Felda sudah dapat duit raya untuk Hari Raya 2011. Bagaimana pula dengan peneroka dan peserta Felcra dan Risda??
Bagaimana pula dengan kakitangan kerajaan pusat dan negeri?
Berita baik pemberian duit raya 2011 untuk peneroka FELDA di seluruh negara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan 2 Ogos 2011.
Perdana Menteri mengumumkan pemberian 'duit raya' itu kepada kesemua 112,635 warga peneroka Felda membabitkan peruntukan berjumlah RM42.6 juta.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, seramai 100,357 peneroka atau 89.1 peratus yang bersama Felda akan menerima RM400 seorang yang melibatkan peruntukan berjumlah RM40.14 juta.
Bakinya seramai 12,278 atau 10.9 peratus peneroka yang tidak bersama Felda pula akan menerima RM200 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.46 juta.
Bayaran duit raya itu akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda seluruh negara.
Pemberian duit raya itu adalah untuk menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda di samping membantu perbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran pada 1 Syawal 1432 Hijrah.
Najib berkata pemberian duit raya kepada warga Felda tahun ini meningkat RM5.41 juta atau 14.54 peratus berbanding RM37.20 juta pada 2010, tahun lalu.
Tahun lalu, peneroka yang bersama Felda atau yang menjual hasil kepada Felda menerima RM350 seorang manakala yang tidak bersama Felda pula RM150 seorang.
Perdana Menteri berharap pemberian wang ini akan dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal.
Pada kesempatan itu juga, Datuk Seri Najib menyeru kepada peneroka yang tidak bersama Felda agar dapat kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan.
No comments:
Post a Comment