Thursday, October 13, 2011

Shafie Apdal, Pusat Transformasi Desa, RTP merobah imej luar bandar daripada mundur kepada pusat pertumbuhan



Jika selama ini, hanya kawasan bandar menjadi pusat pertumbuhan ekonomi, namun kerajaan Malaysia dalam Bajet 2012 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober 2011 lalu mahu menjadikan kawasan luar bandar sebagai pusat sedemikian.

Semuanya dirangka menerusi program Rural Transformation Program atau Program Transformasi Luar Bandar, R-T-P.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar atas) berkata kawasan luar bandar itu bukan hanya dijadikan pusat aktiviti ekomoni dengan penyediaan industri pertanian, penternakan atau perladangan getah, malahan institusi kewangan, perbankan, kemudahan kesihatan, akauntan dan khidmat guaman juga disediakan.

Semua langkah itu dilakukan untuk memastikan masyarakat luar bandar di Malaysia setaraf dengan masyarakat luar bandar di negara maju dari aspek kesihatan, pendidikan, sikap dan cara hidup.

Kerajaan tidak mahu persepsi negatif mengenai luar bandar yang digambarkan melalui faktor pengangguran, banyak kemiskinan dan tiada peluang pekerjaan berleluasa dan berterusan tanpa sebarang perubahan positif.

Malaysia katanya perlu mencontohi bagaimana negara-negara maju telah berjaya mengubah imej luar bandar. Kawasan luar bandar yang berimejkan mundur, tidak maju dan tidak mempunyai nilai kekayaan telah ditukar menjadi tempat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa disertai dengan peluang-peluang dalam bidang perekonomian dan industri.

Itulah sebab utamanya mengapa sektor luar bandar diberi penekanan yang cukup penting oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak ketika menyampaikan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 bersamaan Jumaat di Parlimen.

Menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Kerajaan akan mengoptimumkan potensi luar bandar sebagai penjana pertumbuhan ekonomi baru.

Ketika ini kebanyakan aktiviti ekonomi berpusat di Lembah Klang ataupun di Pulau Pinang dan Johor.

Melalui program RTC, beberapa pusat transformasi luar bandar yang bertindak sebagai pusat integrasi logistik, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian dan berbagai aktiviti sokongan seperti perbankan dan insurans, latihan dan kemahiran, klinik dan ruang niaga, akan dibuka.

Sebagai permulaan, Kerajaan akan memajukan RTC Gopeng di Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan turut mengumumkan insentif berjumlah RM 100 juta disalurkan kepada golongan professional yang ingin menawarkan perkhidmatan guaman, perakaunan dan klinik di pekan pekan kecil seluruh negara.

Ini kerana tanpa kehadiran perkhidmatan professional di RTC, peniaga, penternak dan usahawan tani masih lagi perlu melanggan perkhidmatan tersebut di Bandar yang berdekatan.

YAB Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar akan diberi peruntukan sebanyak RM 110 juta ringgit.

Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah menggunakan benih getah klon bermutu tinggi serta kelapa sawit dengan peruntukan RM 140 juta ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

Untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif, peruntukan RM 5 bilion ringgit disediakan Kerajaan pada tahun 2012.

Daripada jumlah tersebut, RM 1.8 bilion ringgit bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar.

Di samping itu, RM 2.1 bilion ringgit disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu rumah serta RM 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan elektrik luar bandar kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, bagi tahun 2012, negeri Sabah akan diberi peruntukan RM 50 juta ringgit bagi membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah tadahan air hujan.

Kerajaan juga sedar peri pentingnya program pembangunan usahawan Bumiputera digerakkan secara agresif termasuk meningkatkan penyertaan usahawan luar bandar dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi.

Berdasarkan kepada prinsip inklusif di bawah Model Baru Ekonomi, maka YAB Perdana Menteri turut mengumumkan di dalam Belanjawan 2012 bahawa sebanyak RM 200 juta diperuntukkan kepada MARA yang akan berperanan sebagai penggerak utama Program Pembangunan Usahawan Kementerian.

Daripada jumlah ini, RM 40 juta akan disalurkan kepada usahawan Bumiputera yang terlibat dalam bidang Sistem Binaan Berindustri (IBS). Melalui program ini, dua buah kilang IBS berskala industri dan 10 buah kilang IBS berskala kecil dan sederhana (IKS) Bumiputera akan diwujudkan.

Selain itu, program ini juga akan memberi impak ke arah pewujudan seramai 1000 installer/kontraktor IBS dan melahirkan lebih 5000 guna tenga IBS compliance (mahir dan separuh mahir) di kalangan Bumiputera, termasuk peningkatan Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) Tahap 1 hingga 3.

Kerajaan juga mengiktiraf sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh usahawan kontraktor dalam membangunkan negara serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampian kerajaan.

Peruntukan sebanyak RM 84 juta akan disalurkan kepada usahawan Bumiputera di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres MARA atau SPiKE. Sasaran utama peruntukan ini adalah untuk meningkatkan keupayaan kontraktor Bumiputera kelas D, E dan F dalam pelbagai bidang sama ada pembinaan, perbekalan, perkhidmatan dan elektrik. Proses pengeluaran wang pembiayaan juga adalah singkat di mana MARA dapat melakukannya dalam masa tiga hari bekerja sahaja.

Kerajaan yakin melalui skim ini, ia mampu meningkatkan keupayaan dan tahap efisiensi kontraktor yang mendapat kemudahan ini.

Selain itu, di bawah peruntukan ini juga, sebanyak RM 40 juta akan disalurkan untuk Program Latihan Keusahawanan Bumiputera. Program ini merupakan teras utama untuk melahirkan IKS Bumiputera berprestasi tinggi (high performing Bumiputera SME) yang berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.

Dua komponen utama yang akan diberikan tumpuan ialah latihan keusahawanan (entrepreneurship training) dan pendidikan keusahawanan (entrepreneurship education) meliputi usaha peningkatkan kompetensi usahawan baru dan sedia ada, peningkatkan keilmuan usahawan di samping mewujudkan program bimbingan, khidmat nasihat serta konsultansi.

Melalui peruntukan ini, seramai 4,500 usahawan baru dan 2,200 orang usahawan sedia ada akan diberikan latihan di peringkat asas dan lanjutan melalui 225 program latihan/kursus/bimbingan yang bakal diwujudkan.

Kerajaan percaya, program ini dapat melahirkan usahawan Bumiputera yang risilient, kompetitif dan inovatif seterusnya dapat bersaing di pasaran terbuka hingga ke peringkat global.

Menurut Datuk Seri Mohd Shafie, sesungguhnya Belanjawan 2012 jelas menampakkan kesungguhan kerajaan untuk mengimbangi kebajikan rakyat dan kelestarian ekonomi negara.

YAB Perdana Menteri telah membentangkan satu belanjawan yang jelas mengimbangi keperluan untuk membantu meringankan beban kehidupan masyarakat dalam menangani masalah kenaikan kos kehidupan samada di bandar mahupun di desa.

Walaupun ada pihak mendakwa bahawa Belanjawan 2012 ada unsur-unsur populis, namun begitu apa yang jelas adalah pihak kerajaan telah mengekalkan disiplin fiskal bagi mengurangkan defisit belanjawan dari masa ke semasa. Ini jelas mencerminkan kebijaksanaan pihak kerajaan mengimbangi keperluan semasa dan masa depan ekonomi negara.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata demikian ketika merasmikan Kolej RISDA di Semporna, Sabah. Ia koleh pertama seumpamanya yang ditubuhkan di Malaysia Timur.

Kolej RISDA adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang berdaftar dibawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang berdaya saing dan terbilang, Shafie menyarankan supaya Kolej RISDA sentiasa peka kepada keperluan pasaran dan industri dan mengenalpasti program-program akademik yang menjurus kepada keperluan pasaran guna tenaga di negara ini, supaya tidak tercicir dalam arus mega pembangunan.

Beliau turut berharap agar Kolej RISDA berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang berdaya saing serta mempunyai kepelbagaian kemahiran dengan tidak hanya tertumpu kepada bidang pertanian sahaja tetapi juga kepada bidang keusahawanan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs