Friday, March 16, 2012

ADO, Penolong pegawai Daerah Kota Marudu, maut selepas kenderaannya terbakar, 15 Mac 2012





Kenderaan Proton Exora dinaiki Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu, Hilde Primus Peki, hangus terbakar di Jalan Ulu Tandek, Kota Marudu, 15 Mac 2012.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan unsur jenayah.

Mangsa dipercayai menghentikan kenderaan di tepi jalan dalam keadaan enjin masih dihidupkan.

Menurut Polis Kota Marudu, mangsa dipercayai terhidu gas karbon monoksida sebelum kenderaan itu terbakar.

Kenderaan itu dikatakan sudah 2 kali dibaiki kerana menghadapi masalah sistem pendawaian.

“Saya terdengar empat letupan sebelum melihat kenderaan itu terbakar,” kata Hisyamsul Hamza, 35, saksi kejadian yang mengorbankan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kota Marudu, Hilde Primus Peki @ Hilde Primus Kayau selepas Proton Exora miliknya terbakar di Jalan Ulu Tandek, di sini, awal pagi Khamis, 15 Mac 2012.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Hilde, 43, ditemui mati dalam keadaan rentung selepas anggota bomba memadamkan kebakaran kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan. Hisyamsul berkata, ketika kejadian dia dan isteri sedang memasang khemah untuk berniaga di Tamu Tandek, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik terdengar letupan itu dia bersama beberapa peniaga lain bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah MPV terbakar.

“Kami segera menghubungi bomba dan cuba memadamkan api, namun tidak berani menghampiri kenderaan yang marak terbakar itu kerana bimbang meletup,” katanya ketika dihubungi.

Hisyamul berkata, dia menyangka tiada mangsa di dalam kenderaan itu kerana keadaan agak gelap selain bahang panas menyukarkan mereka menghampiri MPV terbabit.

“Saya ingat tiada orang di dalam kenderaan itu tetapi terkejut apabila bomba menemui satu mayat rentung sebaik api dipadamkan,” katanya yang juga saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Ketua Operasi Menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Marudu, Pegawai Bomba Larsson Majaya, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.09 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikerah ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba 15 minit kemudian, kami mendapati keseluruhan kenderaan sudah terbakar. Anggota bomba kemudian menemui satu mayat rentung dalam kenderaan itu,” katanya.

Larsson berkata, tiada identiti diri atau dokumen ditemui berikutan keadaan mayat yang rentung.

“Berikutan penemuan mayat itu, bomba menghubungi polis bagi melakukan siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba masih melakukan siasatan berhubung punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, berkata kejadian itu dipercayai akibat masalah pendawaian elektrik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs