Wednesday, March 30, 2011
Pilihanraya Sarawak, apa saja boleh berlaku
16 April 2011 ini bersamaan hari Sabtu, pilihanraya negeri Sarawak kali ke 10 diadakan selepas Dewan undangan negeri Sarawak dibubarkan pada 21 Mac 2011.
71 kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN menjadi rebutan.
Pada pilihanraya negeri ke 9 pada 2006, Barisan Nasional, BN memenangi 62 kerusi DUN dan hanya tewas di 9 kerusi DUN.
Ketika ini, teka teki siapa calon sedang hangat diperkatakan.
Namun, beberapa pembayang sudah diberi.
Bagi Ketua Menteri Sarawak yang berkhidmat sejak 1981, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu, PBB, kira-kira 25 peratus daripada calon PBB yang akan diketengahkan pada pilihan raya negeri 16 April ini adalah calon muka baru, katanya.
Taib yang kini berusia 74 tahun dan menjadi Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia sejak 1981 menggantikan Tun Abdul Rahman Ya'kub berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung senarai PBB, selain bagi tiga lagi parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.
"Ya, saya telah pun memuktamadkan senarai bagi PBB,” katanya kepada media di Kuching pada Rabu 30 Mac 2011.
Taib yang juga pengerusi BN Sarawak juga berkata kesemua empat parti komponen BN telah pun memuktamadkan senarai calon mereka.
Daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri itu, PBB akan bertanding bagi 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (19), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (sembilan) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) (lapan).
Manakala 10 penyandang daripada PBB tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya negeri.
Identiti 6 daripada mereka sudah diketahui iaitu Frederick Bayoi Manggi (Kedup), Lihan Jok (Telang Usan), Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (Demak Laut), Dr Wahbi Junaidi (Saribas), Wan Wahab Wan Sanusi (Sadong Jaya) dan terbaru, Simoi Peri (Lingga), telah mengumumkan hasrat mereka tidak bertanding.
Tan Sri Taib Mahmud juga mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi DUN Balingian, sekaligus mengesahkan spekulasi beliau akan terus memimpin Sarawak selaku Ketua Menteri untuk sekurang kurangnya 1 penggal lagi.
Namun dalam pilihanraya, apa saja boleh berlaku termasuk perkara yang dianggap mustahil. Ini semuanya bergantung kepada kehendak rakyat sebagai pengundi. Jika rakyat marahkan kerajaan sedia ada, maka mereka umpama bom jangka, sedia meledak bila tiba masanya.
Tentu kita masih ingat pilihanraya Sabah pada 1985 apabila parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Mohd Salleh, secara tiba tiba tewas kepada parti yang baru berusia setahun jagung iaitu Parti Bersatu Sabah, PBS pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Harris dan Pairin asalnya sama sama dalam Berjaya, namun akibat perselisihan tertentu, Pairin keluar dari Berjaya lalu menubuhkan PBS.
Berang dengan tindakan itu, Harris menarik balik status Tambunan sebagai daerah. Tambunan adalah daerah kelahiran Pairin. Rakyat Tambunan yang berang memilih Pairin ketika itu calon Bebas mengalahkan Calon Berjaya pada pilihanraya kecil Tambunan, sejurus selepas Pairin disingkirkan dari Berjaya.
Dibantu kemarahan rakyat Sabah ke atas kerajaan Berjaya ketika itu, Pairin seterusnya memimpin PBS menewaskan Berjaya pada pilihanraya negeri 1985.
Malahan Datuk Harris sendiri tewas di Tenom kepada seorang calon PBS yang kurang dikenali iaitu Datuk Kadoh Agundong yang sehingga kini digelar The Giant Killer.
Peristiwa itu masih tidak dilupakan dalam sejarah politik Sabah sehingga kini.
Dalam politik juga, apa apa juga boleh berlaku. Sebagai contoh ketika Pilihanraya kecil Batu Sapi di Sandakan, Sabah pada 4 November 2010 lalu, seorang calon muka baru dari BN yang juga wanita, Datin Linda Tsen Thau Lin (kanan) gambar atas, berjaya mengalahkan 2 political heavyweights atau gergasi politik iaitu Datuk Yong Teck Lee, dari Parti Maju Sabah, SAPP dan Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat, PKR.
BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti besar, 6,359 undi, walaupun terpaksa berdepan dengan Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dan Presiden SAPP serta tidak pernah tewas dalam 9 pilihanraya berturut turut sejak 1985.
Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi mengalahkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee 2,031 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansaari Abdullah 3,414 undi.
Ini kekalahan pertama Yong Teck Lee dalam sejarah politiknya. Meskipun ligat berkempen termasuk melaungkan frasa Sabah for Sabahans atau Sabah untuk Rakyat Sabah, serta kuasa autonomi untuk Sabah Yong tewas juga.
Untuk rekod, konsep Sabah for Sabahans dan Autonomi ini pernah dilaungkan PBS dan mendapat sambutan rakyat Sabah suatu ketika dulu.
Namun angin perubahan dibawa kepimpinan Datuk Seri Najib Razak menerusi konsep 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, lebih digemari pengundi Batu Sapi.
Strategi PKR di Batu Sapi untuk meletakkan calon beragama Islam kononnya untuk memecahkan pengundi beragama Islam agar memberi kelebihan kepada pembangkang, juga tidak menjadi.
Oleh itu di Sarawak.. ingatlah Macam Macam Boleh terjadi... ibarat kata kata Pakcik Astro > Macam Macam Ada!!!
Labels:
malaysia's politics,
pilihanraya,
politics,
politik,
politik malaysia,
sabah,
Sarawak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment