Daerah Tamparuli, kira kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu adalah laluan utama bagi perjalanan darat dari Kota Kinabalu ke Gunung Kinabalu serta ke bandar utama di pantai Timur Sabah seperti Ranau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau serta Semporna.
Dulu, tarikan utama di Tamparuli ialah jambatannya yang dibina pada zaman British, sehingga mencetuskan ciptaan lagu popular oleh Justin Lusah ini.
Jambatan Tamparuli yang dibina British (kanan) hanya boleh dilalui 1 kenderaan pada 1 masa. Sudah kerap kali banjir besar melanda jambatan ini, namun ia bertahan sehingga sekarang. Jambatan ini merentasi Sungai Tuaran.
Ini pula jalan masuk ke Jambatan Gantung Tamparuli, merentasi sungai Tamparuli, hanya bersebelahan Jambatan Tamparuli.
Bukit Ruhiang di Tamparuli kini menjadi destinasi Luncur udara Kelas Dunia.
Ini pula Lagu popular "Jambatan Tamparuli" nyanyian Justin Lusah.
Namun kini, kreativiti seorang Seorang lelaki kelahiran Sabah yang sanggup membelanjakan setengah juta ringgit atau RM500,000 bagi membina rumah terbalik pertama di Malaysia, menjadi tarikan utama pelancongan di Tamparuli.
Rumah ini bukannya dibina oleh seorang yang mempunyai masalah mental, namun lelaki di sebalik konsep rumah unik ini, Alexander Yee berkata ia sebenarnya menyampaikan mesej Alam Sekitar.
Segala gala barangan yang ada di rumah ini terbalik, samada selipar, alat permainan karom, kasut, gitar, kerusi, meja, sofa, kipas siling, permaidani, gelas, piring dan sudu serta semua hiasan dalaman.
Malahan sebuah kereta Kancil warna merah di garaj rumah ini juga dalam keadaan terbalik!!
Alexander Yee berkata, struktur rumah luar biasa yang terletak di Kampung Telibong, dekat stesen minyak Shell ini amat berbaloi dari segi kedatangan pengunjung.
Sejak dibuka Januari 2012 lalu, purata 3 ribu orang berkunjung ke rumah terbalik ini setiap hari.
“Jika kita terus mengeksploitasi sumber semulajadi secara berterusan, lambat laun kita akan melihat dunia ‘terbalik’ (musnah),” kata Yee yang memiliki firma binaan selain mengusahakan rumah penginapan untuk pelancong di taman hidupan liar daerah Kinabatangan di pantai timur Sabah.
Rumah berkeluasan 140 kaki persegi itu lengkap dengan ruang tamu, bilik mandi, ruang makan dan juga dapur yang mempunyai ciri-ciri tradisional Sabah, namun semuanya dalam keadaan terbalik.
Begitu juga peti sejuk, dapur memasak dan periuk nasi di dapur serta mesin jahit, yang semuanya terbalik.
Pembinaan rumah terbalik itu mengambil masa hampir 6 bulan melibatkan bumbung, dinding dan lantai yang diperkukuhkan dengan hiasan dalaman yang membuatkannya seperti tergantung.
Pada mulanya, orang ramai yang melintasi kawasan itu hairan, mengapa ada orang mahu membina rumah secara terbalik dan adakah orang itu sudah gila atau kurang siuman dan apa tujuannya?
Namun kini setelah dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun pada Jumaat 9 Mac 2012 lalu, rumah terbalik ini sudah terkenal di seluruh Malaysia.
Struktur ini juga diiktiraf satu satunya rumah terbalik di Malaysia dan juga di Asia Tenggara kerana ada rumah konsep sedemikian di Eropah dan Amerika Syarikat.
Namun, untuk masuk kena buat bayaran masuk berharga RM18 bagi orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun.
Apapun, mengambil gambar dan video di dalam rumah ini dilarang, kecuali mendapat kebenaran pengurusan.
Hmmm.. hebat sungguh idea Encik Alexander Yee ni.
No comments:
Post a Comment