Sunday, January 15, 2012
Rekod Sabah dalam Liga Super 2012
Updated 27 Jun 2012.
Blog ini merekodkan setiap keputusan perlawanan melibatkan pasukan Sabah dalam Liga Super 2012. Kita pasti marah dengan pencapaian Sabah setakat 27 Jun 2012 kerana banyak kali tewas termasuk kekalahan memalukan 0-9 di tangan Singapore Lions di Singapura pada 16 Jun 2012, disusuli tewas 0-4 di Likas kepada Selangor PKNS dan tewas lagi 0-2 di tangan Kelantan. Ini membawa kepada tindakan merehatkan jurulatih Sabah, Justin Ganai.
Untuk rekod, Sabah adalah pasukan kuat pada 1980an apabila mempunyai James Wong, Hassan Sani, Peter Rajah, Razali Zinin, Richard Barnes, Karti Tukimin, Justin Ganai, Alinjiran Nulantan, Awang Sabtu dan ramai lagi. Pasukan Sabah nyaris memenangi Liga Malaysia pada suatu ketika, hanya no. 2 di belakang Juara iaitu Selangor yang diperkuatkan Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Khalid Ali dan Santokh Singh.
Pada 1995, Sabah juara Piala FA menewaskan Pahang 3-1 di final di Stadium Merdeka dan pada 1996, Sabah juara Dunhill Liga Malaysia dengan perlawanan terakhir diadakan di Stadium Likas di mana Sabah menewaskan pasukan di tempat kedua iaitu Negeri Sembilan dengan 3-0. Ketika itu Sabah diperkuatkan Yap Wai Loon, Ong Kim Swee, Scott Ollerenshaw, Matlan Marjan, Seslija Milomir dan ramai lagi.
Rekod Sabah dalam Liga Super 2012.
1. 10 Januari 2012 - Selasa
FELDA UNITED 2-0 SABAH
Sabah memulakan kempen Liga Super 2012 dengan langkah sumbang apabila tewas 0-2 kepada Felda United di tempat lawan.
2. 14 januari 2012 - Sabtu
SABAH 2-1 SARAWAK
(Michael Baird, Bobby Gonzales)
Selepas tewas 0-2 kepada Felda Unietd dalam perlawanan pertama, Sabah tidak mahu tewas lagi dalam perlawanan kedua menentang jirannya Sarawak di Stadium Likas. Penyerang impot Sabah dari Australia, Michael Baird menunjukkan betapa dia amat berbisa apabila menjaringkan gol pertama dan menyumbang gol kedua apabila melakukan larian solo sebelum menghantar bola kepada Bobby Gonzales. Sabah menang 2-1.
3. 17 Januari 2012 - Selasa
T-TEAM 0-0 SABAH
Sabah berjaya memungut 1 mata apabila seri 0-0 dengan pasukan T-Team di tempat lawan di Kuala Terengganu. Moga kejayaan mendapat 1 mata di tempat lawan ini menjadi inspirasi kepada Sabah untuk terus memenangi perlawanan seterusnya dalam Liga Super 2012.
4. 21 Januari 2012 - Sabtu - Stadium Likas
Sabah 0-1 Singapura Lions
Sabah patut menang namun tewas di gelanggang sendiri kepada Singapura Lions. Perlawanan ini dicemari aksi kasar menyaksikan 2 pemain dibuang padang, seorang pemain Sabah, Maffry Balang yang memakai jersi no. 2, dan seorang lagi pemain Singapura.
5. 27 Januari 2012 - Sabtu - Stadium MBPJ Kelana Jaya
Selangor PKNS 2-2 Sabah
(Michael Baird, Helmi Remeli - gol sendiri)
Bermain di tempat lawan, Sabah ketinggalan 0-2 hasil 2 jaringan penyerang impot Selangor PKNS, Dawood Nicoise, menerusi tendangan percuma cantik pada minit ke 44 dan gol keduanya menerusi rembatan luar kotak penalti minit ke 53. Namun tambatan impor Sabah, Michael Baird merapatkan jurang 1-2 menerusi gol hasil tandukan cantik minit ke 73. Gol penyamaan Sabah diperolehi minit ke 81, sekali lagi menerusi gerakan Michael Baird yang melakukan cross sebelum ditanduk Shaharudin Yakub. Bola itu terkena palang gol lalu terkena kaki pertahanan Selangor PKNS, Helmi Remeli di minit ke 81. Tahniah Sabah, dapat membawa pulang 1 mata ke Kota Kinabalu.
6. SABAH 0-0 KELANTAN (6 Feb 2012, Stadium Likas)
Pertembungan dengan Juara Bertahan Liga Super di stadium Likas ini berakhir keputusan seri 0-0 tanpa jaringan. Sabah sebenarnya mahu membalas dendam kekalahan 1-2 pada perlawanan terakhir Liga Super 2011 yang menobatkan Kelantan sebagai Juara Liga 2011, namun apakan daya, hasrat itu tidak kesampaian.
7. KEDAH 2-2 SABAH (11 Feb 2012, Stadium Darul Aman Kedah)
(Mohd Sabri Mat Abu-Gol Sendiri (Kedah), Shaharudin Yakub)
Sabah mengejutkan tuan rumah apabila mendahului 1-0 hasil tandukan pertahanan Kedah Mohd Sabri Mat Abu yang menerjah gawang sendiri, Apapun kealpaan pertahanan Sabah termasuk kesilapan penjaga gol Syed Adney menyaksikan Kedah menyamakan kedudukan 1-1 sebelum mendahului 2-1. Apapun kelincahan penyerang Sabah Shaharudin Yakub nyata sukar dibendung pertahanan Kedah. Shaharudin akhirnya menjaringkan gol penyamaan Kedah menerusi 1 rembatan kencang. Pada perlawanan ini, pemain impot Sabah dari Australia yang tidak sehebat mana, Brendan Gan dibuang padang setelah kebodohannya mengkasari pemain lawan. Bodoh, Brendan Gan tidak sehebat mana dan dia pula dipilih menyarung jersi Sabah? 1 keputusan yang amat bodoh oleh SAFA!! Pemain impot hebat Sabah, Michael Baird tidak dapat beraksi kerana digantung akibat kad kuning.
8. SABAH 2-0 KUALA LUMPUR (14 FEB 2012) Stadium Likas
(Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Michael Baird)
Seri 3 perlawanan berturut turut, Sabah tidak mahu berputih mata dan mahu mengutip 3 mata penuh di depan penyokong sendiri di Stadium Likas. Untuk itu, Michael Baird mengetuai jentera serangan dengan gerakan menakjubkan. Hantaran tepat dan hebat kepada Mohd Rozaimi Abdul Rahman menjelmakan gol pertama Sabah manakala Baird sendiri menjaringkan gol kedua Sabah di minit ke 46. Syabas Sabah, Syabas Baird.
9. SABAH 2-1 JOHOR FC (3 MAC 2012) Stadium Likas
(Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Shaharudin Yakup)
Sabah ke perlawanan ini hanya seminggu selepas nyaris memalukan skuad kebangsaan Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas pada Jumaat 24 Feb 2012 dimana Malaysia diasak dan hanya menang tipis 1-0. Sayap kanan Sabah, Shaharudin Yakup turut menempa sejarah apabila menyarung jersi kebangsaan buat pertama kalinya dalam perlawanan persahabatan yang amat hebat itu.
Menentang Johor FC, Sabah ketinggalan menerusi gol awal penyerang impot lawan, Arthur Hendrique sebelum menjaringkan 2 gol menerusi Mohd Rozaimi Abd Rahman dan Shaharudin Yakup di minit ke 81. Ini kemenangan kedua berturut Sabah dan kelima berturut turut tanpa kalah. Syabas Sabah.
10. Terengganu 6-3 Sabah (17 Mac 2012, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu)
(Zainizam Marjan, Brendan Gan, Mohd Rozaimi Abdul Rahman)
Sabah tewas besar dalam perlawanan di tempat lawan ini, dan kekalahan pertama selepas 5 perlawanan tanpa kalah sebelum ini. Apapun Sabah berjuang dalam perlawanan ini apabila merapatkan jurang kepada 3-4 pada satu ketika. Moga Sabah terus mengaum selepas ini. Sabah Boleh!
11. Sabah 1-1 Selangor (31 Mac 2012, Stadium Likas, Kota Kinabalu)
(Michael Baird)
Menentang Red Giants, Sabah mengejutkan Selangor seawal minit ke 3 menerusi rembatan penyerang impor, Michael Baird yang memanfaatkan salah faham antara penjaga gol Selangor dan pertahanan Selangor. Sabah seharusnya menggandakan kedudukan kepada 2-0 namun rembatan cantik Mohd Rozaimi Abdul Rahman di minit ke 20, mengegar palang. Apapun P Gunalan memastikan Red Giants tidak pulang dengan tangan kosong apabila meledakkan gol penyamaan Selangor pada minit ke 59, menewaskan penjaga gol Sabah Syed Adney Syed Hussein.
12. Negeri Sembilan 2-2 SABAH (7 April 2012, Stadium Negeri, Seremban)
(Shaharudin Yakub, Ronny Harun)
Ketinggalan 0-2 selepas tamat babak pertama, Sabah tidak berputus asa dan terus menggempur kubu lawan di tempat lawan di babak kedua. Hasilnya 2 gol Sabah dijaringkan pemain sayap kanan Sabah dan Malaysia, Shaharudin Yakub untuk kedudukan 1-2, manakala pertahanan Ronny Harun memastikan Sabah membawa pulang 1 mata dengan gol kedua dan penyamaan. Ini gol ketiga Shaharudin dalam 12 aksi Liga Super 2012 dan gol pertama Ronny Harun. Ini juga keputusan seri ke enam Sabah dalam Liga Super 2012.
13. Sabah 1-3 Perak (14 April 2012, Stadium Likas)
Sabah dikejutkan Perak apabila tewas 1-3 di gelanggang sendiri di Stadium Likas. Sabah bermula garang apabila Zainizam Marjan membuka jaringan seawal minit pertama, dia merayakan gol dengan gaya lucu ulat bulu!!
Namun di babak kedua, 3 gol membolosi gawang Sabah menerusi bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhili, minit 65, gol sendiri pertahanan Sabah Mafry Balang minit ke 67 dan jaringan minit 90 Lazar Popovic. Sabah dikatakan mahu menukar 2 pemain impot dan memperkenalkan 2 pemain impot baru tidak lama lagi kerana kecederaan 2 pemain impot sedia ada Michael Baird dan Brendan Gan.
14. Perak 2-2 Sabah (17 April 2012, Stadium Perak)
Bermain di tempat lawan, Sabah nyaris meraih 3 mata penuh namun jaringan minit akhir Perak memaksa Sabah berkongsi 1 mata. 2 gol Sabah dijaringkan Zainizam Marjan dan kedudukan 2-1 kekal sehinggalah ke minit terakhir perlawanan namun pemain impot Perak berjaya menyamakan kedudukan. Sekaligus hajat Sabah tidak kesampaian untuk balas dendam kekalahan 1-3 di Likas, 2 hari sebelum itu.
15. 4 Mei 2012 - Sabah 1-0 Felda United (Stadium Likas)
Mohd Rozaimi Abdul Rahman jaringkan gol kemenangan Sabah. Sabah bermain perlawanan ini menurunkan pemain impot baru dari Jerman, Hendrik Helmke, gantikan Michael Baird yang cedera.
16. 12 Mei 2012 - Sarawak 1-0 Sabah (Stadium Kuching)
Apa sudah jadi dengan Sabah? Tewas lagi!! Ini kekalahan ke 5 Sabah dalam 16 aksi Liga Super 2012.
17. 15 Mei 2012 (Stadium Likas)
SABAH 1-2 T TEAM
Hendrik Helmke
Apa sudah jadi dengan Sabah, kekalahan kedua berturut turut dan ini kekalahan di tempat sendiri.
18. 16 Jun 2012 (Singapura)
Singapura Lions 9-0 Sabah
Ini kekalahan amat memalukan dan paling besar dalam sejarah Liga Super dan dalam sejarah Sabah. Kekalahan di Singapura ini membawa kepada tindakan merehatkan jurulatih Sabah, Justin Ganai. Kekalahan ke 3 berturut turut Sabah.
19. 19 Jun 2012 (Likas)
Sabah 0-4 Selangor PKNS
Tewas lagi di tempat sendiri dalam perlawanan disaksikan kurang 1,000 penonton dan ada sepanduk SAFA RASUAH dipamerkan peminat setia Sabah yang amat tidak puas hati dengan prestasi semasa Sabah. Kekalahan ke 4 berturut turut Sabah.
20. 23 Jun 2012 (Kelantan)
Kelantan 2-0 Sabah
Kelantan menambah derita Sabah apabila menewaskan pelawat 2-0 di Kota Bahru, ini menjadikan kekalahan ke 5 berturut turut bagi Sabah dalam Liga Super. AGREGAT GOL SABAH DALAM 5 KEKALAHAN BERTURUT TURUT IALAH 1 - 18.
21. 26 Jun 2012 (Stadium Likas)
Sabah 1-0 Kedah
Setelah tewas 5 perlawanan berturut turut, Sabah melakar kemenangan 1-0 menewaskan Kedah di Stadium Likas menerusi gol tunggal, Jufrey Omopor.
Senarai Penjaring Sabah dalam Liga Super 2012, sehingga 26 Jun 2012
Michael Baird - 4 gol
Zainizam Marjan - 4 gol
Mohd Rozaimi Abdul Rahman - 4 gol
Shaharudin Yakub - 3 gol
Bobby Gonzales - 1 gol
Brendan Gan - 1 gol
Ronny Harun - 1 gol
Hendrik Helmke - 1 gol
Jufrey Omopor - 1 gol
Gol sendiri pemain lawan - Helmi Remeli (Selangor PKNS), Mohd Sabri Mat Abu (Kedah)
SABAH - prestasi sehingga 26 June 2012
PERMAINAN 21
MENANG 5
SERI 7
KALAH 9
JARINGAN 22
BOLOS 41
PERBEZAAN JARINGAN (- 19)
MATA 22
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment