Sunday, November 13, 2011

Pulau Sebatik di Tawau, Sabah kini mendapat bekalan elektrik 24 jam



Pulau Sebatik dekat Tawau, Sabah dikenali pulau yang unik kerana terbahagi dua kepada wilayah Malaysia dan Indonesia.

Pulau ini mempunyai 5,000 penduduk dan 10 kampung, terletak 13 kilometer dari tanah besar Tawau, kira kira 20 minit perjalanan menaiki bot.

Namun sejak merdeka, masalah utamanya ialah tidak mempunyai bekalan elektrik sempurna.

Penduduknya terpaksa bergantung kepada generator untuk bekalan elektrik yang terhad.

Namun kerajaan mengotakan janjinya untuk membekalkan elektrik kepada penduduk pulau Sebatik.

Ia menerusi pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bernilai kira-kira RM120 juta di Pulau Sebatik di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Projek ini dijangka bakal siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember 2011.

Ketua Setiausaha KKLW, Dato' Ibrahim Muhamad, projek berkapasiti 33 KiloVolt itu dilihat sebagai mencukupi untuk menampung keperluan 10 buah kampung (5, 000 penduduk) di Pulau Sebatik yang melibatkan kira-kira 950 buah rumah.

"Kalau tiada aral-melintang, pihak kontraktor akan menyerahkan projek yang telah disiapkan ini kepada kita (kerajaan) pada awal Januari 2012. Kita percaya soal ketiadaan bekalan elektrik di pulau ini bukan lagi satu isu besar di sini," katanya

Ibrahim yang memuji kemajuan projek itu berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja dan tinjauan di tapak pembinaan sub-stesen elektrik di Sungai Tamang, Pulau Sebatik pada Ahad 13 November 2011 bersama ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Beliau berkata buat masa ini bekalan elektrik 24 jam telahpun disalurkan lebih awal kepada sekitar 700 buah rumah mulai Jun 2011 secara berperingkat-peringkat menerusi pembekalan sementara oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd, SESB.

Mengulas perkembangan ini, Datuk Ghapur Salleh berkata sudah menjadi dasar kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan berdasarkan kepentingan rakyat.

"Projek BELB ini merupakan janji kerajaan untuk memberikan kemudahan bekalan elektrik kepada penduduk luar bandar dan mungkin masih ada penduduk yang masih 'bermimpi' kerana projek ini kini sudah hampir siap sepenuhnya", katanya lagi.

Dalam pada itu, Ghapur turut menjelaskan bahawa projek pembinaan Jalan Raya Kalabakan-Sapulut bernilai lebih kurang RM300 juta telahpun dimulakan oleh pihak kerajaan semenjak bulan Oktober 2011.

Projek BELB ini dimulakan semenjak Januari 2009 melibatkan penyambungan kabel bawah laut dari Kg Pasir Putih di tanah besar Tawau hingga ke Kg Sungai Tongkang, Pulau Sebatik sepanjang kira-kira 13 KM.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs