Thursday, January 26, 2012

Puteri UMNO cabar Anwar Ibrahim buktikan undang undang sodomi/liwat sudah lapuk dan tidak relevan di Malaysia yang agama rasminya Islam



KENYATAAN AKHBAR YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA - 18 Januari 2012

Pergerakan Puteri UMNO mencabar Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membuktikan
bagaimana undang-undang sodomi itu boleh dikatakan lapuk dan tidak relevan terutamanya di Malaysia yang agama rasminya Islam. Anwar juga dicabar supaya membuktikan bahawa kenyataannya itu bukan bertujuan menyokong amalan gay baik di Malaysia mahu pun di negara-negara lain di dunia.

Undang-undang jenayah jelas menyenaraikan liwat atau sodomi sebagai satu jenayah dan boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara, dan ia bukan diguna pakai di Malaysia sahaja sebaliknya negara-negara lain turut menguatkuasakan undang-undang tersebut.

Kenyataan Anwar itu hakikatnya amat mengaibkan umat Islam apatah lagi diucapkan oleh seorang pemimpin yang sentiasa dijulang kononnya berimejkan Islam malah baru-baru ini disifatkan sebagai pemimpin yang bakal menyatukan dunia Islam.

Begitukah rupanya pemimpin yang layak menyatukan dunia Islam sedangkan dia sendiri sanggup menghalalkan apa yang terang-terangan diharamkan agama. Jika orang Islam sendiri mengatakan undang-undang sodomi itu sudah lapuk, apa hukumnya dari sudut kaca mata Islam? 

Pergerakan Puteri UMNO juga mencabar rakan-rakan Anwar yang terdiri daripada ulama besar di dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat supaya menyatakan pendirian mereka tentang kenyataan Anwar itu. Malah barisan kepimpinan Pas juga mesti menyatakan pendirian mereka tentang amalan gay yang semakin berleluasa di negara ini sama ada mereka merestui perbuatan tersebut atau sebaliknya. 

Pemimpin Pas tidak boleh berdiam diri seperti mana sekarang ini kerana dengan berdiam diri mereka boleh saja dianggap bersetuju dengan kenyataan Anwar sekali gus menyokong amalan seks songsang. Pergerakan Puteri UMNO semakin bimbang dengan cubaan secara terang-terangan Anwar Ibrahim menyokong amalan songsang seks sejenis yang pastinya dialu-alukan oleh golongan gay di negara ini.

Pertanyaan Puteri kepada Anwar adakah kenyataannya tentang undang-undang sodomi yang dikatakan lapuk itu bertujuan meraih sokongan golongan gay yang semakin bercambah sekarang ini? Dan adakah beliau juga mahu menghalalkan amalan seks songsang di kalangan masyarakat di Malaysia sehingga undang-undang yang berkaitan dengan amalan itu dikatakan lapuk?

Yang Ikhlas,

YB Datuk Rosnah Binti Haji Abd Rashid Shirlin
( Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia )

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs