Hosni Mubarak memerintah Mesir selama 30 tahun sejak 1981. Beliau menggantikan Anwar Sadat yang mati ditembak tentera. Selepas 30 tahun, Hosni Mubarak kini menjadi orang paling dibenci di Mesir. Ratusan ribu penduduk Mesir melakukan tunjuk perasaan jalanan mendesak Mubarak segera meletak jawatan.Gambar atas menunjukkan suasana tunjuk perasaan di Mesir. Bagaimanapun keadaan yang merbahaya itu memaksa pelajar dan rakyat dari negara luar, segera mahu meninggalkan Mesir untuk balik ke negara asal. Antaranya 11,000 pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.Untuk mengeluarkan segera 11,000 rakyat Malaysia di Mesir, bukan tugas mudah. Ianya umpama proses pengeluaran beramai ramai secara tergesa gesa oleh Tentera Amerika di Vietnam sejurus kalah kepada Vietnam Utara dan Vietcong.
Untuk mengeluarkan rakyat Malaysia di Mesir, kerajaan melancarkan OPS PIRAMID yang dijayakan kerajaan, swasta, tentera, polis, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam dengan diselaras WISMA Putra, Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan.
Mesir terletak di benua Afrika dan pelan tindakannya adalah mengeluarkan segera semua 11,000 rakyat Malaysia dari Mesir dan membawa mereka ke Jeddah, Arab Saudi sebagai transit point sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Hari ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam sidang medianya di Kota Kinabalu, Sabah berkata kumpulan pertama seramai 600 pelajar Malaysia dari Mesir dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi tengah malam ini Khamis 3 Februari 2011.
Mereka dibawa keluar dari Kaherah dengan menaiki dua pesawat komersial – sebuah pesawat Boeing 747 penerbangan Malaysia, MAS dan sebuah pesawat Air Bus A-340 Air Asia.
Kata Anifah pesawat MAS Beoing 747 dengan nombor penerbangan MH 8010 mh telah berlepas dari KLIA pada 9.20 pagi 3 Februari dan tiba di Kaherah pada 1.45 petang ini waktu tempatan.
Perbezaan waktu antara Mesir dan Malaysia adalah 6 jam. Ini bermakna jam 1 petang di Mesir bersamaan jam 7 malam di Malaysia.
Menurut Anifah, MAS akan memulakan penerbangan pertama ulang alik utk seramai 340 penumpang ke Jeddah dari Kaherah pada jam 4 petang waktu tempatan bersamaan jam 10 malam waktu Malaysia.
Penerbangan dari Kaherah ke Jeddah dijangka mengambil masa 2 jam, oleh itu kumpulan pertama pelajar Malaysia terbabit dijangka tiba di Jeddah jam 12 tengah malam waktu malaysia bersamaan jam 6 petang waktu Mesir.
Kerajaan juga meminta syarikat penerbangan Air Asia untuk melakukan penerbangan ulang alik atau shuttle services antara Kaherah dan Iskandariah ke Jeddah setiap hari.
3 pesawat C130 TUDM dijangka memulakan penerbangan ulang alik dari Mesir ke Jeddah mulai jam 6 pagi esok waktu Mesir bersamaan 12 tengahari waktu Malaysia pada Jumaat 4 Februari 2011.
Kapasiti sebuah pesawat C130 TUDM ialah 250 penumpang, oleh itu 3 pesawat TUDM boleh membawa keseluruhan 750 penumpang pada satu satu masa.
Proses itu turut dibantu sebuah kapal laut TLDM Bunga Mas 5 yang berlabuh di pelabuhan Ain Sukna, Mesir pada 5 Februari bersamaan Sabtu.
Proses ini berterusan sehinggalah semua 11,000 rakyat Malaysia di Mesir sudah dikeluarkan dari Mesir dan dikumpulkan di Jeddah.
Semua pelajar malaysia di Jeddah akan ditempatkan di kompleks tabung haji sebelum dibawa pulang ke tanah air.
Keseluruhan proses mengeluarkan rakyat Malaysia di Mesir dijangka mengambil masa 4 hingga 5 hari.
Ketika ini kerajaan Mesir mengenakan perintah berkurung di semua bandaraya utama termasuk Kaherah dan Iskandariah, yang telah dilanjutkan dari jam 2 petang hingga 8 pagi, namun ia nyata tidak diendahkan penunjuk perasaan.
Ketika ini juga semua saluran komunikasi termasuk internet dan talian telepon di Kaherah dan Iskandariah serta bandar utama lain, juga masih dihentikan, sekaligus menghadkan perhubungan.
Menurut Anifah lagi, keadaan di sekitar rumah perlindungan Malaysia di Mesir juga terkawal, kerana lokasinya terletak jauh daripada kekacauan di beberapa lokasi di negara itu, termasuk di Tahrir Square.
No comments:
Post a Comment