Tuah Ayam nampak di kaki, Tuah harimau nampak di belang, Tuah manusia siapa yang tahu.Itulah tuah YB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilahirkan pada 20 Oktober 1957 di Kampung Bubul, Semporna, Pantai Timur Sabah, Malaysia Timur.
Perjalanan karier politiknya bermula dari bawah dan mendaki pucuk kepimpinan parti sedikit demi sedikit berkat daya usaha dan kegigihan beliau yang tidak pernah mengenal putus asa.
Dulunya Shafie Apdal dikenali sebagai Ketua Pemuda UMNO Sabah yang kecil tapi ligat.
Itu tahun 1994, ketika itu Datuk Seri Shafie selaku ketua pemuda UMNO Sabah dan Exco Pemuda UMNO pusat, ligat berkempen dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah pada Februari 1994, taatkala BN berdepan cabaran hebat pembangkang iaitu Parti Bersatu Sabah, PBS yang ketika itu memerintah Sabah.
Pendek cerita, PBS pimpinan Ketua Menteri Sabah ketika itu Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan menang, apabila meraih 25 kerusi berbanding 23 kerusi dimenangi BN.
Namun kerajaan PBS yang baru berusia 3 minggu, akhirnya tumbang selepas satu demi satu ADUNnya bertindak keluar parti menyertai parti komponen BN ataupun menubuhkan parti baru seperti Parti Demokratik Sabah, PDS (kemudiannya dikenali UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, PBRS, kedua duanya diterima ke dalam BN.
Datuk Seri Shafie memainkan peranan penting dalam peralihan kuasa itu, apabila berkempen penuh semangat selaku ketua pemuda di seluruh pelusuk Sabah, bukan hanya berkempen di tempat kelahirannya di Semporna, tetapi juga di pedalaman Sabah.
Memandanya ataupun mentor Datuk Shafie iaitu Tan Sri Sakaran Dandai (kini Tun), kemudiannya dilantik Ketua Menteri Sabah yang baru.
Pada pilihanraya umum 1995, Datuk Seri Shafie Apdal mengorak langkah politiknya apabila buat pertama kalinya bertanding di kerusi Parlimen Semporna, semestinya atas tiket BN. Beliau menang dan terus menjadi Ahli Parlimen Semporna sehinggalah sekarang pada 2010.
Dalam ertikata lain, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Semporna sebanyak 4 penggal berturut turut pada pilihanraya umum 1995, 1999, 2004 dan 2008, semuanya dengan majority maha besar.
Pada 1997, Datuk Shafie menang kerusi Majlis Tertinggi UMNO dan berjaya mengekalkannya sehingga 2008 apabila beliau mengambil keputusan untuk buat pertama kalinya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia.
Tindakan beraninya itu pada mulanya dipandang secara skeptical oleh pemerhati politik mahupun rakan dan seteru politiknya.
Apa tidaknya, ini percubaan pertama beliau dan terpaksa pula berdepan calon lain yang dianggap lebih dikenali termasuklah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Khaled Nordin.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah pada 1999 hingga 2001, Datuk Osu Sukam pernah bertanding kerusi Naib Presiden UMNO, namun hanya mendapat tempat keempat.
Namun siapa sangka, tuah Shafie Apdal, dia menang satu daripada kuota Naib Presiden dibelakang Zahid Hamidi dan Hishamuddin.
Sekaligus mencatat sejarah sebagai anak Sabah pertama menang jawatan Naib Presiden UMNO. Pemilihan itu turut mencatat satu lagi sejarah bagi Sabah apabila 3 pemimpin dari negeri itu turut menang kerusi Majlis Tertinggi UMNO. Mereka ialah Ketua Menteri YAB Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan - Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin dan Ahli Parlimen Kinabatangan - Datuk Bung Moktar Radin.
Hasil kemenangan itu, Shafie diberi kepercayaan oleh Najib dan dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, dengan matlamat merampas semula tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada PAS menerusi usaha memperkasakan semula UMNO di bumi Kedah.
Potfolionya dalam kabinet persekutuan turut dinaikkan pangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak daripada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ini juga kali pertama seorang anak Sabah dilantik ke jawatan penting dan kanan itu.
Sejurus dilantik sebagai menteri bertanggung jawab bagi pembangunan luar Bandar, Shafie memikul tugas berat dalam melaksanakan Bidang Keputusan Utama Nasional, NKRA luar Bandar, satu daripada 6 teras NKRA digariskan Najib.
Kementeriannya diberi peruntukan 18 billion ringgit untuk melaksanakan pelbagai projek memperkasakan prasarana asas luar Bandar demi lonjakan kesejahteraan rakyat pedalaman.
Antaranya membina 60 ribu unit rumah rakyat, membina 1,500 kilometer jalanraya berturap di Sabah dan Sarawak dengan kos 4 billion ringgit, membina jalan berturap dengan kos 1 billion ringgit di Semenanjung Malaysia serta juga bekalan air bersih dan bekalan elektrik luar Bandar.
18 billion ringgit itu perlu dibelanjakan dalam tempoh 3 tahun sehingga 2012.
Mampukah Shafie – anak Sabah, anak Semporna, anak Pulau Bum Bum melaksanakan dan memikul tanggung jawab maha berat itu?
Jawapannya ya. Meskipun ada cubaan pihak tertentu termasuklah kenyataan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengenai kontrak bekalan elektrik luar Bandar yang dikatakan menguntungkan pihak tertentu sahaja, Shafie tenang menjawab segala pertuduhan itu yang disifatkannya tidak berasas sama sekali.
Jawapan beliau, lengkap dengan fakta rasional, sudah disiarkan media arus perdana.
Ketika ini juga media alternative hangat membuat spekulasi, Shafie bakal dilantik Ketua Menteri Sabah yang baru menggantikan Datuk Seri Musa Aman. Sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan saja yang tahu.
Berbalik kepada potfolio Shafie sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie sebenarnya mula dilantik ke dalam kabinet persekutuan pada 15 Mei 1995 sebagai setiausaha parlimen Kementerian Penerangan. Jawatan itu disandangnya hinggalah 24 Mei 1999.
Sejurus berakhir pilihanraya umum 1999, Shafie dilantik ke jawatan lebih senior selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jawatan itu disandangnya hanya 7 bulan apabila dinaikkan pangkat pula ke jawatan lebih senior selaku Timbalan Menteri Pertahanan.
Shafie menjalankan tugas dengan amat baik sekali sebagai Timbalan Menteri Pertahanan mulai 14 Disember 1999 hingga 29 Mac 2004, ini termasuklah menangani krisis tebusan Pulau Sipadan pada April 2000. Dalam insiden yang menggamit minat dunia itu, 21 pelancong asing serta pekerja rakyat Malaysia di Pulau Sipadan, Semporna diculik kumpulan Abu Sayyaf diketuai Ghalib Andang atau Komander Robot dan dilarikan ke Jolo, Selatan Filipina.
Shafie sendiri bersamaYong Teck Lee, Sairin Karno dan pegawai kerajaan Filipina turun padang ke selatan Filipina untuk menyelesaikan krisis tebusan itu. Hasilnya kesemua pelancong dan rakyat Malaysia yang diculik termasuk 6 kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah, selamat kembali ke pangkuan keluarga masing masing tanpa ada pertumpahan darah.
Shafie turut terlibat dalam melaksanakan pelan tindakan Ops Pasir bertujuan memantapkan lagi kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah dari Kudat di utara hingga Semporna di Selatan, bagi mengelak insiden Sipadan berterusan.
Menerusi Ops Pasir, pos kawalan tentera darat dan pasukan gerakan am diwujudkan di pulau dan daratan strategik untuk mengekang kemasukan anasir tidak diingini yang cuba mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman negara.
Selepas pilihanraya umum 2004, Shafie sekali lagi dinaikkan pangkat, kali ini dari Timbalan Menteri kepada Menteri Penuh. Potfolionya Menteri Perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dari 30 Mac 2004 hinggalah 13 Februari 2008.
Selama 4 tahun memegang jawatan itu, Shafie turut berdepan cabaran hebat, antaranya kes kekurangan bekalan gula di pasaran, begitu juga penyeludupan diesel. Namun sekali lagi Shafie berjaya mengharungi badai dan gelora itu untuk melayarkan bahteranya merentasi samudera dengan tenang dan selamat.
Antara tindakan drastik dan berkesan yang dilakukan Shafie dalam menangani krisis bekalan gula adalah dengan menghantar bekalan gula menerusi prosedur kecemasan lagi cepat, iaitu menggunakan kapal Tentera Laut Di Raja Malaysia. Di Sabah, beratus ratus tan metrik bekalan gula dihantar dari pembekal di Semenanjung ke Pelabuhan Kota Kinabalu menggunakan kapal TLDM, kerana ini cara paling cepat berbanding menggunakan perkhidmatan kapal laut komersial. Hasilnya, pengguna di Sabah termasuklah di pedalaman, mendapat bekalan gula yang ketika itu begitu kritikal termasuklah ketika musim perayaan.
Selepas pilihanraya umum 2008, umum tersentak apabila Shafie ditukarkan potfolio ke sebuah kementerian yang dikatakan kurang penting iaitu Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Menurut orang ramai, menteri yang jaga muzium!!
Namun hanya kira kira setahun selepas itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baru – Najib menggantikan Pak Lah, Shafie menang kerusi Naib Presiden dan sehingga sekarang menjalankan tugas begitu penting sebagai menteri bertanggung jawab memperkasakan kesejahteraan hidup penduduk Luar Bandar di Malaysia.
Dari segi akademik, bapa kepada 6 cahaya mata ini dan suami kepada Datin Seri Hajjah Shuryani Datuk Haji Shuaib, merupakan seorang pelajar cemerlang. Beliau melanjutkan pengajiannya di United Kingdom, lebih tepat pengajian Diploma Pengurusan dan Perkapalan di London Business College. Pada 1979 hingga 1982, Shafie melanjutkan pelajarannya di Universiti Staffordshire, England dan berjaya mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian.
Sebelum bergiat dalam politik, Shafie pernah bertugas sebagai pegawai ekonomi di kementerian kewangan Sabah, pegawai pentadbir kanan di jabatan ketua menteri Sabah dan penolong setiausaha kanan kementerian pembangunan perindustrian dan luar Bandar Sabah.
Shafie juga pernah bertugas sebagai setiausaha politik kepada Tan Sri Sakaran Dandai (kini Tun), ketika Sakaran menjadi Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia pada 1991 hingga 1993.
Shafie juga adalah anggota jawatankuasa penaja UMNO Sabah ketika UMNO mula mula mengembangkan sayapnya ke negeri di bawah bayu pada 1991.
Pendek kata, Shafie adalah seorang pemimpin yang taat dan setia kepada perjuangan parti dan memahami keluhan, permintaan, keperluan dan kehendak akar umbi, berlandaskan kepada perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Perjalanan karier politiknya bermula dari bawah dan mendaki pucuk kepimpinan parti sedikit demi sedikit berkat daya usaha dan kegigihan beliau yang tidak pernah mengenal putus asa.
Ayuh Shafie… terus maju jaya.. Datuk Shafie juga mempunyai blog rasminya di alamat ini http://shafieapdal.com/
Lagu ini begitu popular di Semporna setiap kali ada acara dirasmikan Datuk Shafie Apdal.
Madsukul (Terima Kasih dalam bahasa Semporna), Madsukul kerana membaca…
No comments:
Post a Comment