama sekali Nik Aziz amat sinonim dengan kata-kata kurang manis yang mana hampir setiap kali mengeluarkan kenyataan, kata-katanya merupakan satu bentuk penghinaan lebih-lebih lagi daripada seorang yang dianggap warak dan beragama seperti Nik Aziz. Adakah pihak pembangkang lupa kepada kepentingan adab serta moral dan nilai-nilai ketimuran kita?

Lupakah mereka kepada perkara kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan?

Ketika jutaan rakyat Malaysia beroleh nikmat bantuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia dari Kerajaan Pusat, kata-kata penghinaan dihamburkan pihak pembangkang. Hamburan kata-kata tersebut amat mengguris hati sebahagian besar penerima BR1M dan mereka merasa amat tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang Tok Guru.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia bahawa Kenyataan Mursyidul AM Pas Nik Aziz Nik Mat sungguh mentakjubkan dan menghairankan bagaimana sebagai seorang pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip ajaran Agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan.
Hinakah rakyat hanya kerana mereka memerlukan bantuan dan hinakah rakyat hanya kerana mereka menerima bantuan yang dihulurkan daripada Kerajaan Pusat?

Nik Aziz sebagai seorang yang digelar Ulama, Tok Guru dan Mursyidul Am PAS sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kerana pengikut-pengikutnya telah mengangkat martabatnya di peringkat tertinggi biarpun tanpa tauliah yang diiktiraf. Peranan Ulama bukan sahaja ditunjukkan dari cara berserban dan berjubah, tetapi harus diadaptasi dengan kelakuan yang berakhlak dan sentiasa menjaga kata-kata selari dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sepatutnya, Nik Aziz perlu menggerakkan satu tindakan untuk membantu ekonomi rakyat supaya rakyat dan penyokongnya benar-benar dapat memandang tinggi kearahnya dan bukannya dengan hamburan kata-kata menghina sedemikian. Kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang hanya akan menambahkan rasa ‘meluat’ serta ‘menyampah’ rakyat terhadap permainan politik sempit pihak pembangkang.

Janganlah kerana pihak pembangkang tidak mampu memberikan bantuan serta kesenangan kepada rakyat maka rakyat yang menerima bantuan Kerajaan Pusat pula dihina dan ditohmah. Hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap.

All the best to you both..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs