Showing posts with label sesb. Show all posts
Showing posts with label sesb. Show all posts

Monday, April 30, 2012

Bekalan elektrik putus di Sabah dan Labuan pada 30 April 2012


read over

Pada awal pagi 30 April 2012, hampir keseluruhan daerah di Sabah dan Labuan terputus bekalan elektrik bermula kira-kira 3.23 pagi, melibatkan kira kira 400 ribu pengguna.

Siasatan Sabah Electricity Sdn Bhd, SESB mendapati kejadian berpunca kerosakan pada satu pepasangan 66 kilovolt di pencawang masuk utama di Penampang dekat Kota Kinabalu.

Pengurus besar kanan pengurusan aset, SESB Ahmad Fuad Mohd Kasim, berkata kerosakan menyebabkan stesen janakuasa di seluruh Sabah dan Labuan terpelantik.

Ini memaksa SESB mengaktifkan catuan bekalan kecemasan bagi memastikan kestabilan sistem grid elektrik Sabah.

Bekalan elektrik berjaya dipulihkan secara berperingkat bermula 6.40 pagi dan punca sebenar kerosakan masih dalam siasatan.

Berikutan kejadian luar jangkaan itu, SESB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna.

Ini kejadian kedua seumpamanya bulan April 2012 melibatkan bekalan elektrik putus di hampir seluruh daerah di Sabah dan Labuan.

Pada 11 April 2012 lalu, sebahagian besar kawasan di Sabah dan Labuan turut terputus bekalan elektrik akibat gangguan pada sistem penyaluran gas ke beberapa stesen janakuasa bebas di Sepanggar.

Kejadian itu telah mengakibatkan kehilangan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sebanyak 90 Megawatt hilang daripada sistem rangkaian grid Sabah.

Moga peristiwa ini tidak berlaku lagi.

Wednesday, April 11, 2012

Gangguan bekalan elektrik di Sabah pada 11 April 2012



Sumber : Jabatan Komunikasi Korporat SESB

Impak Minimum Walaupun Penyaluran Gas Ke IPP Terjejas

Gangguan pada sistem penyaluran gas ke beberapa Stesen Janakuasa Bebas (Independent Power Producers) di Sepanggar telah mengakibatkan banyak kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik bermula pada jam 3.17 petang tadi (11 April 2012).

Kejadian di luar dugaan ini juga telah mengakibatkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sebanyak 90MW (MegaWatt) hilang daripada sistem rangkaian Grid Sabah.

Menurut Pengarah Urusan SESB, Ir. Hj Abd Razak Sallim, “SESB juga terpaksa melaksanakan catuan bekalan kecemasan bagi memastikan kestabilan sistem Grid”.

“Tindakan ini perlu dilaksanakan serta merta supaya kawasan gangguan bekalan elektrik ini dapat diminimumkan dan tidak meluas”.

Antara kawasan-kawasan yang dikenalpasti mengalami gangguan bekalan ini adalah sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Tuaram, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Kudat, Kota Belud, Kota Marudu dan W.P.Labuan.

“Bekalan elektrik ke kawasan yang terlibat telah berjaya dipulihkann secara berperingkat bermula pada jam 3.40 petang pada hari yang sama”.

Segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna ekoran daripada kejadian ini adalah amat dikesali.

Dalam pada itu, SESB berkata pertambahan permintaan bekalan elektrik di sekitar bandaraya Kota Kinabalu akhir-akhir ini telah mengakibatkan peralatan elektrik di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) / Distribution Main Intake Starcity terpelantik (tripped) pada jam 10.04 pagi Rabu 11 April 2012.

Kejadian ini juga mengakibatkan hampir 300 pengguna di sekitar Sinsuran, Centre Point, Maktab Gaya dan Jalan Tuaran Bypass terputus bekalan elektrik.

Menurut Ir. Hj Abd Razak Sallim, “pihak SESB telahpun mengenalpasti punca masalah ini dan tindakan serta merta telahpun diambil bagi memperbaiki masalah ini”.

Bekalan elektrik telah berjaya dipulihkan secara berperingkat pada jam 11.20 pagi hari yang sama.

Segala kesulitan ekoran daripada kejadian ini adalah amat dikesali.

Thursday, March 8, 2012

Panahan petir menyebabkan Bekalan elektrik terputus di Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah, 8 Mac 2012






Bekalan elektrik di Kota Kinabalu, Penampang serta di Pantai Timur Sabah termasuk Tawau dan Sandakan dilaporkan terputus beberapa jam bermula kira kira 2.30 petang pada hari Khamis bersamaan 8 Mac 2012.

Ia dilaporkan berpunca panahan PETIR yang terkena talian elektrik bervoltan tinggi 132 kilovolt di sektor Penampang - Beaufort, menyebabkan kehilangan kuasa elektrik 200 Megawatt.

Sabah Electricity Sendirian Berhad, SESB berhempas pulas memperbaiki masalah itu dan bekalan elektrik di Penampang dan beberapa kawasan di Kota Kinabalu, dipulihkan semula, secara berperingkat kira kira sejam selepas itu, pada jam 3.30 petang hingga 4 petang.

Bagaimanapun beberapa kawasan di Sandakan dilaporkan masih belum mempunyai bekalan elektrik sehingga jam 8 malam, yang bermakna bekalan terputus 6 jam.

Di Kota Kinabalu, premis perniagaan dan sistem jalanraya antara yang terjejas teruk.

Ada premis perniagaan yang terpaksa bergelap di tengah tengah kesibukan pelanggan.

Banyak jalan utama yang tidak mempunyai lampu isyarat mengalami kesesakan lalu lintas teruk.

Keadaan ini mengingatkan kita kepada peristiwa awal 2008 dimana hampir keseluruhan Sabah mengalami black-out atau terputus bekalan elektrik kerana menara pencawang bervoltan tinggi dekat Sepanggar tumbang akibat vandalisma. Perbuatan orang tidak bertanggung jawab mencuri skru atau logam menara menyebabkan menara tumbang dan menyebabkan 1 Sabah gelap gelita.

Di harap orang yang mencuri bahan logam menara pencawang ini dikenakan hukuman diberi renjatan elektrik 1 juta VOLT agar dia tak berdaya lagi melakukan kesalahan itu pada masa akan datang.

Apapun syabas kepada SESB kerana bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik yang terputus hari ini.

Sunday, November 13, 2011

Pulau Sebatik di Tawau, Sabah kini mendapat bekalan elektrik 24 jam



Pulau Sebatik dekat Tawau, Sabah dikenali pulau yang unik kerana terbahagi dua kepada wilayah Malaysia dan Indonesia.

Pulau ini mempunyai 5,000 penduduk dan 10 kampung, terletak 13 kilometer dari tanah besar Tawau, kira kira 20 minit perjalanan menaiki bot.

Namun sejak merdeka, masalah utamanya ialah tidak mempunyai bekalan elektrik sempurna.

Penduduknya terpaksa bergantung kepada generator untuk bekalan elektrik yang terhad.

Namun kerajaan mengotakan janjinya untuk membekalkan elektrik kepada penduduk pulau Sebatik.

Ia menerusi pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bernilai kira-kira RM120 juta di Pulau Sebatik di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Projek ini dijangka bakal siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember 2011.

Ketua Setiausaha KKLW, Dato' Ibrahim Muhamad, projek berkapasiti 33 KiloVolt itu dilihat sebagai mencukupi untuk menampung keperluan 10 buah kampung (5, 000 penduduk) di Pulau Sebatik yang melibatkan kira-kira 950 buah rumah.

"Kalau tiada aral-melintang, pihak kontraktor akan menyerahkan projek yang telah disiapkan ini kepada kita (kerajaan) pada awal Januari 2012. Kita percaya soal ketiadaan bekalan elektrik di pulau ini bukan lagi satu isu besar di sini," katanya

Ibrahim yang memuji kemajuan projek itu berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja dan tinjauan di tapak pembinaan sub-stesen elektrik di Sungai Tamang, Pulau Sebatik pada Ahad 13 November 2011 bersama ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Beliau berkata buat masa ini bekalan elektrik 24 jam telahpun disalurkan lebih awal kepada sekitar 700 buah rumah mulai Jun 2011 secara berperingkat-peringkat menerusi pembekalan sementara oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd, SESB.

Mengulas perkembangan ini, Datuk Ghapur Salleh berkata sudah menjadi dasar kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan berdasarkan kepentingan rakyat.

"Projek BELB ini merupakan janji kerajaan untuk memberikan kemudahan bekalan elektrik kepada penduduk luar bandar dan mungkin masih ada penduduk yang masih 'bermimpi' kerana projek ini kini sudah hampir siap sepenuhnya", katanya lagi.

Dalam pada itu, Ghapur turut menjelaskan bahawa projek pembinaan Jalan Raya Kalabakan-Sapulut bernilai lebih kurang RM300 juta telahpun dimulakan oleh pihak kerajaan semenjak bulan Oktober 2011.

Projek BELB ini dimulakan semenjak Januari 2009 melibatkan penyambungan kabel bawah laut dari Kg Pasir Putih di tanah besar Tawau hingga ke Kg Sungai Tongkang, Pulau Sebatik sepanjang kira-kira 13 KM.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs