Wednesday, August 31, 2011

Peristiwa berdarah di Kalabakan, Sabah cetuskan kelahiran markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, SABAH












Sempena hari ulang tahun kemerdekaan ke 54 yang jatuh pada 31 Ogos 2011 bersamaan 2 Syawal 1432 Hijrah, baik kita imbau beberapa peristiwa penting dalam kalendar sejarah Malaysia.

Kita tahu perjalanan kemerdekaan Tanah Melayu pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 dipenuhi titisan darah dan airmata. Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka, Merdeka, Merdeka di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, perjalanan kemerdekaan sebenarnya bukan mudah.

Ada saja ancaman dan halangan yang ditempuhi.

Antaranya usaha pemimpin lampau seperti Tunku Abdul Rahman dan Dato Onn Jaafar mencari jalan untuk mewujudkan Malaya yang bebas dari pemerintahan British.

Sebelum itu pada 1940-an, Malaya dijajah tentera Jepun yang terkenal dengan kekejamannya sehingga seorang Jeneral Jepun iaitu Jeneral Yamashita dikenali dengan nama Harimau Malaya.

Kita tahu Jepun ketika itu cukup kejam. Mereka membunuh, menembak, mengebom, menikam dengan bayonet, memancung, menyeksa, merogol, memperkosa, mencuri dan pelbagai tindakan lain yang mencabuli hak asasi manusia ke atas penduduk Malaya.

Tentu kita tidak lupa peristiwa pertempuran Bukit Candu dimana Leftenan Adnan Saidi mempertahankan negara hingga ketitisan darah terakhir.

Selepas Jepun menyerah kalah setelah 2 bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, timbul pula ancaman pengganas Komunis di Malaya.

Kita tidak lupa peristiwa Bukit Kepong dimana komunis membunuh, mengebom dan menyeksa pula rakyat Malaya.

Selepas Malaya mencapai kemerdekaan dan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 menerusi gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura (yang kemudiannya keluar Malaysia pada 1965), timbul pula konfrantasi oleh Indonesia yang tidak setuju dengan pembentukan Malaysia.

Presiden Sukarno melancarkan kempen "Ganyang Malaysia" yang bermaksud hancurkan Malaysia.

Tentera Nasional Indonesia, TNI kemudiannya menyusup masuk ke Malaysia dan menyerang tentera kita, lalu berlaku pertempuran.

Konfrantasi dan kempen Ganyang Malaysia oleh Indonesia hanya terhenti setelah Presiden Sukarno digulingkan dan diganti Presiden Suharto.

Sehubungan itu persoalan ini saya lontarkan.

Tahukah anda sejarah di sebalik penubuhan Pengkalan Tentera Darat Markas 5 Briged, Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah?

Ketika konfrantasi, satu peristiwa pahit yang tidak dapat dilupai dalam Sejarah Tentera Darat Malaysia ialah Peristiwa Kalabakan yang berlaku pada 29 Disember 1963.



Dalam peristiwa ini, satu Pos Sementara Tentera Darat Malaysia di Kalabakan, Tawau, Sabah dengan kekuatan satu platun di bawah perintah Mejar Zainal Abidin bin Haji Yaacob dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang TNI ketika mereka sedang menunaikan sembahyang Maghrib di bangunan madrasah.

Walaupun dalam keadaan tidak tersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dan memaksa TNI berundur.

Serangan itu mengorbankan 7 orang dari platun tersebut, termasuk Mejar Zainal Abidin dan mencederakan 16 yang lain.

Ekoran kejadian itulah yang dikenali peristiwa Kalabakan, maka Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, dekat Kota Kinabalu ditubuhkan.

Mengapa serangan TNI itu disasarkan di Kalabakan?

Untuk pengetahuan, Kalabakan terletak hampir dengan sempadan Kalimantan, Indonesia dan kaya dengan kayu balak.

TNI mensasarkan serangan di Kalabakan kerana mengambil kira terdapat 10,000 rakyat Indonesia yang bekerja di Kalabakan ketika itu.

Ringkasnya TNI mahu 10,000 rakyat Indonesia yang sedia ada di Kalabakan untuk menyebelahi mereka dalam pertempuran itu.

Namun sangkaan itu meleset, tiada pekerja Indonesia yang membantu kerana mereka pun datang ke Malaysia untuk cari makan.

Serangan TNI lain di Sabah turut tertumpu di pulau Sebatek dekat Tawau khususnya di Wallace Bay kerana kedudukannya dekat dengan Indonesia.

Sebuah Tugu Peringatan telah diwujudkan di Kalabakan bagi memperingati peristiwa Kalabakan.

Itulah sejarah penubuhan Markas 5 Briged Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi SABAH.

Sehingga kini, 5 Briged menerusi Rejimen Askar Melayu di Raja melakukan kawalan di kawasan strategik di sepanjang sempadan Sabah dan Kalimantan termasuklah di Serudong, Sailiran dan Kalabakan dalam Ops Belasah.

Tugas hakikinya, mengawal sempadan negara daripada pencerobohan musuh dari luar serta juga mencegah dan membenteras pembalakan haram, kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan di kawasan Sempadan.

Angkatan Tentera Malaysia, ATM juga mengadakan rondaan bersama dengan TNI di pos gabungan di Simanggaris, Kalimantan dan sebuah lagi pos gabungan di kawasan Malaysia di Sabah serta juga di Sarawak seperti di pos Sematan.

Rondaan bersama ATM dan TNI itu bagi mengeratkan lagi silatul-rahim angkatan bersenjata kedua dua negara.

Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke 54 dan Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 48.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs