Friday, August 5, 2011

Isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama



Inilah Gereja Methodist Damansara Utama yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS, pada malam Rabu 3 Ogos 2011 ketika majlis makan malam Muhibbah 1 Malaysia bagi tujuan kutipan derma untuk pesakit AIDS, sedang berlangsung.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama. Majoriti daripada penduduk Malaysia seramai 28.3 juta orang terdiri penganut agama Islam, manakala selebihnya menganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Taoism, Sikh dan sebagainya.

Diakui meskipun negara sudah merdeka sejak 1957 dan kerajaan memperkenalkan pelbagai konsep, usaha dan pendekatan ke arah mengeratkan lagi perpaduan kaum dan toleransi di Malaysia termasuk cogankata 1 Malaysia, pasti ada saja insiden yang melibatkan sensitiviti agama.

Terbaru isu serbuan berkenaan yang dianggap tidak wajar kerana ia hanya majlis makan malam muhibbah untuk mengutip derma bagi tujuan kebajikan, dihadiri kira kira 120 orang tetamu.

Di Malaysia, majlis makan malam sedemikian sudah diadakan ribuan kali ataupun jutaan kali dengan dihadiri tetamu kehormat sejak dulu lagi, namun tak pula diserbu.



Dan hari ini Jumaat 5 Ogos 2011, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapatkan nasihat baginda berhubung kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa Majlis Makan Malam Muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada malam Rabu 3 Ogos 2011 itu.

3 Ogos 2011 adalah bersamaan 3 Ramadhan 1432 Hijrah, baru 3 hari umat Islam berpuasa di bulan suci ini.

Abdul Khalid berkata, beliau kini menunggu laporan JAIS berhubung kejadian itu untuk dipersembahkan kepada baginda.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh untuk menghadap itu.

Dalam satu kenyataan, Menteri Besar Selangor itu berkata, tindakan selanjutnya bagi menyelesaikan kontroversi itu supaya tidak berulang lagi akan diambil selepas beliau menghadap Sultan Selangor.

Sehingga itu, beliau melarang semua Anggota Majlis Kerajaan Negeri Selangor membuat sebarang kenyataan berkenaan isu tersebut.

"Seperti yang kami katakan semalam (4 Ogos 2011) kami kesal dengan kejadian tersebut.

Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor tidak rasa terbela dengan kejadian tersebut,” kata Abdul Khalid.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Intrastruktur dan kemudahan Awam Selangor, Datuk Hassan Mohd Ali, dalam kenyataannya semalam berkata, pemeriksaan JAIS itu dilakukan ekoran maklumat menyatakan terdapatnya kehadiran orang Islam di majlis yang diadakan di gereja itu.



Perkara ini berlaku ketika Malaysia baru sahaja bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Vatican ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Rom, Itali, Julai 2011 lalu.

Dalam lawatan ke Itali itu, Najib mengadakan pertemuan dengan ketua agama Roman Katolik, Pope Benedict ke 16.

Kita tahu, kadang kala bila serbuan JAIS dilakukan ke atas rumah ibadat penganut agama bukan Islam seperti Gereja, pasti ia mengundang kontroversi.

Begitu juga Malaysia pernah dilanda kontroversi suatu ketika dulu apabila sepasang pelancong dari luar negara yang statusnya suami isteri dan bukan beragama Islam, tetapi ditangkap dalam ops maksiat oleh Jabatan Agama di sebuah negeri.

Perkara memalukan dan menjejaskan imej Malaysia di mata pelancong itu berlaku di sebuah bilik di sebuah pusat peranginan terkenal di negara ini.

Bayangkan anda suami isteri melancong ke Mesir atau Oman atau mana mana negara dan ketika tidur di bilik hotel jam 2 pagi telah diserbu oleh penguatkuasa kerana disangka melakukan maksiat dan khalwat.

Sudah tentu anda merasa marah kan?

Bukan semua suami isteri membawa sijil kahwin sebagai bukti pasangan suami isteri, ketika berjalan, membeli belah, melancong atau bila saja keluar rumah kan?

Dalam konteks ini, Jabatan Agama perlu juga berdiplomasi dan mengambil kira semua aspek, faktor, unsur, isu, permasalahan dan apa juga ketika melakukan serbuan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs