Sunday, January 1, 2012

Jentera pilihanraya BN perlu jelaskan kejayaan BN, Musa Aman



Teks/Foto : Liza Din

KOTA KINABALU, Sabah, Malaysia 31 Dis 2011

Semua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diminta memberi
penjelasan kepada pengundi mengenai 'track record' atau kejayaan BN
selama mentadbir negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Pengerusi BN
Negeri, berkata kejayaan dalam memberi pemahaman mengenai usaha
kerajaan mampu meyakinkan rakyat untuk menolak pembangkang dalam
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan datang.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita menjelaskan kepada semua pengundi
mengenai program dan dasar BN kerana inilah kerajaan yang prihatin
terhadap kebajikan rakyat.



"Kita lihat sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri,
banyak usaha dan pembangunan dilaksanakan untuk rakyat seperti
penghapusan yuran sekolah, pemberian RM100 kepada pelajar sekolah dan
pemberian RM500 kepada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000
sebulan," katanya pada Majlis Silaturrahim dan Makan Malam Wanita
Penjalin Perpaduan anjuran Wanita Umno Sabah di Kota Kinabalu pada malam 30 Disember 2011.

Turut hadir sama Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin, Pengerusi Pelaksana, Zaiton Anik dan ketua-ketua Wanita UMNO seluruh Sabah.

Musa berkata BN bukan gabungan parti yang suka berbohong dan menabur
janji kosong kepada rakyat seperti yang sering dilakukan oleh
pembangkang sehingga rakyat yang menderita.

Katanya, rakyat harus jelas dengan usaha dan keikhlasan BN membela
nasib mereka supaya mereka tidak mudah terperdaya dengan khabar angin
dan janji pembangkang yang hilang hala tuju.

Beliau berkata selain menjelaskan kepada rakyat mengenai kejayaan BN,
jentera pilhan raya BN juga diminta bersatu padu dan bekerja sebagai
satu pasukan bagi memastikan kemenangan semua calon BN pada PRU13 akan
datang.

Terdahulu, Ketua Wanita BN Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil,
yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata
anggota BN harus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam pilihan
raya akan datang dengan menggerakkan semua jentera pilihan raya untuk
membantu dan menyokong semua calon BN.

"PRU13 bukan sebarang pilihan raya. PRU13 adalah sebuah peperangan dan
kita mestilah memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib sebagai ketua
komander dalam peperangan ini," katanya.

Dalam majlis turut diraikan empat mantan Ketua-ketua wanita UMNO Sabah
iaitu Datin Aminah Ambrose, allahyarhamah Datuk Norjan Khan Bahadar
diwakli oleh anaknya Fauziah Mohd Ali, Datuk Azizah Mohd Dun dan Datuk
Dayang Mahani Rafaee.

Pertandingan karaoke Wanita UMNO bahagian dimenang daripada Wanita
UMNO Putatan, naib johan Wanita UMNO Sandakan dan tempat ketiga
Wanita UMNO Kalabakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs